Pin It

Widgets

Datuk Seri Idris Jusoh, Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment


PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik. "Kementerian telah mengadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat, menambah baik dan memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik. 

Kita cuba cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, 2013 di sini hari ini. Menurutnya, masalah itu berlarutan kerana permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongannya hanya setakat 2,000 hingga 3,000 tempat sahaja.

Menyentuh, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, beliau berkata, mereka dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air. "Kerajaan belum buat keputusan sama ada mereka perlu balik atau tidak," katanya. "Kita masih mendapat berita mengatakan keadaan tidak begitu tegang sangat. "Kalau pelajar-pelajar kita tak keluar, duduk dalam keadaan selamat, mereka masih selamat," katanya. 

- BERNAMA 
_________________________________________________________________________________ 

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru yang kini dilihat semakin kritikal. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah tersebut perlu kerana jumlah kekosongan yang ada amat terhad ekoran keputusan kerajaan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam dari 58 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, isu opsyen guru yang memohon turut menjadi penyumbang kepada permasalahan itu, namun beliau yakin selepas guru mencapai had umur bersara jumlah kekosongan akan meningkat antara 4,000 hingga 5,000. ''Tahun ini sahaja sudah ada 16,000 permohonan pertukaran sedangkan tempat yang ada hanya 2,000 hingga 3,000.

Kita melihat perkara ini perlu diberikan perhatian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, di sini hari ini. SIPMA ke-5 akan berlangsung selama lapan hari bermula 15 November ini di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) di Gambang. Seramai 1,008 orang atlet dan 473 pegawai dari tujuh majlis sukan di bawah Kementerian Pendidikan terlibat dalam kejohanan itu.

Sementara itu, dalam ucapannya Idris berkata, kerajaan berjaya menambah dua lagi sekolah sukan iaitu masing-masing di Pahang dan Sabah menjadikan empat buah kesemuanya yang telah beroperasi. Beliau berkata, dua buah lagi masih dalam pembinaan ialah sebuah di Terengganu dan satu lagi di Perlis. ''Semuanya ini merupakan dasar terancang kementerian dalam pembangunan sukan untuk melahirkan atlet berkemahiran tinggi," katanya.

 © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.