Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid

No comments

SAYA MUNDUR KE BELAKANG

Artikel ini tulisan Dr. Puad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran tersiar di blognya pada 22 Nov 2009

Hari ini akhbar STAR menyiarkan, pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan saya mengenai isu penggunaan Bahasa Melayu disektor swasta dan GLC. Sebenarnya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu' saya mencadangkan supaya GLC dan sektor swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah mereka. Bahkan saya juga menyebut, akan memulangkan surat surat sektor swasta yang dihantar ke pejabat saya yang menggunakan Bahasa Inggeris.

Pada saya, kenapa mereka mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalau bermesyuarat sesama rakyat Malaysia gunakanlah Bahasa Melayu. Barulah pembudayaan bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Mustahil rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Mereka tuduh, saya mundur ke belakang. Hujah mereka lagi, ini bertentangan dengan seranan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Pelabur asing tidak akan datang ke negara kita dan Malaysia akan dipinggirkan. Ini yang saya kata budaya orang Malaysia amat pelik. Kenapa bila kita berjumpa sesama kita rakyat Malaysia mesti berbual dalam bahasa Inggeris. Apakah itu life style untuk menunjukkan kita maju. Atau menunjuk nunjuk kita adalah educated. Salahkah kita menunjuk nunjuk dan rasa bangga bila menggunakan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kenapa bila kita bermesyuarat sesama kita mesti menggunakan bahasa Inggeris? Apa kena mengena dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.

Kalau nak tarik pelabur asing atau bermesyuarat dengan pelabur asing, gunalah bahasa Inggeris. Memang itu pun kegunaan bahasaInggeris. Kerana ia bahasa antarabangsa. Saya pun tidak membantahnya. Yang saya tegur, mesyuarat mesyuarat rasmi GLC dan sektor swasta, termasuk mesyuarat senate di universiti universiti tempatan. Gunalah Bahasa Melayu. Taatlah sikit kepada bahasa kebangsaan sendiri. Apa kena mengena dengan produktiviti kita. Bahkan apabila ia menjadi modal sosial dan modal budaya kita, semangat kekitaan itulah yang menjadikan kita lebih bedaya saing dan ada jati diri.

Perancis, Jepun, China dan Korea begitu taat kepada bahasanya. Keempat empat negara tersebut adalah negara maju. Kita sendiri kagum dengan mereka. Saya tidak membangkitkan pun isu patriotisme. Itu bukan hujah saya. Taat yang saya maksudkan ialah keyakinan kepada jati diri sendiri. Saya tidak kata mereka tidak patriotik, tetapi mereka mungkin kabur soal pentingnya bahasa sendiri sebagai modal sosial dan modal budaya. Sebab itu saya setuju dengan tokoh bahasa seperti Dato Hassan Ahmad bila berhujah kaitan bahasa dan kemajuan.
Sekarang ini ada 45 negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Tolak Britain, Amerika, Australia, New Zealand dan Kanada tinggal 40 negara. Kebanyakan 40 negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Ghana, Zambia dan Zimbabwe adalah cukup miskin. Bahasa Perancis digunakan di 30 negara. Tolak Perancis, Queebec, Belgium dan Switzerland, tinggal 26 negara. Tetapi apakah negara negara seperti Ivory Coast, Mali, Togo, Haiti dan Chad adalah negara maju? Begitu juga bahasa Sepanyol. 30 negara menjadikannya bahasa rasmi, terutamanya di Amerika Selatan. Kebanyakannya adalah negara yang berpendapatan rendah. Cameroon menjadikan Inggeris dan Perancis sebagai bahasa rasmi, manakala Surinam menjadikan Inggeris dan Belanda sebagai bahasa rasmi. Tetapi kedua duanya tidak dianggap sebagai negara maju.

Jadi belum tentu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menjadikan negara itu negara maju, meningkatkan pendapatan negara, atau jaminan pelabur asing akan masuk. Menggunakan bahasa Melayu bila bermesyuarat dan berbual sesama kita sendiri bukan langkah mundur ke belakang. Bahkan ia langkah maju ke depan. Beribu doktor dan jurutera yang dilahirkan oleh UKM yang ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.


Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.