Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

Mahasiswa Oh Mahasiswa

Kerap kali kita membincangkan sindrom mahasiswa jumud dan tidur ini. Jumud dari segi meningkatkan kepekaan rasional untuk memaksimakan kepedulian kepada persekitaran yang berlaku, sama ada dari pemerhatian aktiviti tamadun yang berjaya atau melihat kehalusan seni bina alam ciptaan Tuhan.
Mereka terbelenggu dan terpenjara di dalam paradigma arus perdana yang sonsang dan jauh melawan fitrah kejadian manusia. Mereka seolah-olah seronok bermain di alam fantasi berbanding realiti, masa berharga dibuang begitu sahaja.

Mereka betul-betul dibelenggu dengan pengiktirafan material tanpa ingin mengisi pengiktirafan rohani . Cukup sekadar segulung kertas dengan angka-angka 4.00, 3.75 untuk di jaja dimana-mana mereka perlu. Tanpa mereka sedar hati mereka itu kosong tanpa penghayatan mengapakah mereka ini ditempatkan di dunia ini? Apakah nilai sebuah ilmu? Apakah Ilmu itu sekadar untuk mencari kerja sahaja?

Berkatalah sang Arjuna “ bebanan subjek dan jam kredit yg bertambah setiap semester..dibelenggu plak dengan eksperimen kampus pada mahasiswa dalam kompetensi generik..semua itu memaksa mahasiswa menjadi individu yg melalui arus tanpa perasaan.. ”


Bagi yang memimpin pula janganlah tidur di siang hari. Hari ini orang hangat memperkatakan politik baru. Bagi yang sedang tidur cepat-cepatlah bangkit. Anda akan ketinggalan.
Bagi yang aktif dalam organisasi mahasiswa, tumpukan perhatian membudayakan pengintelektual organisasi. Budayakan pemikiran intelektual di kalangan mahasiswa. Janganlah hangat-hangat ketika berkempen di AGM atau PRK sahaja. Bila sudah ada jawatan lemah gemalai dalam menjalankan tanggungjawab. Sekadar menjadi tempelan. Menjadi Pak Angguk di dalam mesyuarat sahaja. Semua hal ingin disuapkan. Mana idea-idea yang gah yang sepatutnya selaras dengan CPA anda? Setiap individu kalau digembeleng dalam sama-sama membantu akan nampak gah organisasi itu walaupun hakikatnya ada pelbagai masalah. Rumah Tangga mana yang tidak pernah goyang?


Ketakutan untuk menetapkan pendirian dan bersuara ini penyakit buatan sendiri. Ciptaan untuk kepentingan peribadi. Takut menyakiti hati orang lain, menyinggung perasaan orang lain, takut ditempelak kembali. Mana slogan Amar Makruf Nahi Mungkar ? Bermuka-muka di hadapan lain, di belakang lain.

Hari ini kalau anda asyik berlindung di belakang orang lain keluarlah. Hari ini kalau anda sebagai pimpinan mahasiswa sesibuk manapun anda tidak perlu berucap berapi-api di hadapan orang ramai lagi seperti dulu untuk menyatakan idea dan pendapat. Hari ini zaman teknologi, kalau kamu mahu, boleh menjerit kepada seluruh dunia. Apalah sangat membuat web, blog. Malangnya kita sibuk mengumpul kawan dalam laman sosial sesawang twitter, facebook, friendster daripada menyampaikan pendapat dan hasrat kepada masyarakat kampus.


Kebanyakan kita kurang minat tentang falsafah, membuatkan kita menjadi penduduk dunia kelas kedua. Malah lebih teruk lagi tidak berfikir lansung. Kesedaran berfalsafah itu yang penting kerana akhirnya membawa kepada pertanyaan siapa, dari mana, hendak ke mana dan pelbagai soalan kehidupan. Kini Budaya yang ada semuanya ingin di ringkaskan . Ringkas dan Padat!! Tapi dalam kosong. Jadilah produk Mee Segera….


Meminjam Petikan kata-kata Dato` Saifuddin Abdullah dalam rencananya ;

• Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
• Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
• Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.

• Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.

• Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan “mencerca”, tetapi “mengkritik”, yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.


Penulis sangat tertarik dengan penerimaan ilmu sains yang terbaik adalah apabila ilmu itu dapat mendekatkan diri kita dengan Allah Taala melalui cara yang begitu praktikal dan sangat halus, sehinggakan melebihi cara pemahaman ilmu ahlul-sufi mendekatkan diri kepada Allah Taala.

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعۡبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرۡفٍ۬‌ۖ فَإِنۡ أَصَابَهُ ۥ خَيۡرٌ ٱطۡمَأَنَّ بِهِۦ‌ۖ وَإِنۡ أَصَابَتۡهُ فِتۡنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجۡهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةَ‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡخُسۡرَانُ ٱلۡمُبِين

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan di sana terdapat sebahagian manusia yang menyembah Allah sekadar di pinggiran. Jika mendapat kebaikan mereka akan tenang dengannya (iman kepada Allah) dan apabila ditimpa fitnah (ujian) mereka akan memalingkan wajah (meninggalkan agama Allah). Mereka kerugian dunia dan akhirat. Itulah dia sebenar-benar kerugian yang nyata” al-Hajj (22:11)


Jernihkan akal dan usaha ke arah pembangunan minda kelas pertama dengan idea-idea lestari, jauh sekali memikirkan dunia fantasi dari realiti dan bergelumang kotor di dalamnya.


Beruntunglah mereka yang peduli dan masih ada hati.


Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.