Pin It

Widgets

Sebak & Terharu : Pengalaman Guru Di Pedalaman


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

Sebak & Terharu : Pengalaman Guru Di Pedalaman


Memandangkan khabar angin yang mengatakan bakal-bakal guru bujang kebanyakan akan di hantar ke Sabah dan Sarawak.  Penulis terasa agak gundah gulana, kerana memikirkan beberapa perkara. Pertama adalah mengenai keluarga, kedua mengenai kesukaran dalam urusan rumahtangga kemudian hari jika berkahwin dan terakhir adalah mengenai keselesaan dan kemudahan.

Mungkin bagi sahabat-sahabat memikirkan guru haruslah sanggup berkorban. Benar, penulis bersetuju tetapi kerana kehidupan sebelum ini adalah zon selesa bagi penulis, tidak terfikir jika penempatan penulis nanti tiada kemudahan internet, elektrik mahupun air bersih.  Inilah yang menjadi igauan penulis ketika ini bagi menunggu penempatan.

Seperti biasa, Allah S.W.T adalah tempat penulis mengadu dan mencari ketenangan. Berkongsi perasaan dengan sahabat yang juga senasib menunggu. Mendengar kata-kata orang lain juga adalah ubat yang mujarab.

" Kita bersangka baik dengan ketentuan hidup, InsyaAllah perkara yang kita fikirkan buruk bagi kita, mungkin hikmahnya adalah kebaikan kepada kita sebenarnya"  Bersahaja sahabat saya cuba menenangkan perasaan saya ini.

Sudah menjadi satu kemestian penulis cuba menukar persepsi dalam minda dengan mencari-cari pengalaman dan maklumat orang-orang terdahulu. Penulis nukilkan kembali apa yang dapat memberikan penulis perasaan yang baik dan meningkat moral penulis bersedia untuk situasi yang paling sukar. Sebak dan terharu mendengar kisah guru-guru ini. Adakah penulis juga sekuat mereka?

_______________________________________________________________________________



Pernahkah kalian merasai betapa agungnya pengorbanan seorang guru. Baru-baru ini, penulis berpeluang menonton dvd [ terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan ]– kisah guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman. Semakin menonton, semakin sebak memikirkan betapa mulia dan beratnya tugas mereka.




Cikgu Azli, SK Abuan, Sabah


" Saya bertugas di SK Abuan, jaraknya sejauh 300 kilometer dari jalan darat. Tiada jalan lain, melainkan mesti melalui jalan sungai. Dengan menggunakan jalan sungai, saya menaiki perahu yang mengambil masa selama 1 hari. Jika cuaca buruk, ia akan mengambil masa selama 2 hari. "

" Apabila bertugas di sini barulah saya mengerti apakah maksudnya itu sepi. Saya pernah berseorangan tinggal di kawasan sekolah ini sendirian. Ini kerana semua guru di sekolah saya pergi berkursus. Selama itulah saya bersendirian. Saya seorang yang mengajar dari tahun 1 hingga tahun 6. Dengan menggunakan lampu minyak tanah. Pandang kanan, nampak dinding. Pandang kiri nampak meja. Hanya mampu bercakap dengan kucing sajalah. "



" Lampu dan tenaga elektrik sangat penting dan cukup berharga. Tetapi, kami di sini hanya dapat menggunakan dua jam sehari. Semuanya memerlukan bekalan minyak. Perlu berjimat, siapa pula mahu pergi sejauh 300 kilometer membeli minyak, bergadai nyawa melalui air deras?. "


" Di sini lah saya belajar mencari sayur-sayur hutan. Saya belajar menanam padi huma. Saya belajar menyelam. Bila penat, bermain air bersama anak murid. Bila bosan tengok gambar. Tipulah kalau saya katakan saya tidak menangis. Saya risaukan ibu saya."


" Tetapi, bila saya ingatkan tanggungjawab saya, dan cabaran saya tabahkan hati. Sedari tidak, sudah lebih dua tahun saya di sini. "


" Saya kasihankan cikgu, sanggup bersusah payah" Rashid



Robert Gubat
SK Buayan, Penampang,
Sabah

" Apabila saya mendapat surat, yang mengatakan saya akan bertugas di SK Buayan, hati rasa resah dan gelisah kerana tidak pernah mendengar nama sekolah tersebut. Apabila bertanya orang, orang pun menjawab sekolah itu sangat jauh."





" Memang sangat jauh. Kerana untuk sampai ke sekolah tersebut perlu BERJALAN selama 8 jam. Tiada jalan lain, hanya melainkan dengan berjalan kaki sahaja. Perasaan saya takut, dan bercampur baur. Saya pun mendaki bukit dan menyeberangi sungai. "


" Pernah hampir semua pakaian saya dihanyutkan air. Baju yang dipakai pun basah. Saya pernah rasa mahu menangis. Dan, waktu kali pertama saya sampai, saya jatuh ke dalam sungai. "


" Walau bagaimana pun, sudah bertahun saya bertugas di sini. Saya berharap akan terus berada di sini, menyumbangkan bakti kepada anak bangsa. Tiada siapa yang boleh diharapkan, kerana itulah tugas saya sebagai seorang guru. "




Johnny Wannie
SK Saliran, Nabawan, Sabah

" Pertama kali saya mendengar saya akan bertugas di sana, saya pun menjadi takut. Tetapi, saya kuatkan semangat. Dari pekan Nabawan kami, menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 2 jam, menyusri jalan tanah merah. Setibanya di jeti, hati lagi berasa takut dengan air sungai dan waktu ketika itu banjir. Kami pun menyewa bot, dan meneruskan perjalanan. Kira-kira sudah hampir dua jam kami berehat di tebing sungai."

" Saya memberanikan diri, bertanyakan kepada penunjuk jalan. " Kita sudah sampaikah? " Oh cikgu, masih jauh lagi. Masih lagi separuh jalan, cikgu"

" Hati saya lagi berasa sangat sedih, tetapi saya tabahkan hati saya. Memang saya tidak menyangka saya akan bertugsa sejauh ini. Antara pengalaman pahit saya pernah tidur di tepi sungai pada waktu malam, untuk berehat kerana perjalanan masih lagi jauh."

" Saya sudah tiga tahun bertugas di sini, dan saya berhasrat untuk terus berkhidmat di sini. "


Sekian, Terima kasih.

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.