Pin It

Widgets

Ganjaran dan Pengurusan Prestasi Bagi Guru ( Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 )


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

Ganjaran dan Pengurusan Prestasi Bagi Guru ( Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 )

Pada tahun 2011, penilaian perbelanjaan sistem pendidikan di Malaysia oleh Bank Dunia menyatakan, “Banyak yang beranggapan bahawa guru dibayar gaji yang rendah... situasi sebenar adalah tidak seperti yang didakwa.” Seperti yang ditunjukkan dalam Ekshibit 5-7, gaji permulaan bagi guru dalam perkhidmatan awam adalah setara dengan gaji pekerja di sektor awam dan sektor swasta di Malaysia, termasuk peguam, akauntan, dan eksekutif IT. Selain itu, gaji guru di Malaysia yang telah berkhidmat selama 15 tahun sama dengan gaji guru yang mempunyai sistem terbaik seperti Finland apabila diukur sebagai peratus daripada per kapita KDNK (Ekshibit 5-8). (Peratus daripada per kapita KDNK digunakan untuk membolehkan perbandingan antara sistem pendidikan yang berbeza-beza). Dalam hal ini, Singapura dan Korea Selatan terkecuali kerana keduadua negara tersebut telah mengecilkan saiz tenaga kerja untuk membolehkan negera itu membayar gaji yang lebih tinggi kepada guru.


Kementerian telah menambah baik prospek kemajuan kerjaya pada tahun 1994 dengan memperkenalkan laluan Guru Cemerlang yang membolehkan guru dinaikkan gred dengan lebih cepat sekiranya mereka dapat menunjukkan kecemerlangan dalam kedua-dua aspek pengetahuan kandungan mata pelajaran dan pedagogi. Sejak diperkenalkan, terdapat sebanyak 13,300 orang guru yang menyandang gelaran Guru Cemerlang. Dalam masa yang sama, semua guru boleh memegang jawatan kepimpinan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau Kementerian, atau menjawat jawatan pensyarah di IPG atau di Institut Aminuddin Baki (IAB). Sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baharu merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya. Sistem ini membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun
dinaikkan gred daripada DG41 (skala gaji permulaan bagi guru siswazah baharu) kepada Gred DG54 (skala gaji yang paling tinggi bagi seseorang guru dalam jawatan bukan kepimpinan). Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan. Tambahan lagi, jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun masih merupakan suatu tempoh yang panjang. Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa, iaitu masih terdapat kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baharu sewaktu mereka mula menyertai profesion ini. Kini terdapat 58% guru yang masih berada pada gred terendah DG41 atau gred DGA29 berbanding 1.2% pada gred DG52 atau gred DGA34 (lihat Ekshibit 5-9).



Taburan guru mengikut gred perkhidmatan

Satu lagi cabaran kepada kemajuan kerjaya secara berkesan ialah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT). LNPT tidak dikaitkan dengan kompetensi pengajaran khusus seperti pengetahuan mata pelajaran dan penguasaan pelbagai strategi pengajaran. Memandangkan LNPT ialah instrumen yang sama bagi kegunaan semua penjawat awam, dimensi penilaiannya adalah bersifat generik dan tidak menjadi pengukur prestasi yang sebenarnya. Sebagai contoh, daripada hampir 48,000 orang sampel guru yang diambil pada tahun 2010, lebih daripada 60% responden telah digredkan dengan markah melebihi 90%, manakala 38% mendapat skor antara 70% hingga 90%, dan 2% daripada responden mendapat skor bawah daripada 70%. Keadaan ini menyebabkan Kementerian menghadapi kesukaran menyediakan sokongan profesionalisme mengikut kumpulan sasaran yang tepat berdasarkan prestasi Bagi mengatasi kesukaran ini, Kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian. Walau bagaimanapun, instrumen berkenaan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru tentang dimensi atau kriteria sebenar yang diambil kira dalam penilaian mereka. Disamping itu, para guru juga telah menimbulkan kekhuatiran mengenai penilaian yang membazirkan masa dan sumber kerana pertindihan kriteria.


Pelan Tindakan: Mentransformasi profesion

Keguruan menjadi profesion pilihan

Kementerian terus beriltizam mengekalkan dasar sedia ada, iaitu mengukuhkan profesion keguruan di Malaysia bagi menjadikannya menarik, mendatangkan kepuasan dan berprestij. Mengambil iktibar daripada kejayaan yang dikecapi daripada usaha terdahulu, dan permuafakatan awal dengan para guru serta kesatuan guru, Kementerian bercadang melaksanakan Pakej Kerjaya Guru baharu dalam beberapa fasa. Pakej Kerjaya ini akan menangani cabaran masa kini yang dihadapi oleh guru pada setiap peringkat dalam kerjaya mereka. Pakej ini merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu, membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme berasaskan teladan rakan setugas.

Gelombang 1 (2013-2015): Meningkatkan standard dan sistem sokongan

Gelombang 1 akan menumpukan kepada peningkatan standard profesionalisme, dan menambah baik sistem sokongan dan persekitaran
kerja. Empat langkah akan diambil:
(i) meningkatkan standardkemasukan;
(ii) mengukur prestasi berdasarkan kompetensi;
(iii)meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme
berterusan; dan
(iv) mengurangkan beban tugas pentadbiran guru. Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan.

Meningkatkan standard kemasukan bagi guru pelatih dan ambilan guru baharu

Kementerian akan mengetatkan proses pemilihan ambilan guru ke IPG dengan memilih calon guru pelatih daripada kumpulan 30% teratas bagi setiap kohort yang tamat persekolahan. Kementerian bercadang mengecilkan saiz ambilan guru sekiranya bilangan calon yang berkelayakan pada sesuatu tahun berkurangan; seterusnya, bekerjasama dengan IPTA untuk menetapkan standard kemasukan yang setara bagi program latihan perguruan.

Kementerian juga akan menetapkan standard yang lebih ketat untuk bergraduat daripada latihan perguruan dan seterusnya diambil bertugas sebagai guru permulaan bawah Kementerian. Pada masa hadapan, guru permulaan akan dipilih hanya apabila mereka dapat menguasai kompetensi minimum yang mereka perolehi melalui praktikum dan kerja kursus semasa latihan perguruan. Syarat ini adalah untuk memastikan hanya guru yang terbaik dan paling layak menyertai sistem. Walaubagaimanapun, guru pelatih sedia ada di IPG dan di IPTA pada masa kini
tidak terikat dengan dasar baru ini.

Sehingga kini, Kementerian telah mengambil hampir 15,000 orang guru pelatih setiap tahun. Oleh sebab kekurangan guru secara mutlak bukan  lagi menjadi isu, Kementerian sedang meneliti pengurangan ambilan guru pelatih secara berperingkat-peringkat sehingga 50% dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam masa yang sama, dengan kadar persaraan sedia ada dijangkakan baharu akan berlaku pengurangan dalam saiz kohort sebanyak 10% menjelang 2025. Kementerian akan memantau perubahan saiz bilangan guru yang berada dalam sistem bagi memastikan sebarang pengurangan ambilan guru baharu tidak akan menjejaskan saiz kelas atau keberhasilan murid. Sebaliknya, pengecilan kohort ini akan  dapat dilaksanakan apabila guru menggunakan waktu bekerja dengan optimum dan meningkatkan produktiviti mereka. Mengukuhkan kaitan antara prestasi dengan kompetensi Peningkatan kualiti guru bermula dengan gambaran yang jelas tentang ckecemerlangan profesion keguruan. Dengan itu, Kementerian dapatmengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan sokongan, dan dengan itu dapat menyediakan bantuan yang tepat kepada guru yang memerlukannya.

Bagi mencapai tujuan ini, Kementerian akan menyediakan satu instrumen yang mengandungi kompetensi yang perlu dimiliki oleh guru pada setiap peringkat tempoh perkhidmatan mereka. Kompetensi ini merentas empat dimensi yang berbeza: pengajaran dan pembelajaran, nilai-nilai profesional, aktiviti di luar bilik darjah, dan sumbangan profesional. Instrumen ini akan dirintis pada tahun 2013 dan diguna pakai pada tahun 2014 bagi menggantikan semua instrumen yang ada pada masa ini,termasuk LNPT.

Berdasarkan instrumen penilaian guru yang baharu, (lihat Ekshibit 5-10), dicadangkan hampir 60% daripada skor penilaian diasaskan pada keberkesanan pengajaran guru. Penilaian ini ditentukan melalui dua aspek, iaitu pemerhatian guru dalam bilik darjah dan pencapaian murid dalam kelas yang diajar. Kementerian juga mencadangkan lebih daripada seorang penilai, termasuk seorang penilai rakan sebaya, dilantik dan mewujudkan proses rayuan bagi guru yang tidak setuju dengan penilaian yang dilakukan terhadap mereka. Objektif proses penilaian ini adalah mewujudkan suatu pendekatan lebih tekal dan objektif yang merentas semua penilaian dan memupuk budaya prestasi cemerlang di sekolah



Menekankan pembangunan profesionalisme berterusan


Menyedari bahawa guru mungkin memerlukan bantuan bagi memenuhi kompetensi baharu yang diharapkan, Kementerian beriltizam untuk memenuhi keperluan berkenaan bagi memastikan kejayaan mereka. Oleh itu, Kementerian akan membangunkan portfolio program latihan bagi setiap aspek keperluan kompetensi dalam instrumen baharu. Sesetengah modul dalam portfolio program latihan ini merangkumi kecekapan asas yang diharapkan daripada semua guru, seperti pedagogi yang menyokong pembangunan pemikiran aras tinggi murid. Kompetensi teras ini diwajibkan kepada semua guru. Modul lain akan dijadikan elektif bagi membolehkan guru membuat pilihan berdasarkan minat dan kekuatan peribadi, atau mana-mana bidang yang dikenal pasti untuk meningkatkan profesionalisme guru. Dalam membangunkan portfolio ini, Kementerian akan lebih menumpukan kepada program pembelajaran berasaskan sekolah. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa program pembelajaran berasaskan sekolah merupakan bentuk pembangunan profesionalisme yang paling berkesan. Dua inisiatif akan dilancarkan pada Januari 2013 untuk memperkenalkan guru kepada program pembangunan profesionalisme baharu. Inisiatif pertama ialah pewujudan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik. Guru akan mendapatkan gambaran bersifat amali tentang amalan pengajaran terbaik untuk dilaksanakan di dalam bilik darjah mereka. Video ini boleh juga digunakan semasa sesi latihan dan bimbingan kemahiran pedagogi. Inisiatif kedua ialah peluasan program bimbingan guru iaitu

Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (School Improvement (Band 5, 6 dan 7). SISC+ yang baharu akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah yang lebih luas seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 4. Kementerian juga beriltizam dalam memastikan penerusan program pensiswazahan guru dengan matlamat 60% guru siswazah sekolah rendah dan 90% guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Bagi tujuan ini, Kementerian akan terus menyokong guru bagi melanjutkan pengajian mereka.

Meningkatkan kualiti persekitaran kerja guru

Menyedari bahawa tugas pentadbiran yang berlebihan bolehmenjejaskan masa dan keberkesanan tugas utama pengajaran dan pembelajaran guru,  maka Kementerian akan mengambil dua tindakan utama semasa Gelombang 1 untuk mengurangkan beban tugas yang tidak diperlukan.

Pertama, Kementerian telah mula menyeragamkan sistem pengurusan dan pengumpulan data sedia ada untuk menghapuskan pertindanan keperluan data. Tiga pangkalan data telah disasarkan bagi proses awal penyeragaman data: Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang digunakan untuk menggabungkan keputusan murid daripada peperiksaan semester berasaskan sekolah, Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang digunakan untuk menjejak keputusan pentaksiran berasaskan sekolah dan Sistem Maklumat Murid (SMM) yang mengandungi data sekolah dan guru. Perubahan ini seharusnya menghapuskan permohonan berulang bagi data yang sama dan memudahkan proses memasukkan data baharu ke dalam sistem. Kementerian juga akan mengkaji semula keperluan laporan pendokumentasian dan laporan sedia ada (sebagai contoh, keperluan untuk pensijilan ISO) bagi penyeragaman bidang-bidang berkenaan. Kedua, Kementerian akan mengenal pasti kaedah bagi mengatasi isu kesesakan di sekolah yang mempunyai purata saiz kelas melebihi 35 orang murid. Kaedah yang dicadangkan termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, penempatan semula guru tambahan, dan/atau mengetatkan penguatkuasaan kuota enrolmen. Walau bagaimanapun, Kementerian tidak akan mengurangkan bilangan murid bagi setiap kelas daripada 35 orang kerana terdapat bukti kajian peringkat antarabangsa yang menunjukkan saiz kelas bukan faktor penyumbang utama kepada pencapaian murid berbanding kualiti guru.

Gelombang 2 (2016 ke 2020): Mengukuhkan kemajuan dan laluan kerjaya

Dalam Gelombang 2, Pakej Kerjaya Guru baharu akan dibina atas kejayaan Gelombang 1 yang memberi tumpuan kepada peningkatan standard dan kualiti program latihan praperkhidmatan perguruan, dan memastikan hanya graduan yang terbaik dipilih menyertai profesion keguruan. Pakej ini akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung pada minat guru. Selain itu, kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi, manakala guru yang tekal berprestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula. Semua kerja awal bagi perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan Gelombang 1 untuk membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.

Meningkatkan sistem latihan praperkhidmatan dan sistem pemilihan guru


Kementerian akan menyemak semula kurikulum latihan praperkhidmatan di IPG bagi memastikan guru diberi persediaan secukupnya bagi mengajar Kemahiran Abad ke-21 yang diperlukan oleh murid di Malaysia (lihat Bab 4 untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perubahan yang dihasratkan dalam kurikulum dan pentaksiran). Kementerian juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya kurikulum latihan praperkhidmatan yang sama dilaksanakan di IPTA. Di samping itu, Kementerian akan meningkatkan kualiti pengalaman praktikum secara tekal dari segi waktu yang diperuntukkan, dan melibatkan guru berpengalaman yang memiliki kemahiran pementoran menyelia guru pelatih. Langkah ini akan membolehkan guru menambah keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah seawal hari pertama mereka menyertai perkhidmatan perguruan.

Pengukuhan laluan kerjaya

Kementerian akan meneliti pelaksanaan tiga laluan kerjaya yang
berbeza:
(i) laluan pengajaran bagi guru yang ingin kekal mengajar di bilik darjah;
(ii) laluan kepimpinan dan pengurusan bagi guru yang ingin menjawat jawatan kepimpinan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau pusat;
(iii) laluan pakar bidang khusus bagi guru yang ingin menjadi pembimbing guru dan jurulatih, pensyarah di IPG dan IAB, atau pembangun kurikulum dan pentaksiran. Laluan kerjaya ini akan dibangunkan semasa Gelombang 1 selepas berunding dengan kesatuan guru dan akan dijajarkan dengan perubahan laluan kerjaya yang serupa bagi pemimpin sekolah (perincian Bab ini dalam bahagian Pemimpin Sekolah).

Bagi setiap laluan, Kementerian menggunakan instrumen yang dibangun dalam Gelombang 1 bagi menentukan kompetensi guru yang dijangka berkembang selari dengan keperluan setiap kenaikan pangkat. Kementerian juga akan memastikan peluang kenaikan pangkat dalam setiap laluan adalah setara, dan pergerakan merentas mana-mana laluan dibenarkan.

Rombakan kemajuan kerjaya

Kementerian berhasrat untuk mengukuhkan skim Guru Cemerlang sedia ada. Di bawah skim laluan pantas yang disemak semula, dicadangkan guru berprestasi tinggi dinaikkan gred dari DG41 ke DG54 dalam tempoh masa yang lebih pendek berbanding tempoh 25 tahun sekarang (Ekshibit 5-11). Kemajuan kerjaya guru bergantung pada kepantasan seseorang guru menguasai kompetensi yang ditetapkan pada setiap peringkat. Kredit tambahan akan diberikan kepada guru yang berjaya menyempurnakan perkhidmatan antara tiga hingga lima tahun di sekolah di luar bandar/pedalaman, dan/ atau di sekolah berprestasi rendah. Pergerakan pantas ini bertujuan memberikan ganjaran kepada guru yang cemerlang, dan menjadi insentif kepada guru yang terbaik untuk bertugas di sekolah berkenaan. Implikasinya, komposisi tenaga kerja guru akan beranjakdaripada didominasi oleh guru muda kepada guru berpengalaman berkemahiran tinggi. Dianggarkan terdapat antara 2% hingga 5% guru pada setiap tahun yang mendapat manfaat daripada skim laluan pantas ini.



Kementerian juga akan melancarkan satu skim peralihan untuk guru yang menunjukkan prestasi rendah tiga tahun berturut-turut walaupun telah diberikan sokongan secara intensif. Kementerian menyedari hakikat bahawa mengekalkan tugas mengajar kepada guru-guru ini akan menyebabkan mereka kehilangan peluang kenaikan pangkat. Prospek mereka mungkin lebih cerah sekiranya mereka berupaya melaksanakan tugas lain yang lebih sesuai dengan kebolehan mereka. Kementerian beriltizam untuk menyediakan beberapa pilihan untuk guru-guru ini dan memastikan mereka menerima sokongan secukupnya bagi melakukan peralihan ini. Menerusi skim ini, Kementerian akan menempatkan semula guru bagi menjalankan peranan lain dalam sekolah seperti membantu tugas pentadbiran, pengurusan disiplin, atau pengurusan aktiviti kokurikulum (Ekshibit 5-12). Kementerian juga akan meneroka pilihan bagi melatih semula guru-guru ini supaya berjaya melaksanakan peranan baharu yang dipilih mereka.



Gelombang 3: Mewujudkan budaya

Kecemerlangan profesionalisme berasaskan rakan setugas


Menjelang tahun 2021, semua elemen Pakej Kerjaya Guru baharu diharap akan dapat dilaksanakan. Profesion keguruan akan berubah apabila guru dapat menikmati pelbagai laluan kerjaya berbeza; dan menerima kesan daripada pelan induk pembangunan profesionalisme yang dirangka khusus untuk guru; serta pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, bukannya tempoh perkhidmatan. Sepanjang tempoh Gelombang 3, Kementerian akan menumpukan kepada usaha memastikan semua guru memanfaatkan keluwesan dalam hal-hal profesionalisme berkaitan jadual waktu, kurikulum dan susunan pengajaran, pendekatan pedagogi dan pentaksiran berasaskan sekolah. Keluwesan dalam hal ini diberikan kepada mereka dalam Gelombang terdahulu. Kementerian berhasrat untuk mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas, iaitu guru membimbing satu sama lain, dan saling memberi inspirasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mengamalkan nilai kebertanggungjawaban untuk memenuhi standard profesional. Kementerian juga mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kompetensi keguruan seperti ditetapkan dalam Gelombang 1. Kementerian akan bekerjasama dengan wakil kesatuan guru untuk mencapai semua matlamat ini.
_______________________________________________________________________________


Sebagai tanda terima kasih anda boleh tekan LIKE di bawah ini ;




Sebarang pertanyaan sila komen ataupun terus bertanya ke Facebook peribadi atau Fan Page.

Sekian, Terima kasih.

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.