Pin It

Widgets

TS Muhyiddin: Kerajaan akan bincang tuntutan NUTP


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

TS Muhyiddin: Kerajaan akan bincang tuntutan NUTP



 
Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung sembilan tuntutan termasuk berkaitan isu sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya akan menetapkan tarikh perjumpaan dalam masa seminggu ke dua minggu akan datang untuk pegawai-pegawai kanan kementerian berjumpa dengan wakil NUTP.

"Kita ada Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pelajaran, kita boleh letak beberapa wakil dari kementerian. Saya hanya akan terima laporan selepas perbincangan itu selesai.

"Ini biasa kita buat. Sebelum ini pun bila ada cadangan ia akan dikemukakan oleh kesatuan, peringkat kementerian memang akan bincang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Guru Malaysia anjuran NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata tuntutan yang sesuai dilaksanakan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan sekiranya melibatkan implikasi kewangan, ia akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan.

Presiden NUTP Hashim Adnan pada perhimpunan itu mengemukakan sembilan tuntutan melibatkan penambahbaikan profesion perguruan termasuk aspek pengurusan, pentadbiran, gaji dan peluang kenaikan pangkat.

Mengenai cadangan penambahbaikan PBS, Muhyiddin berkata beliau sememangnya menjangkakan perkara itu berdasarkan maklum balas yang diterima kementerian apabila sistem itu dilaksanakan.

Katanya kementerian akan meneliti perkara itu termasuk aspek teknikal yang menyebabkan sistem itu dianggap sebagai 'beban' kepada guru.

Melalui PBS, murid sekolah akan ditaksir guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan tidak bergantung kepada keputusan peperiksaan awam semata-mata.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kementerian sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan tidak pernah mengetepikan sebarang pandangan atau tuntutan yang dibuat mana-mana pihak.

Ditanya sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan ditambah ke dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, Muhyiddin berkata: "Kalau tidak terlewat dan boleh dibuat jika perlu."

Terdahulu, dalam amanatnya pada perhimpunan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin masalah-masalah berkaitan PBS akan dapat diatasi bagi membolehkan sistem itu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Bermakna kita dapat beralih kepada satu sistem di mana pencapaian pelajar dapat dinilai atas keupayaan mereka di peringkat sekolah dengan dipandu Lembaga Peperiksaan agar bentuk soalan yang digunakan adalah selaras.

"Saya kira ini dapat mengubah corak sistem pendidikan kita agar menumpukan kepada pencapaian daripada hanya keputusan peperiksaan awam," katanya.

- Bernama

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.