Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment

SIRI 2 : JELAJAH EROPAH ( PARIS : 13 -15 JULAI 2011, AHAD )

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca semua.

Pada 10 Julai hingga 19 Julai 2011, penulis telah berkesempatan membuat Lawatan Kerja ke Eropah iaitu selama 8 hari dan 7 malam di London ( United Kindom), Paris ( France), Brussel(Belgium), Amsterdam ( Belanda/ Netherland/Holland), dan Cologne/Frankfurt ( Germany).



Delegasi bersama penulis ialah Mantan MPP UTHM Sesi 09/10 seramai 23 orang iaitu Shahzada Khan, Pua Tiong Eng, Sufiah, Fauziah, Hafsa, Hadi, Latifi, Marina, Faris, Melissa, Amirul Hadi, Aiman, Najihah, Fauzi, Rosazlinda, Salbiah, Adib, Farah, Wan Adrizal, Anas, Hariz Hafiz, Syazwan Liyana, dan Sumaidah. Turut serta
Timbalan Naib Canselor (HEP) Prof. Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd Kassim dan Pegawai Pejabat HEP, En. Khairuddin Hj Alias.

* Artikel ini merujuk kepada Siri 2 : Jelajah Paris ( France). Artikel sebelum ini iaitu Jelajah Siri 1 : Jelajah London bolej rujuk pada link di bawah ;

http://fadzilmahasiswa.blogspot.com/2011/07/siri-1-jelajah-eropah-london-10-julai.html#more

Kota Paris

Hari Ketiga, 13 Julai 2011

KOTA Paris sejak sekian lama menjadi simbol kemewahan dan prestij kehidupan manusia. Di dalam menu pelancongan ia sudah cukup masyhur dan tidak memerlukan pengenalan malah tersenarai sebagai destinasi paling dikunjungi di dunia.

Grafiti di Kota Paris

Antara kemodenan dan garapan masa lalu. Inilah keunikan kota Paris - ibu negara Perancis yang sudah terlalu popular di bibir ramai, apalagi yang pernah menjejakkan kaki ke sini. Apa yang menarik, biarpun bersandarkan senario abad ke-21, masih banyak ciri-ciri Kota Cinta ini yang tersergam sedari zaman silamnya termasuk mercu tanda utamanya - Menara Eiffel yang dibina pada 1889.

Bagi yang pertama kali mengunjungi negara itu, pilihan destinasi pasti cenderung kepada lokasi-lokasi utama di sekitar kota Paris seperti Menara Eiffel, Arc de Triomphe, Gereja Notre Dame dan Muzium Louvre.

Stesen Keretapi St. Pancras

Selepas sarapan pagi di hotel di London, kami ke Stesen Keretapi St. Pancras untuk menaiki keretapi EUROSTAR 2nd class ke Paris.


Bersama pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Paris


Kami tiba di Stesen keretapi Gard Du Nord, Paris. Sebuah bas menjemput kami terus ke Kedutaan Besar Malaysia di Paris. Pegawai Kedutaan menyambut kami.

Mantan MPP UTHM di Kedutaan Besar Malaysia di Paris


Taklimat awal di berikan oleh beliau mengenai peranan Pejabat Kedutaan Malaysia di Paris. Antaranya kebajikan rakyat Malaysia di Perancis, peranan ekonomi dua hala Malaysia-France, peranan kebajikan pelajar di sini dan lain-lain perkara.


Kemudian
sesi dialog dua hala antara pihak Mantan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM Sesi 08/09 bersama-sama Timbalan Naib Canselor (HEP) Prof. Ir. Dr. Amir Hashim dengan pegawai-pegawai Pejabat Kedutaan Malaysia di Paris berlansung. Semasa sesi soal jawab ini, penulis sempat bertanyakan sejauh mana setakat ini, kerjasama ekonomi di antara Malaysia dan Perancis melalui perbandingan ekonomi Malaysia-London yang lebih baik.


Bangunan Menarik di Paris

Bangunan Menarik di Paris


Pegawai tersebut tidaklah memberikan data yang jitu atau persis tetapi menjawab secara umum bahawa perbandingan dengan London adalah tidak tepat kerana hubungan Malaysia-London adalah rapat kerana bekas penjajah dan tanah jajahan yang sekarang di bawah Komanwel berbanding Perancis. Tetapi beliau ada mengatakan bahawa Tun Dr. Mahathir lebih di kenali kerana hubungan rapatnya dengan Presiden Perancis sebelum ini.

Selepas sesi ramah mesra bersama pegawai kedutaan, kami kembali menaiki bas dan bersiar-siar dengan bas mengelilingi bandar Paris. Bas kami menyusur Sungai Raine.
Seine itu maksudnya suci dalam Latin. Sungai ini memang panjang. Ada 37 jambatan merentasi sungai ini.




Melalui jendela tingkap bas, kelihatan iaitu melewati melewati Pont Bir-Hakeim, ada replika Patung Liberty yang dibina ke arah Patung Liberty asli di New York, Amerika Syarikat. Kami juga melalui Akademi Militer ( Napolean Benoparte). Bangunan UNESCO dan makam Pahlawan ( Les Invaleds).


Berhadapan Hotel Holiday Inn Porte Saint Ouen di Paris


Selepas itu, kami “check-in” Hotel Holiday Inn Porte Saint Ouen. Pada petang hari kami keluar semula ke restoren Indonesia untuk makan dan kemudian pulang ke hotel dan bermalam.


Teknik bergambar daun musim luruh "gagal", Berhadapan Hotel Holiday Inn Porte Saint Ouen di Paris

Teknik bergambar daun musim luruh "berjaya", Berhadapan Hotel Holiday Inn Porte Saint Ouen di Paris

Hari Keempat, 14 Julai 2011

Selepas sarapan pagi di Hotel, kami separuh hari bersama pemandu pelancong tempatan yang berbahasa Indonesia, ke Notre Damn,

Notre Dame di Paris

Notre Dame pula mula dibangunkan pada 1163 dan siap pada 1330. Notre Dame dalam bahasa Perancis adalah Ibu Kita yang merujuk kepada Bonda Maria. Sebab itulah banyak gereja yang bernama Notre Dame di Perancis dan di negara bekas jajahannya.

Les Invalides

Les Invalides

Kemudian kami berhenti di Les Invalides. Les Invalides merupakan kubur hero-hero Revolusi Perancis. Napoleon Bonapart dan orang-orang kanan dia dikebumikan di dalam bangunan itu. Sebahagian daripada Les Invalids, ada meriam-meriam gangsa. Semasa penjajahan Nazi Jerman, Adolf Hitler dulu ambil benda dalam bangunan itu seperti meriam, bawa ke Jerman. Selepas Jerman kalah, meriam-meriam ni diambil semula dan letak ke tempat asal.

Sisi lain Les Invalides


Arc De Triomphe

Kemudian, bas kami melalui Arc De Triomphe . Arca ni dibina sebagai mengingati jasa-jasa rakyat berjuang pada ketika Revolusi Perancis dan Perang Napoleon. Kat bawah ruang-ruang gelap tu ada makam nama dia Tomb of the Unknown Soldier dari Perang Dunia Ke-1,


Menara Eiffel


Seterusnya adalah saat-sat yang saya dan semua delegasi tunggu iaitu ke Menara Eiffel. Menara Eiffel merupakan sebuah menara besi yang dibangun di Champ de Mars di tepi Sungai Seine di Paris. Menara ini telah menjadi ikon global Perancis dan salah satu struktur terkenal di dunia.

Menara Eiffel

Dinamakan bersempena nama perancangnya, Gustave Eiffel, menara ini merupakan monumen yang paling kerap dilawati di dunia. Menara ini memiliki ketinggian 300 meter dan di atasnya terdapat antena televisyen setinggi 24 m.

Pemandangan daripada atas Menara Eiffel

Bangunan yang tertinggi di Perancis dan menjadi simbol kepada negara itu, "Menara Eiffel" atau lebih diberi jolokan "Menara besi" kerana hampir keseluruhannya bahan binaannya adalah daripada besi. Dibina oleh jurutera hebat yang bernama "Gustave Eiffel", Menara Eiffel mendapat namanya dari pembuatnya bagi mengenang jasa beliau. Keunikan monumen ini telah memukau mata dunia dan telah mengamit ramai pelawat hingga dikatakan Menara yang sering dikunjungi di dunia iaitu sebanyak 6,428,441 pelawat dan lebih 200 juta sejak ia siap dibina.

Menara Eiffel

Dibuka dengan rasminya pada 31 Mac 1889, Menara Eiffel yang memiliki ketinggian 300 meter (1,063 kaki) dan diatasnya terdapat 'Antena Televisyen' setinggi 24 m ini mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan. Selain digunakan untuk perlancongan Menara Eiffel juga dijadikan Menara Pemerhati. Memiliki 3 lif iaitu di aras bawah, tengah dan atas.

Di sebalik binaan besinya, mercu tanda ini memiliki 1,710 anak tangga yang menjadikannya menara tertinggi di dunia sehingga 1931 sebelum pembinaan Empire State Building di New York, Amerika Syarikat. Sewaktu pembukaan rasmi Menara Eiffel, Gustave Eiffel mendaki semua anak tangga ke puncak menara untuk memacakkan sendiri bendera Perancis. Biarpun hilang gelaran menara tertinggi dunia, Menara Eiffel diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO).



FAKTA MENARIK "MENARA EIFFEL"

· Lif memang diperlukan untuk bangunan setinggi ini untuk mengangkut pelawat ke atas dan ke bawah. Tahukah anda semua lif Menara Eiffel ini jika dihitung jumlah kegunaan tahunannya adalah bersamaan dengan 2 setengah kali mengelilingi dunia atau lebih daripada 103,000 km.

· Menara ini bergoyang sedikit apabila hari berangin.Tetapi pada tahun 1999, kejadian ribut telah menyebabkan ia bergerak 13 sm dari kedudukan asalnya. Malah matahari juga boleh menyebabkan menara ini condong sehingga 18 sm.

· Menara besi ini juga diperlukan belaian. Ia dicat semula setiap 7 tahun, tetapi bukanlah sebarang cat yang digunakan. Selepas menjalani sesi perbincangan yang serius, warna tembaga dengan variasi 3 tona telah dipilih kerana kombinasi 3 warna yang berbeza ini dianggap berpadanan dengan warna lagit Paris.

· Sewaktu pembukaan rasmi Menara Eiffel, juruteranya "Gustave Eiffel" mendaki semua 1,710 anak tangga ke puncak menara untuk memacakkan sendiri bendera Perancis.


Bateaux Parisens Cruise On The River Seine

Pada sebelah petang, kami menyusuri Sungai Seine, Paris iaitu perkhidmatan One Hour Bateaux Parisens Cruise On The River Seine. Pengalaman menyusuri Sungai Seine, Paris sambil menghayati keindahan Menara Eiffel yang berlatar belakang panorama indah bersulamkan garapan kota lama dan moden, pasti menjadi kenangan manis saya di Kota Cinta ini.

Menulis catatan di atas Cruiser, Bateaux Parisens Cruise On The River Seine


Sudah pasti, antara cara terbaik menghayati keindahan Kota Paris adalah dengan menaiki bot pelancong menyusuri tebing Sungai Seine di Paris. Penulis, seperti juga pengunjung lainnya, teruja dengan mata tidak jemu mengagumi Menara Eiffel yang turut diisytiharkan antara tujuh keajaiban dunia serta tarikan lain kota ini.

Bateaux Parisens Cruise On The River Seine


Pengembaraan bot selama sejam bermula dari di hadapan tapak Menara Eiffel dan berpusing kembali berakhir di pangkalan sama. Setiap destinasi dipisahkan sebuah jambatan merentangi sungai. Ada 37 jambatan merentasi Sungai Seine dalam bandar raya Paris yang boleh diibaratkan sebagai nadi kota ini.

Penulis sendiri, secara peribadi, menganggap pengalaman menyaksikan Menara Eiffel dari dalam bot ketika menyusuri sungai sebagai detik yang menakjubkan.


Memandangkan kebetulan pada tarikh ini Perancis menyambut cuti umum, Hari Nasional Perancis ( Bastille Day). Maka sepanjang menyusuri sungai, kami dapat melihat pertunjukan udara daripada pelbagai jenis kapal terbang, jet pejuang, helikopter dan pelbagai acara yang menarik.

Restoran Indonesia di Paris


Sungai Seine yang mengalir dari timur ke barat adalah nadi pelancongan, ekonomi dan sejarah kota Paris termasuk menjadi titik pengukur jarak iaitu angka kosong bermula di Ille de la Cite, sebuah pulau kecil di tengah sungai.

Sungai itu turut membahagikan Paris kepada dua iaitu ‘Right Bank’ (tebing kanan) di bahagian utara dan ‘Left Bank’ (tebing kiri) di bahagian selatan sungai. ‘Right Bank’ adalah kawasan industri kecil dengan memiliki pelbagai gedung niaga dan pejabat manakala bahagian ‘Left Bank” digemari sebagai lokasi seniman dan cendekiawan.

Dari aspek sejarah, kota Paris juga seakan dibahagi kepada dua iaitu di timur Sungai Seine berlatarkan sejarah silam kota manakala di bahagian baratnya cenderung ke arah era dunia moden abad ke-19 dan ke-20.

Pengembaraan ringkas di sungai itu membolehkan kita menikmati pelbagai monumen sejarah seperti muzium, bangunan lama, menara jam, gereja tua, patung dan arca pemimpin masa lalu, juga ada rumah dan pangsapuri yang bercirikan seni bina klasik Perancis.

Pelayaran penulis melintasi Pont des Invalides yang dihiasi kemegahan Pont Alexandre III dengan empat tiang utama di kedua sisi jambatan serta empat patung kuda terbang yang bersalut emas.

Ada fakta mengatakan jambatan yang menghubungkan kawasan Des Invalides dan Grand Palais – Champs Elysees adalah yang terindah di Paris yang dibina oleh putra Raja Russia, Tsar Alexander III pada 1896. Pelayaran diteruskan ke Pont de la Concorde yang menempatkan Place de la Concorde yang terkenal dengan hukuman pancung terhadap Marie Antoinette, permaisuri Raja Perancis, Louis XVI ketika Revolusi Perancis pada 1793. Antoinette dikenali sebagai ratu yang dingin dan kejam. Di sebelah kanan pula adalah Muzium Orsay (Musee de Orsay), satu daripada muzium tersohor di Paris untuk koleksi seni.

Seterusnya, Pont du Carrousel yang menempatkan Muzium Louvre iaitu antara muzium terbesar di Eropah yang terkenal dengan koleksi hebatnya seperti potret Monalisa karya pelukis terkenal dunia dari Itali, Leonardo da Vinci. Mendiang dilahirkan pada 15 April 1452 di Florence, Italia. Muzium ini juga semakin gah selepas menjadi menjadi lokasi pembikinan filem popular ‘Da Vinci Code.’

Seterusnya di depan mata adalah Pont des Arts, jambatan khas untuk pejalan kaki dan ia adalah jambatan besi pertama yang dibangunkan di Paris pada 1804. Seterusnya, jambatan panjang Ile de la Cite, kawasan paling bersejarah di Paris.

Pont Neuf pula adalah jambatan tertua di Paris yang dibangunkan pada 1578 tetapi siap pada 1607 ketika pemerintahan Henry IV. Jambatan indah ini meliputi 12 lengkungan sepanjang 275 meter.

Ile de la Cite adalah sebuah pulau kecil di tengah Sungai Seine dan dihiasi gereja terkenal Dame Cathedral. Di sinilah raja Perancis ditabalkan.

INFO: Sungai Seine

· Dalam bahasa Perancis `La Seine’ terletak di Wilayah Ile-de-France dan Haute-Normandie di Perancis.

· Sungai utama di Paris yang mengalir ke Selat Inggeris melalui kawasan Teluk Seine.

· Panjang Sungai Seine adalah 776 Kilometer (km).

· Sebanyak 37 jambatan merentangi Sungai Seine di dalam bandar raya Paris antaranya Pont de Normandie, iaitu antara jambatan bertambat kabel yang terpanjang di dunia.


Galeries Lafayette


Kemudian kami di bawa pula ke gedung membeli-belah utama di Paris iaitu Galeries Lafayette yang menempatkan jenama-jenama mewah Paris seperti Louis Vuitton, Longchamps dan sebagainya. Kemudian kami makan malam di Restoren Indonesia pulang ke Hotel dan bermalam.


Bersama, En. Khairuddin , pegawai HEP, Berhadapan Hotel Holiday Inn Porte Saint Ouen di Paris


Kisah di Brussel, Belgium akan di sambung pada Siri 3 : Jelajah Brussel ( Belgium). Mungkin minggu hadapan kerana penulis mempunyai tugas hakiki iaitu mengajar dan perlu membuat persediaan mengajar. Semoga bermanfaat para pembaca.

Sekian, Terima kasih.

-Mohd Fadzil bin Abdul Hanid-


1 comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.