Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

3 comments

Ucapan Sempena 26 Tahun -Mohd Fadzil bin Abdul Hanid-


Okeyy... tengok video yang ceria & cute ini terlebih dahulu sebelum baca okey!!!!

26 Tahun!! Apa signifikan angka ini? Ye saya telah bertambah tua. Masa akan terus menghambat kita sedar ataupun tidak. Kalau ikut pekiraan umum, Nabi Muhammad wafat semasa umur 63 Tahun. Kalau ianya saya jadikan sebagai kayu pengukur, maka 63 tahun – 26 tahun = 37 tahun!!!!


Masa adalah sangat penting. Dalam 37 tahun apakah yang berlaku kepada saya? Saya mampu merancang tetapi sebaik-baik perancangan, perancangan Allah S.W.T lebih hebat.


Ibu bapa saya - Sweet Couple -

Masanya akan tiba dalam setiap kehidupan lelaki dan wanita untuk menghadapi cabaran yang utama. Waktu apabila setiap perjalanan hidup kita akan di uji. Waktu bila kehidupan nampaknya tidak menyebelahi kita. Waktu bila kepercayaan, nilai-nilai, kesabaran, belas kasihan, dan keupayaan kita untuk meneruskan kehidupan, kesemuanya di desak sehingga sampai ke hadnya dan lebih lagi.


Sesetengah orang menggunakan ujian sedemikian sebagai peluang untuk menjadi orang yang lebih baik. Yang lainnya membiarkan pengalaman kehidupan sebegini memusnahkan mereka. Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang membuatkan perbezaan dalam cara manusia bergerak balas kepada cabaran hidup?





Bagaimanakah pula terdapat ramai orang dalam dunia ini yang hidup dalam kegembiraan walaupun mengalami hampir segala kesusahan, manakala yang lainnya kelihatan mempunyai segala-galanya hidup dalam keadaan berputus asa, marah, dan sedih?


Biar saya berkongsi cerita mengenai sedikit tentang pengalaman hidup saya. Cerita pertama, Saya mempunyai keluarga yang sederhana, segala-galanya lancar dan mudah. Tetapi ketika saya berumur 17 tahun, jiwa remaja yang suka memberontak, tidak suka di kongkong, dan lebih mengutamakan rakan daripada keluarga. Bila bermuhasabah sekarang , saya merasakan ianya kerana bila kesenangan menghambat anda, maka anda terlupa mengenai kesusahan. Tidak berfikir jauh, maka keputusan SPM saya sangatlah teruk, bukannya tidak pandai tetapi malas. Kelebihan yang saya ada, Ibubapa, keluarga tidak saya gunakan sebaik-baiknya.


Cerita kedua, 2 hari lepas (8 April 2011), saya kembali mengimbas kenangan lama saya, apabila terserempak dengan sepupu saya yg berumur 18 tahun, Nasuha yang bekerja di gerai makan di Kelulut, Marang. Kekaguman kerana dalam serba kekurangan, Ayahnya telah meninggal dunia, hidup dalam serba kekurangan, menjadi tonggak keluarga dan menjadi teladan adik-adiknya tetapi dalam SPM baru-baru ini mendapat keputusan 10 A. Nampaknya segala kekurangan yang dia ada telah menjadikan dia lebih cekal dan hebat daripada saya pada umur yang setara saya dahulu.


Yang mana satukah antara kedua-duanya cerita yang anda suka dan pilih? Seperti yang saya nyatakan bahawa perancangan Allah S.W.T adalah Maha Hebat dan tidak terjangkau dek akal oleh manusia. Siapa sangka apa yang akan terjadi pada masa depan?


Semenjak dari kemalangan motosikal saya yang dasyat itu, saya dapat merasakan kejayaan dan kegembiraan yang lebih daripada yang di rasai oleh kebanyakan orang seumur hidup. Saya telah melihat dunia daripada satu sisi yang tertutup sebelum ini. Mungkin benar ada pepatah yang mengatakan sakit adalah penghapus dosa-dosa.


Syukur. Ya anda harus bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Saya bawa anda satu cerita yang saya terjemah daripada sebuah cerita bahasa inggeris “Story of a blind girl”


Kisah tentang seorang gadis buta

Ada seorang gadis buta yang membenci dirinya sendiri hanya kerana dia buta.

Dia membenci semua orang, kecuali kekasih yang mencintainya. Kekasihnya selalu ada di sisinya.

Dia berkata bahawa jika d ia hanya dapat melihat dunia, dia akan menikahi kekasihnya.

Suatu hari, seseorang menyumbangkan sepasang mata padanya dan kemudian dia dapat melihat segalanya, termasuk kekasihnya.

Kekasihnya bertanya, "sekarang dikau boleh melihat dunia, mahukah berkahwin denganku?"

Gadis itu terkejut saat melihat bahawa kekasihnya itu juga buta, dan menolak untuk menikahi kekasihnya. Kekasihnya itu berjalan pergi menangis, dan kemudian menulis surat dengan mengatakan dirinya. "Semoga dapat menjaga mata saya dengan baik."


Nah, cerita ini sahaja membuatkan kita terfikir dua kali, yang manakah lebih baik, buta mata itu lebih baik, kerana hati yang akan memimpin kita daripada kita diberikan penglihatan yang baik, tetapi mata hati pula yang buta.


Ketika saya menjadi pemimpin mahasiswa ( YDP MPP UTHM Sesi 08/09), saya sering tertanya-tanya kenapa mahasiswa tidak boleh bersatu hati walaupun secara zahirnya perbezaan pendapat mesti ada. Maka saya telah membawa pendekatan untuk tidak berbicara mengenai politik kampus secara berlebihan ketika itu, saya lebih banyak membawa banyak perbincangan, diskusi dan pertemuan peribadi dengan pemimpin-pemimpin Kelab-kelab, Jawatankuasa Kolej Kediaman, bagi yang pernah bersama saya pada sesi itu, maklum mengenai pendekatan yang saya ambil walaupun berlainan ideologi. Hormat pada pandangan intelektual menjadi dasar saya, walaupun tidak sealiran dengan saya dalam politik kampus.

Kenangan di Mesir bersama MPP UTHM Sesi 07/08 ( Wanna & Chuan)

Kenangan semasa menjadi YDP MPP Sesi 08/09

Kenangan melepak bersama mantan-mantan MPP Sesi 08/09


Menyorot kembali kepada pendekatan saya ini, terima kasih terhadap penulisan Hafiz Firdaus Abdullah. Intipati pembacaan ini adalah kerana kotak pemikiran saya tidak berhenti berfikir, berjalan, mandi, tidur, saya tidak tahu adakah saya seorang sahaja ataupun manusia lain juga begitu. Dalam banyak-banyak pemikiran saya, salah satu yang berlegar kepada saya adalah mengenai perbezaan pendapat. Yang pertama saya musykil adalah mengenai Agama Islam, bagi seorang yang suka mencari kebenaran dalam kehidupan. Maka banyaklah yang dipersoalkan kenapa timbul terlalu banyak perbezaan dalam pelbagai sudut. Maka saya mencari buku-buku, artikel-artikel di Internet untuk mencari jawapan. Dalam banyak-banyak saya merasakan penulisan Hafiz Firdaus Abdullah ini di susun dengan baik sekali. Tetapi saya sentiasa berhati-hati kerana belajar melalui pembacaan ini tidak sama dengan berguru atau Talaqi. Di khuatiri akan sesat. Dalam penulisan ini di susun mengikut bab.


1. Sejarah Kemunculan Mazhab | 2. Berkenalan Dengan Para Imam Mazhab | 3. Pegangan Dan Prinsip Para Imam Mazhab | 4. Sebab-Sebab Wujudnya Perbezaan Pendapat Antara Para Imam Mazhab | 5. Teladan Para Imam Mazhab Dalam Menghadapi Perbezaan Pedapat | 6. Beberapa Contoh Sikap Taksub Mazhab | 7. Perintah Allah Mentaati Al-Qur'an dan Rasul-Nya | 8. Kepentingan Mazhab Kepada Umat Islam | 9. Wasiat Para Imam Mazhab Kepada Umat Islam | 10. Adakah Seruan “Kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” Bererti Meninggalkan Ajaran Para Imam Mazhab ? | 11. Memilih-milih Antara Mazhab. | 12. Berusaha Menjauhkan Taqlid


Saya berkongsi pautan untuk sahabat-sahabat menghayati kronologi pemikiran dan pendekatan yang saya ambil sebelum ini. Secara umumnya perbezaan pendapat di kalangan imam-imam ini tidaklah sehingga mereka mencela sesama mereka. Bahkan menghormati pandangan sesama mereka. Maka kalau semua orang mampu mengawal diri dan pengikut-pengikutnya maka saya tidak melihat perbezaan pendapat akan menjadi sebab kita bergaduh sesama sendiri.


Kerana saya telah bersara daripada menjadi mahasiswa dan sedang mengorak langkah ke dunia luar, maka saya juga sedang berfikir-fikir untuk masuk ke dunia politik luar. Saya ingin belajar dan mengalami pengalaman sebenar tetapi walaupun saya mempunyai kecenderungan terhadap parti politik tertentu, tetapi saya masih tidak mendaftar lagi di mana-mana parti politik kerana saya perlu sedikit masa untuk menganalisa dan bermuhasabah mengenai kepentingan masa depan saya.


Pertama kerana kebiasaannya pemikiran saya juga boleh membawa kemudaratan kepada parti politik itu kerana saya seorang yang agresif, sukakan perubahan. Bagi sebuah parti politik yang suka pegangan tradisional dan lambat berubah mengikut zaman maka saya fikir, saya akan membawa kesusahan, kerana perubahan yang saya inginkan. Ini berdasarkan pengalaman saya di kampus, pemikiran saya sedikit sebanyak membuat kesusahan kepada pemimpin ideologi yang gusar kepada perubahan dasar, pendekatan dan pemikiran. Saya perlukan sedikit masa sebelum keputusan muktamad saya ambil. Mungkin juga saya akan menjauhi politik dan hidup sebagai rakyat biasa.


Menjadi biasa? Ya satu persoalan yang berlegar-legar di benak saya. Kerana saya sering ingin menjadi luar biasa. Maka saya terkadang menjadi serius. Untuk memastikan saya tidak terlalu jauh ke dalam, maka saya juga mempunyai kesukaan seperti orang lain, waktu relax, seperti orang muda sukakan wayang/drama/movie, melancong dan membaca.


Saya mengikuti beberapa slot yang saya minati, pastinya kawan-kawan terdekat tahu saya adalah “Korean Fan”. Berpuluh drama telah saya ikuti. Bukannya saya tidak mnyokong industri tempatan. Tetapi bagi saya garapan tema kekeluargaan, percintaan, persahabatan pada drama korea adalah lebih menghiburkan. Mungkin teknik garapan, audio/muzik, sinemetrogafi adalah lebih dekat dengan jiwa saya. Tolak ke tepi elemen-elemen budaya yang tidak bagus, ambil yang positif. Saya kira 80% jalan cerita adalah bagus untuk mengisi minda anda dengan nilai-nilai murni dalam cerita. Sedar tidak sedar, ianya akan memainkan peranan kepada anda dalam menterjemahkan gaya hidup dan perlakuan anda.


Membaca? Inilah bahagian yang paling sukar untuk saya terangkan kepada kenalan saya. Apabila saya membaca, maka saya berada dalam dunia lain. Saya tenggelam dalam keasyikan penceritaan. Ketika ini kalau anda memanggil, bercakap atau bertanya, maka anda sedang berhadapan dengan batu atau tiang lampu. Jangan berkecil hati kerana jujur saya tidak mendengar. Anda perlu ketuk kepala saya terlebih dahulu. Saya tahu ade beberapa orang pernah terasa hati, pernah jiran saya mengomel mengatakan saya sombong kerana tidak mengendahkan panggilannya walaupun saya 50 meter daripadanya kerana saya sedang membaca buku. Saya benar-benar tidak sedar. Saya juga harus berterima kasih kepada UTHM kerana menjadi lubuk buku saya. Had maksima 12 buku sekali pinjam benar-benar membantu saya menjimatkan wang saku saya yang diperuntukkan untuk pembelian buku. Malah boleh disambung-sambung perkhidmatan melalui online. Ketika ini di dalam koleksi saya yang masih di pinjam yang benar-benar membantu saya dalam mengisi hari-hari lapang saya dan benar-benar memberi motivasi kepada saya ialah ;


(1) Dari puncak Baghdad , Sejarah Dunia Versi Islam.” Tamim Ansary”

(2) Champion “ Darmadi Darmawangsa”

(3) Kuasa Infiniti “ Anthony Robbins”

(4) 7 Tabiat Orang Berkesan “ Stephen R. Covey”

(5) Tabiat Ke-8 “ Stephen R. Covey”


Hobi saya ketiga adalah melancong, iniadalah hobi berkos tinggi, saya bertuah kerana semasa menjadi pemimpin mahasiswa berpeluang melancong sambil belajar, walaupun wujud perspektif daripada mahasiswa sebelum ini yang mengatakan satu pembaziran, sebenarnya tidak, kerana tanpa pengalaman seperti ini anda tidak akan menjumpai misteri dunia luar daripada Malaysia. Tetapi pada tahun lepas, bukan sahaja pemimpin mahasiswa yang berpeluang ke luar negara tetapi melalui Program Mobiliti Pelajar, mahaiswa yang berkelayakan, ramai yang telah pergi, pastinya satu pendekatan yang bijak dan boleh meredakan sentimen yang tidak sepatutnya. Saya berpeluang ke Thailand, Pulau Phuket untuk satu konvensyen, perkara unik adalah makanannya, itulah Tom Yam yang paling sedap dan lazat saya pernah nikmati. Deretan kedai cenderamata pada waktu malam, menjadikan saya rabun mata, tetapi yang tidak sedapnya adalah selang seli juga terdapat pub, disko, dan rumah-rumah tumpangan yang tidak perlu saya sebutkan, geli hati juga apabila saya di kepit kemas oleh dua orang gadis ( Najma- MPP UTHM 07/08) & (Solihah-MPP 08/09) semasa berjalan membeli cenderamata dan sering mengingatkan saya supaya tidak memandang perkara yang tidak patut. Ohhh… adakah saya lelaki jenis itu? ( Saya berkata dalam hati sambil memandang mereka).


Saya juga pernah ke Mesir bersama MPP 07/08. Kerana saya seorang peminat arkeologi dan sejarah. Saya betul-betul gembira kerana cadangan dan lobi saya pada ahli-ahli MPP 07/08 ke Mesir berjaya. Pada mulanya mereka bercadang ke Jepun atau Australia. Dengan hujah-hujah yang mantap saya mendapat undian yang majoriti ke Mesir. Selain sejarah Mesir yang panjang tetapi juga saya ingin melihat salah satu tempat sejarah Islam bertapak. Kota Salahaddin Al Ayubi di Mesir pasti mengingatkan kita si Penakluk Kota Baitul Maqdis ini. Bagaimana sekarang? Kota ini di bawah Israel. Adakah seorang lagi sepertinya? Mungkin tidak sekarang kerana umat Islam sedang sibuk menjatuhkan satu sama lain. Di wilayah seperti Malaysia, UMNO dan PAS sedang sibuk bergomol. Di Palestin, Fatah dan Hamas pula. Di kampus Pro- Aspirasi dengan Pro-Mahaiswa. Tidak habis-habis. Maka tidak perlulah fikir jauh. Cukuplah bergomol di kampung sahaja. Tidak usah berlaung-laung nak selamatkan Palestin kalau sibuk dengan pertelingkahan adik beradik di kampung. Yang bergaduh pun bukan hal besar, hanya bergaduh rebutkan telur “itik” sahaja mengalahkan perang dengan Israel gamaknya.


Yang terkahir adalah misi khidmat masyarakat di Kemboja untuk membantu umat Islam Champa di sana. Rata-rata keluarga di sini bergantung kepada sektor perikanan bagi sumber ekonomi utama di mana terletaknya perkampungan ini adalah sepanjang sungai Mekong. Penduduk di kampung ini juga menternak ikan Toman di dalam sangkar di Sungai Mekong. Ternyata rata-rata penduduk di kampong ini adalah majoriti masyarakat Melayu Champa hidup dalam kemiskinan berbanding dengan kaum Khmer di Kemboja. Sedikit mengejutkan ialah rupa-rupanya di sini bahan keperluan adalah mahal, di mana keluarga angkat semata-mata kerana saya, membeli gula sebanyak segenggam sahaja bagi tea yang dihidangkan kepada saya. Malaysia benar-benar bumi bertuah. Tetapi berapa ramaikah yang ingin bersyukur?


Penulisan saya, kembali kepada perkiraan asas saya pada perenggan pertama, andai kata 63 tahun adalah kayu pengukur umur saya, maka saya ada 37 tahun daripada sekarang untuk melakukan sesuatu yang hebat. Nabi Muhammad terima wahyu umur 40, meninggal umur 63, hanya 23 tahun berdakwah tetapi lihatlah peninggalannya.


Kesimpulannya 26 tahun tidaklah terlewat untuk melakukan permulaan kepada satu penghijrahan? Saya berazam untuk berubah untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Maka ucapan-ucapan selamat hari lahir moga-moga doa kalian semua kepada saya termakbul.


Terima kasih tak terhingga kepada ibu-bapa saya yang melahirkan saya, adik-beradik yang menyokong saya selama ini, ucapan selamat hari lahir daripada sepupu, sahabat-sahabat sekolah rendah, menengah, politeknik dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, keluarga angkat di Gopeng, Perak, “Family” MPP UTHM Sesi 07/08, 08/09. 09/10, 10/11, Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM. Antara yang paling sweet daripada cikgu sekolah rendah saya Cikgu Illamangai. Dan tak lupa kepada peminat-peminat saya ( ada ker?) haha.


Kawan-kawan sekolah rendah. Cikgu Ilamnggai yg tengah tu ucap besday dalam FB. Terharu beb....

Kenangan bersama kawan kelas Politeknik.


Kenangan kawan kelas FPTek UTHM. Lawa-lawa semua nampak....heee

Kenangan bersama Anak Perak UTHM.


Satu-satunya perkara yang membuat saya berasa tua adalah ketika saya berjalan-jalan di pantai tepi rumah saya, semalam, seorang kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun saya kira, memanggil saya pakcik,

“Pakcik…. Pakcik…. Cantiknya Istana pasir tu…. “


Dengan segera saya menjawab “ Adik manis, salah bahasa tu…. Panggil abang okey!!! “


“ Tapi mak saya cakap, kena hormat panggil org yg lebih tua yg ada janggut panggil pakcik”


( dalam hati… “geramnya…. Janggut je pun…. Tapi muda laa…. “ ) sambil tersengih……


Semoga mendapat iktibar ye rakan-rakan….Sekian, terima kasih.



Yang mencintai kamu semua ,







Mohd Fadzil bin Abdul Hanid.

- Sempena Ulang Tahun ke-26 -


3 comments

  1. Anonymous
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.