Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment

Takdir? Jangan Bersedih kerana Ketetapan Allah S.W.T itu ada Hikmahnya.

Gambar kenangan penulis bersama anak-anak masyarakat Islam Kemboja. Terfikir kenapa takdir umat Islam kemboja sebegini. Persoalan yang masih tiada jawapan. Bagaimana Palestin? Afghanistan? Iraq?


Apakah Al-Qadar baik itu dari Allah?


Kita wajib beriman mengenai al-Qadhaa' dan Al-Qadar, maka sudah tentu, tidak ada sesuatu perkara pun yang tidak terlepas dari pengetahuan Allah swt, baik secara umum atau secara terperinci. Persoalannya ialah, Apakah al-Qadar itu meliputi perkara yang buruk? Syiekh Ibn Utsaimin mengatakan bahawa "qadar Allah tidak ada sesuatu yang buruk, akan tetapi keburukan itu terdapat pada yang ditakdirkan.". Allah swt melakukan sesuatu dengan mempunyai tujuan kebaikkan didalamnya, cuma sebagai hamba Allah swt tidak semua hikmah sesuatu takdir dapat kita ketahui rahsianya. Begitu juga jika dilihat dari qadar Allah yang umum, diturunkan dengan sebab-sebab kebaikan yang umum; contoh di turunkan Nabi Muhammad saw untuk kesejahteraan sekalian alam, firmannya :-

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". - [al-Anbiya’ 21:107]



Berkata Ibn Qayyim berkenaan dengan al-qadar :-

إنه سبحانه حكيم ، لا يفعل شيئاً عبثاً ولا لغير معنى ومصلحة وحكمة ، وهي الغاية المقصودة بالفعل ، بل أفعاله سبحانه صادرة عن حكمة بالغة لأجلها فَعَل ، كما هي ناشئة عن أسباب بها فعل ، وقد دل كلامه وكلام رسوله صلى الله عليه وسلم على هذا
"Sesungguhnya Allah swt Maha Bijaksana, tidak melakukan sesuatu sia-sia atau melakukan perkara yang tidak ada faedah, perbuatannya mempunyai matlamat, bahkan perbuatannya adalah hasil dari Maha Bijaksana, sebagaimana hasil dari sebab perbuatan, ini dinyatakan dari perkataannya dan perkataam Rasulullah saw"

Apakah usaha dan pilihan manusia masih didalam lingkungan al-Qadar?

Beriman dengan al-Qadhaa' dan Al-Qadar tidak berlawanan dengan keupayaan manusia boleh memilih dan berusaha. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan :-

فإن كل إنسان يعلم أن له مشيئة وقدرة بهما يفعل وبهما يترك ، ويفرق بين ما يقع بإرادته كالمشي ، وما يقع بغير إرادته كالارتعاش ، لكن مشيئة العبد وقدرته واقعتان بمشيئة الله تعالى وقدرته ، لقول الله تعالى : ( لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَقِيمَ - وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ ) التكوير /28-29.
ولأن الكون كله ملك لله تعالى فلا يكون في ملكه شيء بدون علمه ومشيئته .

"Setiap insan tahu bahawa mereka mempunyai keinginan dan keupayaan melakukan apa yang dia mahu atau tidak, dia boleh membezakan antara perkara-perkara yang berlaku apabila ia mahukannya, seperti berjalan, dan perkara yang berlaku kepadanya tanpa ia kehendaki, seperti mengigil. Akan tetapi kehendak dan keupayaan manusia tertakluk kepada al-Qadar Allah swt, firman Allah :-

"Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."- [al-Takweer 81:28-29]

Keseluruhan alam ini adalah milik Allah, dan tidak ada sesuatu pun boleh berlaku didalam pemilikannya tanpa pengetahuan dan kehendaknya" - tamat petikan

Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam membicarakan masalah ini mengatakan :-

إن الأخذ بالأسباب لا ينافي في القدر بل هو من القدر أيضا
"mencari sebab (atau memilih) tidak menafikan al-Qadar, bahkan ia termasuk al-qadar juga"

Contohnya: orang yang sakit berusaha mencari ubat, ini juga dinamakan qadar. Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan : Ketika Rasulullah saw ditanya mengenai ubat dan sebab-sebab atau usaha yang mungkin dapat melindungi seseorang dari sesuatu yang tidak diingini dapat menolak takdir Allah swt, baginda menjawab dengan jelas "Ini termasuk qadar (takdir Allah juga" (هي من قدر الله)- Hadith riwayat Ibn Majah dan Tirmudzi.

Ketika berlakunya wabak di Syam, Umar ra bermesyuarat dengan para sahabat dan beliau telah mengambil keputusan untuk tidak masuk ke Syam dan pulang kepada kaum muslimin. Mendengar keputusan tersebut, seorang sahabat bertanya :

أتفر من قدر الله يا أمير المؤمنين؟ قال: نعم، نفر من قدر الله إلى قدر الله، أرأيت إن نزلت بقعتين من الأرض، إحداهما مخصبة والأخرى مجدبة، أليس إن رعيت المخصبة رعيتها بقدر الله، وإن رعيت المجدبة رعيتها بقدر الله؟
"Apakah engkau hendak lari dari Qadar Allah Ya Amirul Mukminin?" Berkata Umar "Ya, Lari dari Qadar Allah kearah Qadar Allah [juga], Apakah pandangan anda jika engkau turun pada dua petak tanah, yang satu subur dan yang satu gersang (kering kontang), bukankah jika engkau membajakan yang subur bererti engkau membajakan dengan qadar Allah? dan jika engkau membajakan yang tandus bererti engkau membajakkan dengan qadar Allah?"

Kesimpulannya, al-Qadar Allah semuanya baik, sesuai dengan sifat kesempurnaan, Allah swt tidak akan melakukan sesuatu itu dengan sia-sia sahaja. Persoalan Qadhaa' dan Qadar ini merupakan salah satu Rahsia Allah swt yang tidak mungkin dapat diketahui oleh umatnya secara terperinci. Kita memahami konsep Al-Qadar melalui Al-Quran dan juga hadith Nabi saw yang sahih oleh kerana sedikit sangat yang kita tahu mengenai al-qadarnya. Memadailah 4 perkara yang dipaparkan diatas merangkumi skop-skop yang perlu kita Imani didalam Qadhaa' dan Qadar. WA.

Ulasan saya :

Percaya kepada qada’ dan qadar adalah Rukun Iman yang keenam, yang mana umat Islam wajib mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Allah pula bersifat Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, segala yang berlaku adalah dengan ketetapan-Nya. Bagaimanapun, manusia dituntut berusaha dalam kehidupan dan juga dituntut banyakkan berdoa kepada Allah kerana ada ketetapan yang boleh berubah.

Allah juga mahukan kita berusaha sebelum qada’ dan qadar seseorang itu diubah kerana sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Al-Rad: ayat 11)

Dalam persoalan perbezaan takdir dan usaha, analogi yang paling mudah seperti Allah S.W.T telah meletakkan sesuatu mengikut had kemampuan kejadian tersebut, contohnya manusia telah di jadikan tidak boleh menyelam selama berjam-jam mengikut hukum kejadian fizikal badan manusia. Inilah takdir tetapi atas usaha, ikhtiar manusia telah mencipta tangki oksigen yang membolehkan mereka menyelam berjam-jam lamanya.

Samalah dengan pelbagai takdir yang menimpa kita, saya telah di takdirkan mengikut pengajian sekolah formal sejak kecil lagi. Manalah sama dengan mereka yang bersekolah pondok atau Maahad sejak kecil. Takdir saya ketika itu bukanlah pilihan saya, ibu bapa saya telah menentukan corak pendidikan saya. Kini tidaklah saya menyalahkan mereka tetapi saya percaya ketetapan Allah S.W.T ini ada hikmahnya. Tetapi bukanlah penghalang kepada saya untuk mempelajari dan mendalami agama samaada membaca, mendengar, melihat, berguru, bertalaqi dan lain-lain kaedah yang sesuai dengan keadaan dan tempat. Sesekali kita tidak memandang rendah antara satu sama lain. Ilmu Allah S.W.T sangat luas, semakin kita banyak belajar, kita akan memahami bahawa semakin banyak perkara yang kita tidak ketahui. Bukankah begitu? Pencarian dan destinasi akhir itu bergantunglah kepada usaha kita dan kemudian bertawakal semoga menuju damai abadi.




Sekian.

1 comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.