Pin It

Widgets

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.
KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?

Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?

KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon             03-88842283      .

S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

J:
KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?

J:
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

KSSR terap 1Malaysia




KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.

Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.

KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.

Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR.

Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.

Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih.

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.

Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.

Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara.

Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M.

KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.

sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan 

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.