Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid

1 comment

Fadzil Berbicara tentang......................

Hari ini saya berehat sahaja di bilik. Kerana tidak sedap badan maka saya tidak mengikuti delegasi MPPUTHM berdialog dengan MPPUTP dan lawatan mereka sekitar kampus. Saya menghabiskan waktu siang dengan tidur dan berehat sahaja. Tubuh saya memberikan reaksi supaya saya berehat hari ini setelah aktif sejak beberapa hari. Bangun sahaja tidur pada petang hari, segala ketidakselesaan telah hilang begitu sahaja. Kerana sahabat-sahabat lain pergi ke Lawatan di Lumut pada petang hari maka saya keluar seorang sahaja petang itu menyusuri tasik hingga ke kafetaria.

Ketika melangkah keluar bilik sempat berkenalan dengan beberapa pelajar antarabangsa UTP. Salah seorang daripada Uzbekistan, sedang mengupas kentang dan menanak nasi di stor hujung bangunan yang dijadikan dapur. Tercungap-cungap jugak la “ speaking “ hehe.....

Perjalanan saya diteruskan dengan menyusuri pesisir jalan sepanjang tasik. Jalan di sini agak selesa. Pemandangan yang menghijau di kiri kanan jalan menyegarkan pandangan. Anda akan dapat melihat padang menghijau yang tersusun rapi dan landskap yang bersulam dengan deretan tiang lampu, landskap yang menghijau. Ditambah lagi dengan angin sepoi-sepoi bahasa di sekitar tasik , ianya melengkapkan lagi pakej keindahan di UTP ini.

Sebelum saya menulis ini, kali kedua saya menyusuri tasik ini kerana terpesona untuk melihat keindahan malam di sekitar tasik. Sangat-sangat mendamaikan dan kerlipan lampu yang menerangi sepanjang tebing tasik dan kedudukan Masjid di seberang tasik yang terang menderang kubahnya melengkapkan pakej malam di UTP. Dekorasi yang bijak oleh arkitek landskap pada pengamatan saya. Sangat menyeronokkan dan mood saya untuk menulis juga meningkat serta merta. Perbandingan panaroma di UTHM mungkin tidak adil. Tetapi secara jujur kalau begini keadaan tempat belajar, pasti sedikit sebanyak memberikan kesan emosi yang baik dalam proses pembelajaran. Mungkin saya salah seorang individu yang terpengaruh dengan keadaan alam semulajadi dalam kehidupan. Ketika menulis ini, pemandangan di luar tingkap adalah pohon-pohon yang diterangi lampu sepanjang tasik. Sangat indah & romantik.........

Persoalan Mengapa Saya Mengikuti Lawatan Ini?

Secara jujur kerana saya ingin menyelami dan memahami situasi ahli-ahli MPPUTHM Sesi 09/10. Saya telah mendengar beberapa perkara samaada gerak kerja atau keperibadian, idealisme daripada beberapa pihak luar mengenai MPP sesi ini. Sepertimana sedia maklum saya tidak mengenali kebanyakan ahli-ahli MPP sesi ini. Adalah tidak wajar saya mendengar sebelah pihak sahaja tanpa mendengar dan melihat sendiri mereka ini. Yang saya kenali secara langsung ialah saudari Najihah ( S/U Agung 09/10) , bekas S/U Kerja ketika saya menjadi YDP sesi lepas. Saudara Shahzada Khan ( YDP 09/10) bekas sahabat MPP 07/08 & Rakan Exco YDP Sesi lepas, saudara Pua Tiong Eng ( S/U Kerja 09/10), bekas Rakan Exco Ydp sesi lepas.

Yang secara tidak langsung adalah saudara Hadi Rahman ( NYDP 1 09/10) , bekas Pengerusi Kelab Iqra`, saudara Fauzi (NYDP 2 09/10), bekas Pengerusi Kolej Kediaman Melewar, saudara Wan Adrizal ( Pengerusi Jabatan Kolej Kediaman 09/10) , bekas Pengerusi Kolej Kediaman Taman Universiti. Yang lain-lain saya baru sahaja kenali.

Dalam lawatan ini secara jelas saya mungkin tidak banyak bercakap, selain kesan emosi akibat berehat panjang yang menjadikan saya tidak banyak bercakap, saya masih cuba membiasakan diri dengan keadaan baru ini. Mungkin jenis saya tidak pandai bergurau dengan kenalan baru menjadikan situasi yang kurang selesa bagi saya untuk bercakap. Lebih-lebih lagi dua orang kenalan lama, Shahzada ( Temuduga Biasiswa) dan Pua (pembedahan tangan) menjadikan saya lebih banyak mendiamkan diri. Kerana Najihah pula seorang perempuan, saya tidak begitu banyak bercakap kerana sifat semulajadi saya yang kurang bercakap hal peribadi dengan perempuan. Saya mempunyai keterbatasan dalam pergaulan. Saya kira Najihah memahami saya, lain pula kalau soal kerja, saya seorang profesional dan akan banyak bercakap, sesiapa yang pernah bekerja rapat dengan saya akan memahami perkara ini. Maaf ya sahabat-sahabat MPP baru kalau saya kelihatan akan pendiam , bukan sombong hanya saya memerlukan lebih waktu untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru ini.

Satu lagi kerisauan ialah, saya cuba membiarkan mereka ini membina konsep pimpinan mereka sendiri. Saya tidak ingin di lihat mempunyai kecenderungan penyakit kehilangan kuasa, mengkritik membuta tuli mereka ini, dan memperlihatkan kelebihan konsep kepimpinan saya terdahulu. Tidak adil rasanya saya memperbandingkan perkara ini. Saya lebih senang menyuarakan secara peribadi terus ke Shahzada atau ahli-ahlinya daripada mengkritik melalui ruangan seperti Facebook. Tidak manis rasanya berbuat demikian, selain menjatuhkan imej tetapi akan menurunkan semangat mereka ini. Saya pernah melalui keperitan itu, saya memahami situasi mereka ini. Tetapi MPP juga perlu menerima hakikat itu, dunia sekarang bersifat global dan mereka tidak dapat menghalang mana-mana pihak untuk bersuara. Jadi bersiap sedialah di gelanggang!!!

Yang penting saya turut ketawa mendengar gurau senda kamu semua, hanya saya ketawa tidak berbunyi..... Sepanjang masa memerhatikan saya kira kamu mempunyai nilai tersendiri. Seperti sedia maklum setiap sesi MPP akan mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri. Saya tidak ingin menghakimi kamu semua, lebih-lebih lagi lawatan ini lebih kepada nilai kembara dan semangat silaturrahim , maka penilaian dari segi gerak kerja belum terlihat lagi. Tetapi nilai positif dan pengalaman berharga ini kalau di bawa pulang kalau betul caranya digilap sepatutnya akan memberikan kesan kepada kamu semua dalam gerak kerja MPP.

Perkongsian Yang Bermanfaat Sepanjang Lawatan

Beberapa perkara yang saya catit saya kira menarik untuk di kongsi :-

(1) Sesi dialog Bersama MPPUSM Sesi 09/10

- Pengenalan USM sebagai Universiti APEX ( Perasmian 4 September 2009)

- Terdapat 120 Persatuan ( 89 yang benar-benar aktif mengikut MPPUSM)

- Polisi Student Goverment , apa-apa dasar, polisi universiti akan melibatkan pandangan pelajar terlebih dahulu.

- Parlimen Mahasiswa , akan bersidang kali pertama pada 01/08/2010 di USM – Prinsip Parlimen Mahasiswa akan mecontohi Parlimen Malaysia. Terdiri daripada 50% Ahli MPP, baki daripada Majlis Penghuni Desasiswa, Persatuan ( Secara bergilir kerana jumlah persatuan yang banyak). Tetapi konsep ini masih dibincangkan lagi dan belum muktamad. Tujuan utama menurut jurucakap MPPUSM, adalah menggalakkan perbincangan keilmuan di kalangan mahasiswa dan usul melalui Parlimen Mahasiswa akan lebih mudah di bawa ke peringkat atasan tanpa melalui karenah birokrasi dalaman. Walaubagaimanapun terdapat peraturan-peraturan yang di gubal bagi menjaga keharmonian Parlimen Mahasiswa.

(2) Alam Semulajadi & Panaroma Indah

- Menaiki Feri di Pulau Pinang, Kali kedua dalam hidup. Kali pertama semasa kecil bersama keluarga. Pemandangan dari atas Feri amat menyeronokkan kerana dapat melihat laut sepanjang perjalanan. Tetapi yang kurang adalah panaroma sekeliling dicacatkan dengan kapal-kapal dan laut yang kelabu. Masih tidak dapat melawan keindahan kampung halaman saya, Marang!!! Sebagai contoh dahulu saya selalu mengikuti bapa saudara, Arwah Pak Tam Roni yang bekerja sebagai nelayan, melihat laut yang membiru seperti kaca lutsinar , anda dapat melihat ikan-ikan bermain di sekeliling bot. Sejak Arwah meninggal dunia sejak 2 tahun lepas, tiada lagi laluan percuma untuk melihat keindahan Laut China Selatan. Hanya kenangan yang mengamit hatiku.

- Bukit Merah Lake Town Resort, kali pertama sampai di sini. Amat menyeronokkan. Pastilah sebab merupakan sebuah Taman Tema. Saya tidak mengikuti sahabat lain ke Eco Resort melihat haiwan-haiwan kerana laluan berjalan yang kaki yang panjang. Saya perlu berhati-hati keranan baru sahaja pulih daripada kemalangan. Jadi saya terus ke Taman Tema Air, yang penting dapat berendam pada hari yang panas. Antara peristiwa lucu semasa saya berjalan-jalan di deretan kedai cenderamatan, tangan saya di sauk daripada belakang oleh seorang perempuan, dengan terpinga-pinga saya menarik tangan saya, terkejut dengan perbuatannya itu, saya berpaling dan mengerut dahi kepada perempuan bertudung itu. Terus dia meminta maaf dan berkata “maaf, salah orang” .... huhhh.... suami sendiri pun tak kenal ker? Dalam hati saya berkata-kata. Saya tidak menjawab apa-apa dan terus berjalan laju.... MALU.....

- UTP, kali pertama saya sampai di sini. Cerita di UTP telah dinukilkan di perenggan atas. Tetapi sebelum terlupa, saya terpangggil untuk berkongsi satu pengalaman. Saya tertarik dengan situasi ketika hampir waktu maghrib, sedang saya menyusuri tasik, saya melihat berbondong-bondong lelaki yang berjalan kaki dan menaiki basikal keluar dari hostel ke Masjid di seberang tasik. Seolah-olah timbul ketenangan melihat mereka semua menyusuri tasik di bawah lampu-lampu sepanjang tasik ke Masjid. Saya kira jarak Masjid kalau daripada hostel mungkin dalam 400 meter. Samaada kalau setiap hari begini ataupun mungkin ada program di Masjid yang menyebabkan mereka beramai-ramai keluar, pemandangan yang saya tidak dapat lihat di UTHM. Hingga pernah sahabat berbicara kalau KKTSN di tutup maka di khuatiri jemaah di Masjid UTHM kini turut hilang. Sanggupkah pelajar-pelajar di KKTDI/KKTF berjalan ke Masjid. Susah bukan lebih-lebih lagi terdapat surau di kolej tersebut. Saya tinggalkan persoalan ini untuk direnungi bersama.

Palestin & Israel – Apa peranan Mahasiswa?

Saya tidak mengulas lanjut kerana banyak pihak yang telah memperkatakan hal ini. Mahasiswa mempunyai banyak badan, persatuan, gerakan untuk menyuarakan hal ini.

Tapi bila bercakap dalam soal Majlis Perwakilan Pelajar. Ada yang akan mempersoalkan sejauh mana kerjasama pada peringkat nasional? Perlu dingatkan MPP seluruh IPTA/IPTS mempunyai MPPK ( Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan). Jurucakap MPPK Sesi 09/10 saudara Wafi ( YDP USM ) telah mengeluarkan artikel mengutuk kekejaman Israel dalam Berita Harian beberapa hari lepas. Hanya samaada ianya melibatkan kerjasama antara semua pimpinan IPTA menjadi persoalan saya. Oleh kerana itulah, semasa berbincang antara YDP MPMUM dan YDP MPPUTHM Sesi 09/10 pada 4 Jun lepas di Pejabat MPMUM, saya mengatakan kalau mampu cubalah berbuat sesuatu kerjasama antara semua YDP IPTA/IPTS dalam hal ini. Sebagai contoh saya mengatakan adakan satu hari secara serentak pada detik jam yang sama menganjurkan demontrasi aman dan pelancaran Tabung Untuk Palestin Peringkat Mahasiswa di IPTA/IPTS yang diketuai MPP. Penglibatan Mahasiswa seluruh negara akan menyebabkan mahasiswa biasa akan merasakan diri mereka terlibat secara langsung dalam kempen ini dan memberikan mereka rasa hormat kerana pimpinan yang mereka pilih dalam mengetuai mereka berkenaan isu hangat ini. YDP-YDP boleh memainkan peranan proaktif dalam hal ini. Anggap ini untuk jangka masa pendek, permulaan kerjasama erat perlu di cari antara pimpinan IPTA bagi isu jangka panjang. Selalunya isu domestik kampus akan menenggelamkan kerjasama ini. Entah di mana silapnya. Sekali lagi saya tinnggalkan persolan untuk pimpinan sekarang.

Secara peribadi saya pernah mengulas mengenai isu ini :

http://fadzilmahasiswa.blogspot.com/2009/11/sejarah-dunia-siri-1-palestin.html

Sampai ketika ini sahaja saya menulis, esok saya akan ke Parlimen Malaysia dan yang menyeronokkan adalah keterujaan kerana ketika ini Parlimen sedang bersidang... pasti banyak yang saya akan belajar...

Salam......

1 comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.