Pin It

Widgets

Kajian Kurang Beban Guru Dibentang Pada Persidangan NBOS 20 Nov


posted by Mohd Fadzil on

No comments



KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Kementerian Pendidikan telah memperluas skop kajian mengenai kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata kajian diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu melibatkan empat lapangan iaitu beban tugas guru, ketidaksepadanan opsyen guru, saiz kelas yang ideal dan pertindihan pangkalan data.

Katanya, hasil kajian yang diaplikasikan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dibentangkan di Persidangan NBOS pada 20 Nov ini.

"Ia bagi mendapatkan pandangan dan harapan selanjutnya dalam usaha mengurangkan beban tugas guru secara holistik dan efektif," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wira Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Kamalanathan berkata kementerian ketika ini telah melaksanakan pelbagai langkah membantu mengurangkan beban guru di seluruh Negara termasuk melaksanakan pengintegrasian data bagi mengelakkan pertindihan pengisian data di peringkat sekolah dengan hanya menggunakan satu sistem iaitu sistem pengurusan sekolah.

"Kementerian turut melaksanakan penempatan seorang pembantu tadbir perkeranian operasi di semua sekolah kementerian di bawah Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mengurangkan beban guru," katanya.

Jelasnya, kementerian akan memberi komitmen penuh bagi memastikan isu berbangkit mengenai beban tugas guru ini diselesaikan sebelum pelaksanaan PPPM.

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.