Pin It

Widgets

RINGKASAN UNTUK PENEMPATAN GURU (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025)


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid

3 comments

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

RINGKASAN UNTUK PENEMPATAN GURU

Demografi Profesion Keguruan


Sepanjang satu dekad yang lepas, Kementerian secara tekal telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru. Hasilnya nisbah tersebut kini berada pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1) dan Korea Selatan (20:1), malahan juga lebih rendah daripada purata OECD (16:1). Kini, dengan bilangan 410,000 orang guru, Malaysia merupakan satu daripada sistem pendidikan yang mempunyai nisbah murid-guru paling kecil di dunia. Pengembangan saiz tenaga kerja ini telah menyebabkan profesion keguruan mempunyai guru yang agak muda. Hampir dua pertiga daripada keseluruhan guru berada pada umur bawah 40 tahun. Implikasinya hampir 60% daripada guru kini akan terus mengajar dalam tempoh 20 tahun akan datang, manakala 50% daripada guru pula akan terus berkhidmat sehingga 30 tahun akan datang. Dari segi komposisi demografi, profesion keguruan tidak mencerminkan populasi Malaysia. Khususnya dari segi bilangan guru lelaki dan komposisi etnik minoriti dalam profesion ini tidak seperti yang dihasratkan.

Pemilihan Guru

Sistem pendidikan di Malaysia menarik minat banyak pemohon untuk menyertai program latihan perguruan. Nisbah pemohon-tempat adalah sangat tinggi, iaitu 38:1 bagi tempat yang ditawarkan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Nisbah ini melebihi nisbah sistem pendidikan berprestasi tinggi seperti di Singapura, di Korea Selatan dan di Finland (Ekshibit 5-3). Keadaan ini merupakan petanda positif kerana terdapat minat yang meluas untuk menyertai profesion keguruan.




Selari dengan amalan terbaik pada peringkat antarabangsa, pemohon dipilih selepas melalui beberapa tapisan berdasarkan pelbagai faktor termasuk sikap, aptitud terhadap pengajaran, dan personaliti. Kementerian juga meletakkan syarat akademik yang minimum untuk pemohon yang berminat memasuki IPG. Sebagai contoh, sebelum tahun 2012, kelayakan minimum untuk diterima masuk ke Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) ialah tiga gred cemerlang dan tiga gred kepujian dalam SPM. Walau bagaimanapun mulai tahun 2012 kelayakan minimum tujuh gred kepujian (tiga daripadanya ialah gred cemerlang) dalam SPM diperlukan untuk diterima masuk ke PISMP. Perubahan keutamaan dalam sistem ambilan ini telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih.

Pada tahun 2010, 93% pemohon PISMP memperoleh skor bawah kelayakan akademik minimum, manakala 1% pemohon mempunyai sekurang-kurangnya tujuh gred cemerlang. Sebaliknya, pada tahun 2012, peratus pemohon yang memperoleh skor bawah kelayakan minimum telah menurun secara signifikan kepada 38%, manakala peratus pemohon yang mendapat sekurang-kurangnya tujuh gred cemerlang telah meningkat kepada 9%. Justeru, usaha mengutamakan kualiti guru pelatih telah meningkatkan peratusan penawaran tempat kepada pemohon yang mempunyai gred cemerlang daripada 3% pada tahun 2010 kepada 65% pada tahun 2012 (Ekshibit 5-4). Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) juga telah memperlihatkan peningkatan dari segi standard kemasukan. Peratus pemohon berkelayakan tinggi yang telah ditawarkan tempat dalam program ini meningkat daripada 7% pada tahun 2010 kepada 13% pada tahun 2012. Langkah-langkah yang diambil ini merupakan amalan sistem berprestasi tinggi seperti di Singapura, di Korea Selatan dan di Finland yang membenarkan hanya 10% hingga 30% daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan.

Selain itu, terdapat dua perkara lagi yang perlu diberi perhatian, iaitu pertama, kekurangan pemohon yang berkelayakan bagi mata-mata pelajaran khusus, dan bagi lokasi-lokasi tertentu. Oleh itu, Kementerian sedang meneliti beberapa kaedah untuk menarik calon berprestasi tinggi daripada pelbagai latar belakang ke dalam profesion keguruan. Kedua, sekurang-kurangnya 50% daripada setiap pengambilan guru baharu perlu dilakukan di bawah program yang ditawarkan di IPTA. Namun, data tentang pengambilan itu tidak diperoleh, menyebabkan perbandingan data pengambilan antara IPTA dan IPG tidak dapat dilakukan.

Gelombang 1 (2013-2015): Meningkatkan standard dan sistem sokongan


Gelombang 1 akan menumpukan kepada peningkatan standard
profesionalisme, dan menambah baik sistem sokongan dan persekitaran
kerja. Empat langkah akan diambil:
(i) meningkatkan standard
kemasukan;
(ii) mengukur prestasi berdasarkan kompetensi;
(iii)meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme
berterusan; dan
(iv) mengurangkan beban tugas pentadbiran guru. Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatankemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan.

Meningkatkan standard kemasukan bagi guru pelatih dan ambilan guru baharu Kementerian akan mengetatkan proses pemilihan ambilan guru ke IPG dengan memilih calon guru pelatih daripada kumpulan 30% teratas bagi setiap kohort yang tamat persekolahan. Kementerian bercadang mengecilkan saiz ambilan guru sekiranya bilangan calon yang berkelayakan pada sesuatu tahun berkurangan; seterusnya, bekerjasama dengan IPTA untuk menetapkan standard kemasukan yang setara bagi program latihan perguruan.

Kementerian juga akan menetapkan standard yang lebih ketat untuk bergraduat daripada latihan perguruan dan seterusnya diambil bertugas sebagai guru permulaan bawah Kementerian. Pada masa hadapan, guru permulaan akan dipilih hanya apabila mereka dapat menguasai kompetensi minimum yang mereka perolehi melalui praktikum dan kerja kursus semasa latihan perguruan. Syarat ini adalah untuk memastikan hanya guru yang terbaik dan paling layak menyertai sistem. Walau bagaimanapun, guru pelatih sedia ada di IPG dan di IPTA pada masa kini tidak terikat dengan dasar baru ini.

Sehingga kini, Kementerian telah mengambil hampir 15,000 orang guru pelatih setiap tahun. Oleh sebab kekurangan guru secara mutlak bukan lagi menjadi isu, Kementerian sedang meneliti pengurangan ambilan guru pelatih secara berperingkat-peringkat sehingga 50% dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam masa yang sama, dengan kadar persaraan sedia ada dijangkakan baharu akan berlaku pengurangan dalam saiz kohort sebanyak 10% menjelang 2025. Kementerian akan memantau perubahan saiz bilangan guru yang berada dalam sistem bagi memastikan sebarang pengurangan ambilan guru baharu tidak akan menjejaskan saiz kelas atau keberhasilan murid.


PENEMPATAN

Semasa latihan praperkhidmatan, guru pelatih menjalani pengkhususan dalam satu mata pelajaran yang dikenali sebagai ‘opsyen’. Opsyen ini bertujuan memastikan mereka mempunyai pengetahuan kandungan dan kefahaman yang mencukupi untuk mengajar mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Matlamat Kementerian adalah untuk menempatkan guru mengikut opsyen setelah mereka tamat menjalani latihan. Namun begitu, matlamat ini tidak dapat dicapai sepenuhnya disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan. Situasi ini mengakibatkan wujudnya sebilangan guru yang terpaksa mengajar mata pelajaran bukan opsyen dan mengajar mata pelajaran yang mereka kurang mahir. Sebagai contoh, pada tahun 2011, hampir 6,000 guru mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah rendah telah ditempatkan untuk mengajar mata pelajaran lain disebabkan terdapat lebihan guru berbanding dengan kekosongan jawatan bagi mata pelajaran tersebut.

Sekian, Terima Kasih.

3 comments

  1. Anonymous
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.