Pin It

Widgets

PERTUKARAN GURU : Ramai guru mohon balik kampung


posted by Mohd Fadzil on

No comments

Ramai guru mohon balik kampung






Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mendedahkan ramai warga guru di negara ini memohon pulang ke kampung halaman masing-masing berbanding permohonan pertukaran untuk bertugas di tempat sama dengan pasangan. 
Keadaan itu menyebabkan kementerian sukar memenuhi keperluan pertukaran guru, apatah lagi ia tertakluk kepada kekosongan perjawatan dan keperluan perkhidmatan. 

Tempatkan di kawasan sama 


Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan, berkata kementerian sentiasa berusaha menempatkan guru bertugas di kawasan sama dengan pasangan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan senang dan selesa. 

Bagaimanapun, ramai guru memohon pulang ke kampung halaman masing-masing. 
“Isunya, bukan ingin bersama (pasangan), tetapi hendak pulang ke kampung asal. Itu yang susah sikit. Tetapi kalau ingin bersama suami atau isteri itu boleh, kita akan usahakan, tapi ia jarang-jarang berlaku. ‘Jarang-jarang’, bak kata Seniman Agung (Tan Sri) P Ramlee. 

Guru terpaksa berkorban 
“Kita juga benarkan guru pulang bertugas ke kampung halaman, misalnya dengan alasan ibu atau bapa sakit, mahupun anak mereka sakit. Tetapi dalam kes ini, ramai guru yang terpaksa berkorban,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Parlimen di sini, semalam. 

Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) berkata, berdasarkan rekod kementerian itu, pada 31 Julai lalu sebanyak 94.9 peratus guru sekolah menengah iaitu 142,474 orang tinggal bersama pasangan masing-masing, manakala 5.1 peratus atau 7,711 orang tinggal berasingan. 

Bagi guru sekolah rendah pula, katanya, 95.4 peratus (190,252 guru) dapat tinggal bersama pasangan mereka dan hanya 4.8 peratus (9,124 guru) terpaksa berasingan dengan pasangan. 

Katanya, walaupun jumlahnya kecil, kementerian sentiasa berusaha menempatkan mereka bersama pasangan. 

“Kriteria utama diambil kira dalam penentuan kelulusan pertukaran guru ialah keperluan perkhidmatan dan kekosongan opsyen di negeri dimohon serta guru di situ tidak boleh melebihi bilangan diluluskan mengikut waran perjawatan negeri terbabit,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.