Pin It

Widgets

Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi & Politik


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment

Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi & Politik

Program Transformasi Kerajaan (GTP)


Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009, dan akan diterajui oleh beliau. Dua objektif GTP adalah – pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 – untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya.

Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi Kerajaan dan ianya adalah:


• Mengurangkan Jenayah
• Membanteras Rasuah
• Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar
• Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isirumah Berpendapatan Rendah
• Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar
• Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar

Mengurangkan kadar jenayah
Mengurangkan jenayah jalanan 20 peratus pada hujung 2010. Pasukan Rela dikemaskini dan diberi latihan secukupnya. CCTV ditambah untuk cegah jenayah. Percepatkan perundangan kes-kes tertangguh.

Memerangi rasuah

Mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan. Tender terbuka atau tender terhad dalam semua perolehan kerajaan kecuali kes-kes tertentu.

Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
Menjadikan pendidikan prasekloah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Semua kanak-kanak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sebelum hujung 2012. Menjanjikan ganjaran kepada semua pengetua dan guru besar sekolah berasaskan pencapaian sekolah masing-masing. Mengenal pasti 100 buah sekolah terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2012.

Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah
Membayar semua bantuan kebajikan untuk rakyat pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan bermula Januari 2010. Menambah jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
Membina jalan luar bandar berjumlah 1,500km sebelum penamat 2012. Memastikan kesemua rakyat di semenanjung tinggal tidak melebihi 5km dari kemudahan jalan berturap. Meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Meningkatkan liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak kepada 95% pada akhir tahun 2012. Memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.

Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana
Meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam daripada 16% kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Menambah 35 set “4-car-train” yang beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya menjelang penghujung 2012.


Program Transformasi Ekonomi (ETP)


Pengenalan

Program Transformasi Ekonomi merangkumi Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP).

Perdana Menteri juga telah melancarkan dokumen Pelan Hala Tuju ETP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober 2010. Kandungan Pelan Hala Tuju ETP ini turut merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu :

1. Minyak, gas & tenaga
2. Minyak sawit
3. Perkhidmatan kewangan
4. Pelancongan
5. Perkhidmatan perniagaan
6. Elektronik dan elektrikal
7. Pemborongan & peruncitan
8. Pendidikan
9. Penjagaan kesihatan
10. Kandungan & infrastruktur komunikasi
11. Pertanian
12. Greater Kuala Lumpur

Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga bersandarkan Model Baru Ekonomi (NEM).






Program Transformasi Politik

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap lapuk bukan sahaja mencatat sejarah baru tetapi turut merubah landskap politik negara sepanjang 2011.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak, khususnya barisan pembangkang yang terkesima dan mati akal dengan langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hanya mengambil masa dua tahun untuk menunaikan janjinya bagi melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) negara.

Tanggal 15 September menjadi titik permulaan transformasi politik negara yang dilakukan Najib apabila beliau mengumumkan pemansuhan ISA, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967, semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia.

ISA akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang sesuai dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac tahun depan.

Kata Najib, dua akta baru yang akan menggantikan ISA bakal mewujudkan perseimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam.

Langkah itu juga, kata Perdana Menteri membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang progresif dengan lebih baik dan dihormati negara lain. Pada Oktober, pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 diluluskan Dewan Rakyat tanpa sebarang pindaan selepas akta itu yang telah 34 tahun tidak diguna pakai, diyakini sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Ini diikuti dengan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, yang mana serentak itu Najib turut mengumumkan pembebasan kesemua 125 individu yang ditahan mengikut akta itu dengan serta-merta manakala lebih 200 waran yang belum diserahkan dibatalkan.

Menurut Najib, pemansuhan akta itu dan beberapa akta lain merupakan sebahagian daripada permulaan PTP negara dan pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan. Kesungguhan kerajaan melaksanakan proses transformasi politik itu menurut Perdana Menteri tidak dipengaruhi atau didesak mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar.

“Tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita.

Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata teras utama PTP mengambil kira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik, progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Ia juga bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan nasional dan kebebasan individu dengan mengambil kira kemajmukan negara, yang kompleks sifatnya, dan ancaman keganasan global pasca tragedi 11 Sept 2001, katanya. Transformasi politik Najib juga jelas kelihatan melalui pendekatan matang pentadbiran beliau berdepan gesaan badan bukan kerajaan dan desakan daripada pembangkang, berhubung kebebasan mengadakan perhimpunan termasuk perhimpunan haram 9 Julai — Bersih 2.0.

Seiring dengan semangat ‘merasai denyut nadi rakyat’, Najib dilihat berjaya meneruskan momentum transformasi politiknya apabila berupaya menggantikan pertentangan dengan dialog, sekatan dengan keterbukaan, dan mengatasi authoritarian dengan demokrasi.

Buktinya langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata.

Rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada hujung bulan lepas adalah satu daripada usaha kerajaan melakukan transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Turut diluluskan bulan lepas ialah usul untuk memansuhkan tiga Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977.


Usul yang dibentangkan Najib itu bertujuan membatalkan tiga proklamasi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan selepas keadaan darurat dan kini dimansuhkan kerana ancaman keselamatan seumpamanya tidak lagi wujud.

Selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan PTP fasa kedua dengan pemansuhan tiga Proklamasi Darurat itu, seramai 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan.

Tidak terhenti di situ, ruang demokrasi turut dibuka Najib kepada golongan mahasiswa apabila kerajaan memutuskan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat, Najib berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

“Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau ‘age of majority’, kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik,” katanya.

Penuntut universiti bagaimanapun ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Langkah itu, dilihat banyak pihak mampu mengembalikan keyakinan sebahagian pengundi muda yang sebelum ini lebih cenderung kepada agenda pembangkang.

Biarpun langkah-langkah transformasi Najib mungkin diterjemah sesetengah pihak sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi, namun tidak dapat dinafikan pembaharuan yang dibawakan anak sulung Tun Abdul Razak Hussein ini akan kekal menjadi legasinya sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam. – BERNAMA


1 comment

  1. Anonymous
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.