Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment

Program Mobiliti Pelajar ke Kemboja


Phnom Penh (Ibu Kota Kemboja)

Phnom Penh merupakan ibu kota kepada negara Kemboja. Negara ini juga mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan seperti di Malaysia. Terdapat tiga buah sungai utama iaitu "Tonle River", "Mekong River", "Bassac River" dan Tasik Tonle Sap yang memainkan peranan penting kepada pembangunan eknomi di negara ini. Bahasa yang biasa digunakan ialah "Khmer", English dan "French". Sebenarnya negara ini juga mempunyai empat musim iaitu pada Disember-Februari, cuacanya sejuk dan kering, Mac - Mei ialah panas dan kering, Jun - Ogos ialah panas dan lembap dan September - November ialah sejuk dan lembap. Hari yang paling panas mencatat sehingga 35'C dan cuaca sejuk di sekitar 20'C.


Program Mobiliti Pelajar ke Kemboja telah berlangsung pada 26 hingga 29 Disember 2010 dalam misi memperkasa aspek pengantarabangsaan UTHM, Program ke Kemboja kali ini juga bagi menonjolkan keperihatinan warga UTHM terhadap nasib golongan minoriti Muslim di Kemboja iaitu golongan Melayu Champa. Misi utama program ini adalah bagi menjalankan program kemasyarakatan di Kampung Chroy Metrey yang berada di wilayah Kandal.
Sejarah Negeri-negeri Melayu Champa tertegak antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Sepertimana keseluruhan Nusantara Melayu, fahaman Hindu-Buddha mencorak pemerintahan beraja dengan unsur-unsur ketuhanan yang menjadi sumber pujaan rakyat.

Pada zaman pemerintahan rejim komunis Pol-Pot di Kemboja pada tahun 1975-79. Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang tersendiri menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Sejak tahun 1974 lagi ‘alim ulama' Islam sudah mula dibunuh. Apabila Pnom Penh, ibukota Kemboja jatuh pada tahun 1975, keseluruhan ahli Majlis Mufti Kemboja telah ditangkap, dipenjara dan kemudiannya terus dibunuh. Imam Abdullah bin Idris Mufti Kemboja turut syahid.

Faham komunis dan ras yang dijiwai oleh Pol Pot dengan impian kemegahan bangsa Khmer seperti zaman Angkor buat tidak dapat menerima kewujudan Bangsa Cham di bumi Kemboja. Polisi pembunuhan langsung dimulakan terutamanya di tebing timur Sungai Mekong mulai tahun 1978. Namun rahmat Allah S.W.T sentiasa bersama mereka yang sabar. Vietnam dengan bala tentera yang besar telah melanggar Kemboja dan menjatuhkan pemerintahan rejim Pol Pot pada 7 Januari 1979.

Pada keseluruhannya 90,000 atau 36% umat Islam mati di antara tahun 1975-79 di Kemboja. Nisbah ini lebih tinggi daripada anggaran 21% keseluruhan rakyat Kemboja yang turut terkorban iaitu 1.67 juta daripada jumlah penduduk 7.89 juta pada tahun 1975

Program mobiliti pelajar ke Kemboja ini juga turut serta delegasi UTHM yang terdiri daripada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang diketuai sendiri Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin yang memberi tumpuan terhadap penerokaan kerjasama strategik UTHM dengan beberapa pihak di Kemboja. Dalam menjalin hubungan dan kerjasama strategik ini, delegasi UTHM yang turut disertai Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Mejar Jeneral (B) Dato' Md Ismail Ahmad Khan dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad telah mengadakan lawatan ke Royal University of Phnom Penh, Institut Teknologi Kemboja, Public Bank Kemboja, dan Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Manakala kumpulan kedua diketuai oleh Dekan Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Dr. Asri Selamat bersama-sama mahasiswa UTHM seramai 10 orang mengadakan program kemasyarakatan di Kampung Chroy Metrey yang berada di wilayah Kandal.


Di kampung ini juga, sekumpulan 10 orang pelajar UTHM telah berkampung selama tiga hari dan tinggal bersama-sama keluarga angkat di situ. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan, antaranya mereka telah membantu penduduk kampung memasang lantai jubin di masjid, member motivasi kepada anak-anak penduduk kampung serta melaksanakan kenduri sekampung yang melibatkan penyembelihan seekor lembu dan enam ekor kambing. Kesemua perbelanjaan untuk aktiviti kemasyarakatan ini adalah hasil sumbangan warga UTHM.

Bermula satu perjalanan dengan peserta berkumpul di UTHM sebelum bertolak ke KLIA dengan bas. Rombongan pelajar ini terdiri daripada 10 orang mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri daripada , Mazni Sariff, Mohd Hafiz Ariffin, Ahmad Syouqi Rukaini Said Ramli, Muhamad Aiman Idris, Pua Tiong Eng, Mohd Fadzil Abdul Hanid, Nik Muhd Afnan Nik Muhd Afandi, Mohd Latifi Mahmood, Fauzul Asrar Osman dan Ansharullah Hassan.
Kami berlepas daripada Terminal Antarabangsa KLIA dengan penerbangan Air Asia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja beberapa jam kemudian. Lapangan terbang ini boleh dianggap setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Agak kecil dari segi saiz, tetapi mewah tentang hiasan.

Kami telah di jemput oleh saudara Romzi, mahasiswa UTHM yang berasal daripada Kemboja bersama-sama dengan ahli keluarganya. Perjalanan kami bermula dengan menyusuri jalan-jalan kampung dan singah di Masjid Antarabangsa Dubai. Di sana kami solat jamak dan bertemu dengan kumpulan pertama yang diketuai Dato Naib Canselor. Selepas solat, taklimat program telah diberikan oleh Dr Asri telah tentang perjalanan aktiviti program Khidmat Masyarakat di Kemboja. Program khidmat masyarakat ini akan diadakan di Kampung Chroy Metrey.

Selepas sesi taklimat itu, Naib Canselor UTHM, memberikan kata semangat kepada peserta-peserta dan pengiring dari UTHM. Sebelum bersurai Ustaz Shahril, pegawai Pusat Islam UTHM telah membacakan doa supaya segala program berjalanan dengan lancar dan selamat. Kemudiannya, sesi penyerahan cenderamata kenang-kenangan daripada UTHM kepada Imam masjid.

Sebelum bertolak pergi ke destinasi seterusnya, delegasi UTHM bergambar kenangan dengan Imam Masjid tersebut. Perjalanan kemudian diteruskan dari bandar Siem Reap ke Kampung Chroy Metrey, kami dapat melihat kampung-kampung masyarakat kamboja dan kehidupan mereka banyak bergantung kepada pertanian padi dan perikanan.

Sebelum kami bersama-sama keluarga angkat, terlebih dahulu kami singgah di rumah saudara Romzi dan keluarganya, Semua peserta berkumpul di rumah Romzi, barang yang di bawa dari UTHM dikumpulkan di satu tempat dan dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk diberikan kepada orang kampong bagi misi keesokan harinya, Barangan seperti Al-Quran, telekung, Surah Yassin dan lain-lain barangan di agih-agihkan mengikut kapasiti keluarga angkat. Sebelum beredar, kami di hidangkan makan malam iaitu masakan istimewa di Kemboja iaitu ikan Toman.

Setibanya kami di kampung itu, kami dibahagi-bahagikan kepada beberapa keluarga angkat. Kami tiba lewat malam dan selepas bertegur sapa, kami terus masuk tidur dan tidak lama kemudian terlelap keletihan.

Rata-rata keluarga di sini bergantung kepada sektor perikanan bagi sumber ekonomi utama di mana terletaknya perkampungan ini adalah sepanjang sungai Mekong. Penduduk di kampung ini juga menternak ikan Toman di dalam sangkar di Sungai Mekong. Ternyata rata-rata penduduk di kampong ini adalah majoriti masyarakat Melayu Champa hidup dalam kemiskinan berbanding dengan kaum Khmer di Kemboja.





Sarapan pagi kami dimulakan dengan sekeping roti panjang bersama-sama telur. Sedikit mengejutkan ialah rupa-rupanya di sini bahan keperluan adalah mahal, di mana keluarga angkat semata-mata kerana kami, membeli gula sebanyak segenggam sahaja bagi tea yang dihidangkan kepada kami.

Selepas sarapan, kami semua berkumpul di belakang Masjid Ar-Rahmani Kampung Chroy Metrey. Mahasiswa UTHM dan beberapa penduduk kampung Chroi Metrei bekerjasama dalam membantu dalam proses penyembelihan seekor lembu yang dilakukan oleh Ustaz Shahril, pegawai Pusat Islam UTHM.

Setelah lembu dibaringkan dan bersedia. Lembu tersebut disembelih dengan bantuan Ustaz Shahril dan penduduk kampung. Selepas selesai menyembelih lembu , 7 ekor kambing turut dikorbankan bersama-sama.

Orang kampung dan peserta UTHM bergotong royong melapah daging lembu dan kambing. Suasana masa ini cukup meriah dengan anak-anak muda dan orang tua membantu kami melapah daging tersebut dengan mengambil masa yang singkat untuk menyelesaikan seekor lembu dan 7 ekor kambing. Selepas itu, kami mengangkat daging tersebut ke tempat masakan di sebelah Masjid Ar-Rahmani.

Di tempat masakan kami bersama orang kampung bergotong royong untuk memasak makanan tengah hari. Orang kampung telah memilih untuk memasak nasi beriayani Kemboja, kambing bakar dan masakan daging Lok Lak.



Aktiviti seterusnya adalah pemasangan jubin baru di laluan jalan kaki di antara tempat wudhu` dan masjid. Penduduk kampung dan peserta UTHM bekerjasama menyiapkan pemasangan jubin sehingga waktu makan tengahhari.





Majlis penutup dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) , Profesor Dr. Abdul Aziz bin Dato' Abdul Samad dengan meletakkan jubin yang terakhir.

Selain itu, kami juga bersama-sama penduduk kampung memasak daging tersebut bersama-sama. Kegembiraan dan keriuhan memasak bersama-sama seperti kenduri kahwin di Malaysia.

Selepas solat Zuhur, kami beserta penduduk-penduduk kampung menyambut ketibaan lembaga pengarah dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta staf UTHM bagi program kenduri sekampung. Penduduk kampung berkumpul di Masjid Ar-Rahmani mengambil kesempatan untuk bersalaman-salaman dengan staf dan peserta UTHM.


Seterusnya jamuan makan bersama-sama penduduk kampung penduduk kampung sempena kenduri sekampung.

Aktiviti pada petang diteruskan dengan pelajar lelaki yang beragama islam yang belajar di Islamic Centre di Kampung Chroy Metrey mendengar ceramah yang diketuai oleh Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Dr Asri bin Selamat. Beliau menekan tentang betapa pentingnya ilmu untuk kehidupan. Intipati utama ialah ilmu sahaja dapat mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

Beliau juga memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak kampung supaya gigih belajar sampai peringkat yang lebih tinggi. Dr Asri juga menerangkan juga universiti yang terdapat di Malaysia dan membawa beberapa pelajar UTHM ke hadapan untuk dijadikan contoh yang baik kepada pelajar-pelajar ini. Pada sesi soal jawab, Dr Asri menjawab segala persoalan daripada pelajar antaranya bagaimana hendak memasuki UTHM. Sebelum bersurai, doa telah dibacakan oleh Ustaz Shahril.Sesi seterusnya adalah sesi bergambar dengan pelajar lelaki di Islamic Centre Kampung Chroy Metrey.

Selepas itu, sesi ceramah bersama pelajar perempuan yang beragama islam yang belajar di sekolah agama perempuan di Kampung Chroy Metrey. Sesi diakhiri dengan bergambar dengan pelajar perempuan. Seterusnya pelajar dan staf UTHM melawat ke tempat pembelajaran mereka. Beberapa staf dan pelajar UTHM memberikan kata semangat kepada pelajar.





Pelajar UTHM juga tidak melepaskan peluang untuk membantu pelajar kampung ini dengan mengajar bahasa Inggeris yang mudah kepada pelajar. Kaedah ini memberikan peluang kepada kami dapat mendekatkan diri dengan pelajar di kampung ini.


Majlis penutup, sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) kepada Imam Masjid dan ketua kampung. Di samping itu cenderahati juga diberikan kepada keluarga angkat peserta UTHM sambil di bantu oleh pelajar UTHM.



Selepas waktu asar, program diteruskan dengan aktiviti riadah bersama penduduk kampung, kami semua telah di bawa menyelusuri sungai Mekong dan kemudian ke sebuah pulau pasir di tengah-tengah sungai. Suatu pengalaman yang mendebarkan kerana menaiki sampan kayu tanpa jaket keselamatan. Bunyi desiran enjin bot dan deruan air dibelah bot beserta angin sejuk memberikan suatu pengalaman yang cukup menggembirakan dan kepuasan tidak terhingga kepada kami semua.



Setibanya di pulau pasir tersebut, penduduk kampung membuat barbeku tetapi menggunakan ikan Toman yang di panggang beserta jagung bakar. Sementara ada di antara kami mengambil kesempatan bermandi manda di Sungai Mekong, walaupun pada mulanya agak gusar kerana kami diuar-uarkan dengan buaya Sungai Mekong, tetapi gurauan tersebut kami abaikan sebaik sahaja melihat penduduk kampung terjun ke dalam sungai.

Setiap permulaan adanya pengakhiran, setelah menghabiskan waktu senggang bersama keluarga angkat, akhirnya tiba waktu berpisah. Rata-rata antara kami berasa sedih meninggalkan keluarga angkat masing-masing kerana walaupun perkenalan ini hanya singkat tetapi keramahan masyarakat kampung kepada kami telah menyedarkan kami betapa di dalam hati kami semua pesaudaraan sesama Islam membuatkan kami merasakan khidmat kami terlampau sedikit berbanding dengan apa yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kemboja. Ini telah membuatkan kami semua besyukur dengan nikmat kemakmuran dan keharmonian yang telah kami perolehi di Malaysia.

Kesimpulannya, program mobiliti ke Kemboja berjalan dengan lancar dan telah mencapai objektif. Rumusannya lawatan ini berjaya menunjukkan komitmen yang baik antara mahasiswa UTHM dalam membantu bersama-sama membangunkan masyarakat Islam Champa di Kemboja. Program dan aktiviti kemasyarakatan di Kemboja telah berjaya memupuk semangat tolong-menolong, kerjasama, displin di antara kami sebagai mahasiswa UTHM sekaligus membawa nama universiti ke persada antarabangsa.

Penulis : Mohd Fadzil bin Abdul Hanid

Gambar : Mohd Fadzil, Latifi, Ehsan, Nik Afnan


1 comment

  1. Anonymous
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.