Archive for 2011

Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment


Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional di
Malaysia


Oleh : Mohd Fathi Bin Adnan, Rohana Bt. Hamzah, Amirmudin Bin Udin

ABSTRAK

Kertas ini ditulis untuk memberi penerangan kepada umum tentang implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) terhadap sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di Malaysia. Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan dalam kertas ini, antaranya definisi FPK dan PTV, matlamat pendidikan di Malaysia, aliran falsafah yang mempengaruhi PTV, konsep dan matlamat FPK, peranan FPK, elemen-elemen yang terkandung dalam FPK, peranan sekolah dalam merealisasikan FPK dan implikasi FPK dalam sistem PTV. Adalah diharapkan melalui penerangan ini, semua pendidik serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dapat memahami dengan jelas tentang matlamat pendidikan di Malaysia. Semua pihak juga perlu memahami kehendak FPK dan implikasinya terhadap pendidikan umumnya dan terhadap PTV khususnya. Semoga dengan penerangan  ini, sistem PTV di Malaysia akan dapat mencapai hasrat dan matlamat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Pengenalan

Pendidikan di Malaysia berkembang dengan pesat sekali. Panduan utama pendidikan di
Malaysia ialah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK digubal
untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan inspirasi kepada
semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Sebagai negara yang sedang
membangun, aspek utama yang ditekankan oleh kerajaan ialah pembangunan modal insan.
Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah negara.
Dalam hal ini pendidikan memainkan peranan yang amat penting bagi merealisasikan hasrat
negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Penekanan yang diberikan untuk
menjana pembangunan modal insan yang seimbang ialah dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek sepertimana yang terkandung dalam FPK.

Salah satu cabang dalam pendidikan yang sangat penting dalam melahirkan modal
insan yang seimbang ialah bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV). PTV dianggap
sangat penting kerana melalui PTV negara dapat melahirkan tenaga kerja yang mahir, separa mahir dan professional. Tenaga kerja yang lahir daripada bidang PTV dapat membangunkan negara untuk menjadi negara maju. Bagi mendapatkan tenaga kerja yang berkualiti, FPK perlu diimplikasikan dalam PTV. Dengan mengimplikasikan FPK dalam PTV, negara akan mendapat sumber tenaga kerja yang berkualiti.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK )


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah dirumuskan pada tahun 1988 dan dinyatakan
dalam Akta Pendidikan 1996 yang berbunyi:

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu  untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada  Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan  berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

( Akta Pendidikan 1996, Akta 550)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan lahir melalui suatu proses yang agak panjang iaitu
satu proses pembinaan negara dan bangsa semenjak merdeka lagi. Idea penggubalan FPK
telah dicetus selepas penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1979. FPK yang
dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah digubal berlandaskan tiga ideologi iaitu, Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (RMK 3, 1976-1980) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1999). FPK digubal oleh pakar-pakar pendidikan secara teliti dengan mengambil berat keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. ( KPM, 2001).

Pernyataan FPK menegaskan sistem pendidikan di Malaysia memberi penekanan
terhadap perkembangan potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh kearah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan dan kepatuhan kepada tuhan. Ini bermakna, FPK berhasrat melahirkan insan yang berpegang teguh pada agama. FPK perlu dijadikan teras kepada pendidikan di negara ini bermula daripada pendidikan pra sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.


Pendidikan Teknik Dan Vokasional ( PTV )


Aristotle merupakan seorang ahli falsafah Yunani yang terkemuka selepas Plato dalam bukunya yang bertajuk “Politik” menghuraikan pendidikan sebagai satu ilmu yang bersifat estetikal dan politikal. Beliau menekankan tujuan ilmu pendidikan adalah untuk memberikan setiap warganegara segala peluang yang ada untuk mencapai kebahagian hidup. Melalui ilmu pendidikan, ia dapat melatih warganegara mematuhi peraturan-peraturan tingkahlaku yang baik dan cekap dalam mentadbir serta membangunkan negara (Mok, 1992).


Pendidikan juga merupakan suatu alat yang sangat penting dan dominan dalam proses
pencapaian taraf maju masyarakat ke arah matlamat Wawasan 2020. Wawasan dan misi
pendidikan pula menjadi alat terpenting (front runner) kepada Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan yang ideal seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan, 1996 (Tatacara Pengurusan Kewangan & Perakaunan Sekolah (2000).


Pendidikan teknik dan vokasional didefinisikan sebagai :
“Formal education designed to prepare for skil ed occupation in industry,
agriculture and commerce, generally at secondary level” dan “Formal education
designed to provide knowledge and skil s underlying production process with a
wider connotation then vocational education at secondary or higher level”
(Amberjeet,1993.m/s 3)


Menurut Kamus Dewan (2002), pendidikan teknik bermaksud pengetahuan yang
berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri seperti jentera, kenderaan dan
bangunan, sementara pendidikan vokasional ialah pendidikan amali di mana menitikberatkan kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Menurut Cambridge International Dictionary of English (1995), mendefinisikan vokasional sebagai pendidikan yang memberikan kemahiran dan mempersiapkan seseorang untuk alam pekerjaan, sementara teknik pula bermaksud mempunyai atau memerlukan cara khusus yang biasanya dipelajari, kemahiran dan pengetahuan.


Kesimpulannya, pendidikan teknik dan vokasional ialah pendidikan yang berbentuk ilmu

kemahiran yang boleh digunakan oleh pelajar setelah menamatkan pengajian mereka untuk
menempuh alam pekerjaan. Umumnya pendidikan ini boleh didapati di sekolah-sekolah teknik yang mempunyai aliran vokasional. Ini berbeza dengan pendidikan akademik di mana pelajar  didedahkan dengan ilmu pengetahuan secara umum walaupun terdapat mata pelajaran  vokasional tetapi ditawarkan secara elektif.


Matlamat Pendidikan Di Malaysia

Secara umumnya, matlamat pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan insan yang baik
dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna. Menurut
perspektif Islam, tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk akidah, sikap,
kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Al ah untuk membangunkan
diri, masyarakat, alam sekitar dan negara bagi mencapai keredaan Al ah (Hasan Langgulung, 1986). Manakala menurut Harun Din dan Rakan-Rakan (1985), tujuan pendidikan adalah untuk membina individu yang bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini. Daripada matlamat dan tujuan pendidikan melalui perspektif Islam ini, dapatlah dirumuskan bahawa tujuan dan matlamat utama pendidikan seperti berikut:
1. Untuk pembinaan dan pendidikan akal (tauhid)
2. Untuk pembinaan keperibadian (sikap)
3. Untuk menyiapkan diri bagi kehidupan dunia dan akhirat (kemahiran)
4. Supaya manusia mampu menerokai dan menguasai ilmu sebagai asas pembangunan
diri secara berterusan.


Menurut W.F Connel dalam http://www.angelfire.com/bc3/bcc4 yang dicapai pada 16
Ogos 2010, matlamat pendidikan boleh dipandang daripada tiga aspek utama iaitu aspek
individu, masyarakat dan kebudayaan. Pendidikan mestilah bertujuan untuk menyediakan
pengalaman bagi setiap individu untuk membantunya mencapai kawalan ke atas diri dan alam
sekitarnya.

Secara keseluruhannya, matlamat pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan
insan yang mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin dan yang kenal diri (self – Actualization).
Dalam erti kata lain, pemimpin bermaksud Khalifah di muka bumi ini. Setiap individu perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam. Menurut Eisner & Vallance (1974), dalam buku “ Curriculum: An Integrative Introduction” tujuan pendidikan adalah untuk membangunkan potensi individu sepenuhnya. Pendidikan juga adalah satu proses untuk membantu individu menemukan makna disebalik kewujudan diri dan seluruh kejadian Tuhan di alam fizikal ini.


Aliran Falsafah yang Mempengaruhi PTV

Terdapat beberapa aliran falsafah barat yang mempengaruhi sisten Pendidikan Teknik dan
vokasional di Malaysia. Antaranya ialah aliran Essensialisme, aliran Pragmatism, aliran
Progresivisme dan aliran Eksistensialisme (Widad, 2007). Walaubagaimanapun, PTV tidak
terikat dengan mana-mana aliran falsafah ini.

Aliran Essentialisme menekankan pembelajaran secara berperingkat iaitu dari yang
mudah kepada yang lebih sukar. Menurut Essensialis, pendidikan sekolah harus bersifat praktik
dan memberi anak-anak pengajaran yang logik yang mempersiapkan mereka untuk hidup.

(http://anannur.wordpress.com/2010/07/08/filsafat-pendidikan-essensialisme/).

menunjukkan bahawa aliran ini memang mempengaruhi PTV.

Aliran Pragmatisme juga mempunyai pengaruh yang kuat terhadap sistem PTV. Dalam
bahasa Greek, pragma bermaksud kerja. Ia boleh diertikan sebagai kaedah mengatur dan
mengurus sesuatu perkara. Aliran ini juga menolak semua punca yang membawa kesan negatif kepada masyarakat. Aliran ini menganggap realiti adalah interaksi antara manusia sesama manusia dan alam. Aliran ini memerlukan penyelesaian masalah untuk mencari sesuatu jawapan terhadap pelajaran (Abdul Fatah, 2007).

Aliran falsafah ketiga yang mempengaruhi PTV ialah aliran progresivisme. Falsafah ini
menganggap objektif pendidikan tradisional tidak sesuai pada zaman moden. Aliran ini lebih menumpukan pada perkembangan semasa. Tujuan falsafah ini adalah untuk memberi
kemahiran dan alat yang diperlukan kepada individu untuk berinteraksi dengan persekitaran yang sentiasa berubah. (http://www.scribd.com/doc/11383475/PROGRESIVISME).


Aliran Eksistensialisme juga mempengaruhi sistem PTV. Falsafah ini terlalu

individualistik dan terlalu bergantung kepada faktor-faktor yang subjektif seperti penghayatan emosi dan perasaan seseorang. Tujuannya untuk melahirkan individu yang boleh membentuk diri sendiri, bertanggungjawab terhadap diri dan menentukan arah hidupnya. Implikasinya terhadap PTV ialah dengan meletakkan pendidikan PTV yang berasaskan kemahiran dan  pengetahuan supaya menjadi bidang pendidikan yang penting untuk pembangunan masyarakat.

Sebagai kesimpulannya, PTV tidak mempunyai falsafah yang khusus. Walaupun,
terdapat beberapa aliran falsafah barat yang mempengaruhi PTV di Malaysia. PTV tidak terikat dengan mana-mana aliran falsafah. Antara ciri-ciri yang perlu ada dalam falsafah PTV ialah ianya mestilah universal, membangunkan PTV itu sendiri, menyatukan dan kebenaran perlulah bersifat mutlak. Pegangan PTV di Malaysia haruslah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat pendidikan. Falsafah PTV perlulah memenuhi cabang falsafah seperti metafizik, epistemologi, aksiologi dan logik. Metafizik boleh ditakrifkan sebagai satu kajian berkaitan kewujudan ( Abdul Fatah, 2007). Tujuan utama pendidikan dalam kepercayaan ini adalah untuk mencapai penyedaran diri, pengetahuan diri dan perkembangan diri supaya fitrah manusia yang berkerohanian dapat diperkembangkan. Konsep dan Matlamat FPK

Konsep FPK

Falsafah pendidikan negara merangkumi elemen epistemologi, metafizik dan aksiologi yang juga secara langsung meliputi falsafah dealisme, realisme, perenilaisme, progresivisme dan eksistensialisme ( Sufean Hussin, 1996). Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal  daripada pemikiran yang rasional dan kritis, berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasukRukun Negara.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mengambil inspirasi daripada proses
pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini
juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan negara
Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menggariskan segala istilah, pemikiran dan prinsip berkaitan dengan bidang pendidikan di negara kita. Dengan kata lain, ia menggabungkan  matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan sebagai satu entiti keseluruhan yang tekal, jelas dan logik.


Matlamat FPK

Berlandaskan kepada FPK yang telah dinyatakan, maka Matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ialah bertujuan untuk menjelaskan secara rasional amalan-amalan pendidikan
terkini serta membimbing tindakan dan tren pendidikan masa depan. Ini adalah kesinambungan daripada Matlamat Pendidikan Negara iaitu melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna (KPM,2001). Dengan perkataan lain,
Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan
memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:
• percaya dan patuh kepada Tuhan;
• berilmu pengetahuan;
• berakhlak mulia;
• bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara;
• memilik sahsiah yang seimbang dan bersepadu; dan
• memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.


KPM (2001) juga menyatakan bahawa selain daripada perkembangan potensi individu
secara menyeluruh dan seimbang, diharapkan juga, melalui proses pendidikan, Malaysia dapat
mencapai matlamat pendidikannya seperti:
 melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya sebagai
seorang warganegara;
 menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya
melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan
terhadap kemajuan dan pembangunan;
 melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-
prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut Perlembagaan;
 melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara;
 melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara,
dan bersikap toleransi, agar dapat mewujudkan perpaduan rakyat berbilang kaum; dan
 mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan-
kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.


Falsafah pendidikan negara mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap

pendidikan. Fungsi asas falsafah pendidikan ialah memberi panduan dan haluan kepada pakar  pendidikan untuk merancang atau mereformasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan Negara (KPM,2001).Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira seluruh aspek berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.


Peranan FPK

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum dalam KPM (2001), Falsafah Pendidikan Kebangsaan
memainkan peranan yang sangat penting seperti:
sebagai cahaya yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha
mengembangkan dan memajukan pendidikan;
menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan
Negara;
sebagai rujukan untuk membantu para pendidik memahami sistem pendidikan
negara;
sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa mereka melaksanakan tugas -
tugas pendidikan;
sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum, bahan-
bahan pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran;
sebagai pengawal ke atas aktiviti penyelewengan daripada dasar pendidikan;
dan
menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang
usaha melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.


Implikasi FPK Terhadap Sistem PTV


Berdasarkan huraian di atas, terdapat beberapa implikasi FPK terhadap sistem pendidikan
teknik dan vokasional di Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan sebuah
dokumentasi yang murni dan luhur, dan memerlukan penghayatan, pemahaman dan
keprihatinan para pendidik untuk merealisasikan tujuan dan cita yang tersurat dan tersirat
dalam kandungannya.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pengetahuan umum pada tahun 1988,
telah menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan negara kita sejak sekian lama.
Justeru itu, semua perancangan dan aktiviti pendidikan hendaklah merupakan hasil daripada  nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sememangnya kemunculan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan membawa implikasi-implikasi kepada sistem pendidikan teknik dan vokasional di negara kita seperti berikut.


Implikasi terhadap kurikulum PTV


Perubahan PTV sekolah adalah selaras dengan cita-cita dan tujuan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Ini meliputi;
Perubahan sukatan pelajaran PTV yang berorientasikan kepada program bersepadu.
Perubahan bahan-bahan pelajaran PTV yang mengutamakan nilai-nilai murni
diserapkan dalam semua mata pelajaran PTV.
Perubahan program PTV yang berorientasikan melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis.
Perubahan sistem PTV yang berorientasikan ke arah pendidikan umum dan alam
pekerjaan.
Perubahan sukatan pelajaran yang sesuai untuk melatih kemahiran pelajar dalam
bidang vokasional dan teknologi.


Implikasi terhadap guru PTV



Perubahan sikap pendidik dan profesionalnya untuk menjalankan tugas sejajar dengan tujuan
dan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidik yang benar-benar memahami FPK akan
dapat mengubah sikap peribadi dengan pandangan dan visi yang positif terhadap tugasnya
bagi merealisasikan matlamat FPK. Melalui FPK juga, pendidik akan dapat mengubah strategi
dan teknik pengajaran yang bersesuaian bagi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan dan berakhlak mulia.Oleh yang demikian sangatlah penting bagi pendidik
untuk benar-benar memahami matlamat dan tujuan yang ingin dicapai oleh Negara melalui
FPK. Dengan memahami sepenuhnya kehendak FPK, guru PTV akan dapat memertabatkan
PTV setanding dengan aliran sains.


Implikasi terhadap institusi PTV



Perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk
melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini
meliputi:
Perubahan kemudahan-kemudahan supaya pelajar-pelajar mendapat peluang
mengembangkan potensi mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani,
secara menyeluruh dan seimbang.
Perubahan aktiviti budaya sekolah yang kondusif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
jiwa pelajar.
Perubahan iklim sekolah yang kondusif untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cintakan
ilmu dan seterusnya membentuk budaya membaca dalam kalangan mereka.


Rumusan



Falsafah Pendidikan Negara adalah teras kepada sistem pendidikan di negara ini. Falsafah ini digubal di atas kesedaran bahawa negara mesti mempunyai tuju hala dan matlamat yang benar dan tepat di dalam system dan rancangan pendidikannya. Selaras dengan Rukunnegara, falsafah pendidikan ini turut menekankan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Malah keseluruhan Falsafah Pendidikan Negara adalah berpaksikan keTuhanan (KPM, 1988).


Falsafah Pendidikan ini dimanifestasikan dalam diri insan yang memiliki ciri-ciri baik,
seimbang dan harmonis. Dalam konteks yang lebih luas, insan yang baik, seimbang dan
harmonis mencerminkan individu yang berilmu pengetahuan, luhur dan mulia dari segi rohani, sihat dan bersih dari segi mental dan fizikal serta dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara (KPM,1988).


Pendidikan Teknik dan Vokasional pula merupakan satu cabang bidang pendidikan
yang sangat penting untuk pembangunan negara. Tujuan utama PTV diperkenalkan adalah
untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir di Malaysia. Disamping itu, PTV juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman sebenar untuk persediaan alam pekerjaan.


Melalaui penulisan di atas, adalah amat penting untuk para pendidik untuk memahami
dengan jelas tentang FPK dan hubungannya dengan PTV. Ini adalah sangat penting kerana
apabila pendidik memahami dengan jelas tentang FPK dan PTV, maka sudah tentunya
matlamat pendidikan serta hasrat negara akan tercapai. Melalui FPK, kita akan dapat
melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Disamping itu juga proses memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh juga akan lebih mudah dilaksanakan.


Rujukan

Abdul Fatah Hasan. (2007). Mengenal Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn. Bhd.

Amberjeet ( 1993 ), Dasar Grant dan Peruntukan Pembiayaan Serta Prestasi Pendidikan Sains,
Matematik, Teknik dan Vokasional di Malaysia. Ijazah Sarjana Muda, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Anan Nur ( 2010), Filsafat Pendidikan Essensialisme Retrieved on August 16, 2010,
http://anannur.wordpress.com/2010/07/08/filsafat-pendidikan-essensialisme

Evelyn J. Sowel ( 2005 ), Curriculum: An Integrative Introduction: 3rd Edition, New Jersey, Merill
Prentice Hal .

Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2001 ), Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan
Misi, Pusat Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2000 ), Tatacara Pengurusan Kewangan & Perakaunan
Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1988). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kuala Lumpur;
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

ok Soon Sang (1992). Pedagogi 2 Strategi Pengajaran-Pembelajaran Pengajaran Mikro
Persediaan Untuk Pengajaran Praktik. Subang Jaya: Cetaktama Sdn. Bhd.

Noresah ( 2002 ), Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Paul Procter ( 1995 ), Cambridge International Dictionary of English First Edition, Cambridge
University Press.

Sufean Hussin (2004). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Undang-Undang Malaysia, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), 1996, Percetakan Nasional
Berhad, Kuala Lumpur.

Widad Othman & Faridah Mariani Johari (2007), Curriculum Planning in Technical and
Vocational Education, Kuala Lumpur, Open University Malaysia.

Matlamat Pendidikan. Retrieved on August 16, 2010, from http://www.angelfire.com/bc3/bcc4

Falsafah Pendidikan di Malaysia. Retrieved on august 16, 2010, from
www.docstoc.com/docs/.../Falsafah-dan-Pendidikan-di-Malaysia

BAB 1 : TERAS PENDIDIKAN NEGARA


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

2 comments

SKOP TOPIK TEMUDUGA SPP


BAB 1 : TERAS PENDIDIKAN NEGARA
1.1 : Rukun Negara

1.2 : Falsafah Pendidikan Kebangsaan

1.3 : Wawasan 2020

1.4 : Islam Hadhari



1.1 : RUKUN NEGARA
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:


(1)Kepercayaan kepada Tuhan
(2)Kesetiaan kepada Raja dan Negara
(3)Keluhuran Perlembagaan
(4)Kedaulatan Undang-undang
(5)Kesopanan dan Kesusilaan

Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara. 

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat. 

Kedaulatan Undang-undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan. 

Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.


1.2 : FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FTK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual Sosial yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Unsur-Unsur Penting FPK

· Menjadi warganegara Malaysia yang baik
· Unsur intelek
· Unsur rohani dan emosi
· Unsur jasmani
· Memperkembangkan potensi individu
· Menyeluruh dan bersepadu
· Insan yang seimbang
· Kepercayaan kepada Tuhan
· Rakyat Malaysia yang boleh memberikan sumbangan.

Implikasi FPK Terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia

Implikasi Terhadap Kurikulum.

Kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang. Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilai-nilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi pula diserapkan bagi membawa Malaysia kea rah yang maju dan tidak ketinggalan.


Implikasi Terhadap Pendidik.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Ia boleh diperolehi di mana-mana dan bila-bila diperlukan. Guru boleh menjadi ejen perubahan untuk mendidik dan mengeluarkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Guru mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam ICT untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem pendidikan yang berteraskan teknologi. Guru mempunyai sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjadi guru yang baik, sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Guru memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.

Implikasi Terhadap Institusi Pendidikan.

Institusi pendidikan juga mengalami perubahan demi untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Kemudahan-kemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk merperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani. Ini adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang. Budaya di sekolah juga diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya supaya saling bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. Ini adalah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka.

Kesimpulannya, implikasi-implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mempunyai satu matlamat dan tujuan dan ia dinyatakan dalam bentuk falsafah iaitu:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dan segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepadaTuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraandiri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”:


* Nota Tambahan pengkhususan bidang ;
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia

Falsafah Pendidikan Negara

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:

a. Percaya dan patuh kepada tuhan
b. Berilmu pengetahuan
c. Berakhlak mulia
d. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
e. Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.
f. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

Falsafah Pendidikan Guru


"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."


1.3 : WAWASAN 2020

Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Cabaran utama

Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.

Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan.

Adakah matlamat menjadi negara maju dari segi ekonomi itu realistik?

Pada dekad 1960-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata sebanyak 5.1% setahun. Pertumbuhan purata ini dinaikkan menjadi 7.8% semasa dekad pertama Dasar Ekonomi Baru dalam dekad 1970-an, dan 5.9% setahun pada dekad 1980-an, akibat kemelesetan bertahun-tahun. Pertumbuhan KDNK pada 30 tahun tersebut dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata 6.3 peratus setahun, dengan kadar pada 20 tahun yang lalu merupakan 6.9 peratus setahun pada puratanya. Oleh itu, yang diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus untuk mencapai matlumat ekonomi Wawasan 2020i, sesuatu matlamat yang bukannya tidak mungkin.

KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah $115 bilion, dengan sasaran kira-kira $920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun akan datang. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar), berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK Malaysia akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990.


1.4 : ISLAM HADHARI

Islam Hadhari (Arab: الإسلام الحضاري) atau "Islam yang bertamadun" merupakan teori kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan Islam dari al-Quran. Ia bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukan mazhab baru. Ia adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan Tamadun Islam.

Tujuan
 
Visi: 
Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
 
Misi: 
Melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang.
 
Objektif:
Melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.

Prinsip

    (1) Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t.
    (2) Kerajaan Adil dan Beramanah.
    (3) Rakyat Berjiwa Merdeka.
    (4) Penguasaan Ilmu Pengetahuan.
    (5) Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif.
    (6) Kehidupan Berkualiti.
    (7) Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
    (8) Keutuhan Budaya dan Moral.
    (9) Pemeliharaan Alam Semulajadi.
    (10) Kekuatan Pertahanan.

___________________________________________________________________________________


* Untuk membuka "link" mengikut BAB di bawah,  Sila tekan tulisan berwarna
MERAH. Kecuali BAB 10 buka ikut subtopik pada tulisan berwarna MERAH.


BAB 1 : TERAS PENDIDIKAN NEGARA
1.1 : Rukun Negara
1.2 : Falsafah Pendidikan Kebangsaan
1.3 : Wawasan 2020
1.4 : Islam Hadhari

BAB 2 : KEMENTERIAN

1.1 : Kementerian Pelajaran Malaysia
1.2 : Kementerian Pengajian Tinggi

BAB 3 : SEJARAH PERKEMBANGAN PELAJARAN MALAYSIA

1.1 : Perkembangan Dasar dan Kemajuan Sistem Pelajaran Kebangsaan
1.2 : Perkembangan Pelajaran Masa Kini

BAB 4 : SISTEM PELAJARAN MASA KINI

1.1 : Pendidikan Pra Sekolah
1.2 : Program PERMATA
1.3 : Pendidikan Rendah
1.4 : Pendidikan Menengah
1.5 : Pendidikan Khas
1.6 : Program Pendidikan Khas
1.7 : Sekolah Sukan
1.8 : Sekolah Seni
1.9 : Pembestarian Sekolah
2.0 : Pendidikan Pasca Menengah( Tertiari)
2.1 : Institusi Pengajian Tinggi
2.2 : Pendidikan Swasta
2.3 : Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
2.4 : Sekolah Kluster
2.5 : Sejarah Pendidikan Teknik & Vokasional
* Tambahan penkhususan bidang di UTHM

BAB 5 : KURIKULUM
1.1 : Teori Pendidikan
1.2 : Kurikulum Prasekolah
1.3 : Kurikulum Baru Sekolah Rendah
1.4 : Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
1.5 : Kurikulum Kursus Perguruan Lepasan Ijazah
1.6 : Pengurusan Kurikulum
1.7 : Program JQAF
1.8 : Kia2M

BAB 6 : PROGRAM SOKONGAN DAN HAL EHWAL MURID
1.1 : Asrama
1.2 : Skim Pinjaman Buku Teks
1.3 : Biasiswa dan Pinjaman
1.4 : Program Bersepadu Sekolah Sihat
1.5 : Program Pemakanan Sekolah
1.6 : Bimbingan dan Kaunseling
1.7 : Malaysia Teacher Standard atau Standard Guru Malaysia (SGM)
1.8 : PIBG
1.9 : Skim Baucer Tuisyen

BAB 7 : PROGRAM KHAS KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

1.1 : Gerak Kerja Kokurikulum
1.2 : Sekolah Harapan Negara
1.3 : Hari Guru
1.4 : Projek Nilam
1.5 : Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia
1.6 : Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran

BAB 8 : URUSAN PERKHIDMATAN
1.1 : Perintah-Perintah Am

1.2 : Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993
1.3 : Arahan Perbendaharaan
1.4 : Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor
1.5 : Arahan Perkhidmatan
1.6 : Akta Acara Kewangan
1.7 : Peraturan-Peraturan Pegawai Awam

BAB 9 : DASAR, KURIKULUM & SISTEM BARU
1.1 : KSSR
1.2 : KSSM
1.3 : Pentaksiran Berasaskan Sekolah
1.4 : MBMMBI
1.5 : 1 Murid 1 Sukan
1.6 : Transformasi Pendidikan Vokasional
1.7 : NKEA
1.8 : NKRA Pendidikan


BAB 10 : BAB TAMBAHAN
A   : Dasar, Kurikulum & Sistem

1.1 : SBPA
1.2 : LINUS & PROTIM
1.3 : Tonggak 12
1.4 : PPSMI
1.5 : RMK - 10 ( Pendidikan)

B    : Isu Semasa Pendidikan

2.1 : Wang Bantuan RM100 Kepada Pelajar
2.2 : Pemberian Baucar RM200 Kepada Pelajar IPTA, IPTS Dan Politeknik
2.3 : Isu Penempatan GSTT
2.3 : Majlis Bahasa Inggeris
2.4 : Kementerian Kaji Wujud GPK Pendidikan Islam Di Sekolah
2.5 : Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional

C    : Isu Semasa Negara

3.1 : Sistem Pemerintahan Malaysia ( YDP Agong, Kabinet, Komponen )
3.2 : Isu Adam Adli
3.3 : BR1M
3.4 : Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi & Politik
3.5 : Bajet 2012

D    : Teori Pendidikan

4.1 : Taksonomi Bloom

E    : Lain-Lain
5.1 : SPP
5.2 : JPA
5.3 : Sorotan Peristiwa 2011

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.