Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

2 comments

Cubalah Untuk Mengerti "BERSIH ATAU KOTOR"



Hidup di dunia bermacam-macam dan berbagai-bagai pertarungan terjadi, tidak putus-putus. Pertarungan politik, pertarungan ekonomi, pertarungan mazhab, pertarungan perkauman, pertarungan fikiran dan pendapat, pertarungan pengaruh, pertarungan kepimpinan, pertarungan antarabangsa. Macamlah ombak laut yang tidak pernah berhenti daripada gelombang dan gelora.

Mengenai isu yang hangat sekarang mengenai isu perhimpunan BERSIH 2.0. kerana ruang lingkup saya masih lagi seorang mahasiswa di mana beberapa sahabat-sahabat telah memperbincangkannya samaada pro atau kontra, saya akan mengulas secara peribadi.

Sedangkan anak-anak muda ini adalah jiwanya penuh semangat dan idealis. Tindakannya kurang pengalaman, maka mudahlah membuat keputusan yang terburu-buru. Mereka ini sering ingin jadi penggerak perubahan yang agresif.

Dalam isu ini walaupun pihak BERSIH mengatakan mereka neutral. Siapa pun tidak bodoh untuk mengagak tindakan sebelah pihak ini. Adalah menjadi kerisauan saya secara peribadi melihat kepala penganjur adalah Ambiga Sreenevasan, ketua demonstrasi BERSIH 2 adalah bekas Presiden Bar Council.


Ambiga pernah dikatakan mempertikaikan perlaksanaan hukum syariah dalam artikel 121 (1A) berkaitan dengan kes Lina Joy Apakah Ambiga yang menyokong kebebasan beragama yang dimahukan oleh Lina Joy layak menjadi ketua gerakan ini?

Sebenarnya adalah pelik akhirnya pertembungan ini akan menjadi medan pertemuan peseteruan majoriti orang-orang melayu Islam akhirnya. UMNO-PERKASA vs PAS. Dalam luar konteks BERSIH, persaingan ini , sebenarya setiap pihak mempunyai taktik yang agak menkagumkan untuk mencari pengaruh dalam masyarakat melayu Islam. UMNO dengan cadangan penubuhan sayap ulama dalam parti tersebut dalam memicu agenda Islam yang kabur dari segi permukaan selama ini manakala PAS akhirnya mengalah dalam Isu Negara Islam dan menyasarkan dasar lebih terbuka dengan slogan Negara Kebajikan dalam memicu agenda menarik sokongan masyarakat yang lebih liberal. Akhirnya dua parti terbesar orang melayu Islam ini sebenarnya berkongsi aspirasi dan agenda yang lebih kurang untuk di nilai rakyat.

Tuntutan dalam BERSIH banyak berkisar dalam isu pilihanraya. Bagi saya ianya adalah retorik atau strategi propaganda dalam politik. Adalah menjadi tanggungjawab SPR bagi mengkaji semula sekiranya apa yang digariskan dalam tuntutan tersebut adalah rasional untuk dilaksanakan.

Dalam hal ini saya tidak merasakan perlu untuk demontrasi kerana isunya tidaklah mengugat terlalu ruang keadilan pilihanraya di Malaysia. Natijahnya kalau pilihanraya berat sebelah tidak mungkin semasa PRU 2008 , 5 negeri jatuh di tangan pembangkang.

Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah:

1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Tempoh berkempen minimum 21 hari
6. Perkukuh institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Kita kena ingat bahawa “Masa juga adalah satu Perawatan” maksudnya tidak semestinya dengan bertindak melulu dan secara keras boleh berjaya untuk mendapatkan sesuatu matlamat tercapai. Matlamat hanya akan tercapai sekiranya tapaknya kuat & teguh dulu. Tidak boleh kerana Mesir berjaya jatuhkan Mubarak sebab revolusi, kita juga nak buat perkara sama tanpa lihat dulu apa yang ada dibelakangnya.

Sebenarnya ajaran Islam yang syumul itu dapat ditegakkan dalam diri, masyarakat, hinggalah kepada persoalan negara melalui pembangunan iman. Inilah cara yang perlu dititikberatkan dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh. Iman perlu dibangunkan melalui dakwah dan tarbiah. Dengan ini orang ramai akan didorong, ke arah memahami, menghayati dan mengamalkan Islam secara lemah lembut, kasih sayang dan penuh hikmah!

Kefahaman dan kesedaran Islam yang bertapak dalam diri individu-individu itu dengan sendirinya akan menimbulkan cinta dan kasih kepada Islam tanpa dipaksa-paksa.

Kita sering cuba menggunakan kuasa yang ada di tangan untuk menundukkan orang ramai kepada Islam dengan menggunakan tekanan dan paksaan melalui akta-akta, undang-undang, peraturan-peraturan dan lain-lain lagi. Ertinya, Islam yang mereka tegakkan bukanlah atas dasar kesedaran, keinsafan, kefahaman dan bukan dari dorongan iman.

Bila ini terjadi, dua perkara mungkin berlaku. Pertama, oleh kerana undang-undang Islam masih asing dan janggal pada pandangan masyarakat, dengan diam-diam hati mereka menolaknya. Ini akan menyuburkan rasa tidak puas hati yang lama kelamaan, semakin meluas di kalangan masyarakat yang belum mempunyai kesedaran dan kefahaman Islam itu. Ini berbahaya. Lebih-lebih lagilah jika yang menolak dan tidak puas hati itu ialah pihak-pihak keselamatan (anggota polis atau tentera). Dengan mudah kerajaan Islam akan digulingkan melalui pemberontakan bersenjata ataupun demontrasi-demontrasi rakyat jelata.

Jika pun tidak sampai ke peringkat itu, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat jelata pasti mendorong mereka menjatuhkan kita dalam tempoh pilihanraya yang akan datang. Ibarat pokok yang belum berbuah tetapi telah dicantas orang, begitulah kerajaan Islam yang dibina bukan atas dasar iman, pasti akan runtuh sebelum sempat menegakkan Islam di seluruh bidang kehidupan.

Kemungkinan yang kedua, rakyat akan berpura-pura patuh kepada ajaran Islam di hadapan pemimpin, tetapi di belakang pemimpin ia menjadi orang yang munafik ataupun fasik. Walaupun mereka sebenamya memusuhi Islam tetapi tidak berani angkat muka kerana takut dan tidak ada kekuatan untuk mencabar kuasa pemerintah. Mereka laksanakan Islam kerana takutkan hukuman bukan kerana takutkan Allah. Manusia boleh berpura-pura di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah. Inilah yang berlaku di setengah-setengah negara Arab yang telah mengisytiharkan kepada dunia bahawa negara mereka ialah negara Islam.

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka di masa hadapan.

Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai pada hari ini. Keghairahan mengubah lanskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya.

Semoga kita mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T bagi menjauhkan perpecahan sesama kita. Para pemimpin-pemimpin samaada kerajaan dan pembangkang harus merenung kembali politik yang mereka mainkan. Kerana majoriti masyarakat terpengaruh dengan permainan di atas, mereka ini ibarat catur yang hanya menunggu tangan-tangan ghaib mengaturkannya tanpa bantahan. Sedang kita berkelahi, musuh Islam yang nyata mengaut keuntungan tanpa kita sedari. Semoga ade pemimpin pembaharu yang akan menunjukkan kita ke jalan yang cerah dan terang.

Rasulullah SAW bersabda

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mengutus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujaddid) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
(Riwayat Abu Daud)

2 comments

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.