Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

PENDIDIKAN - SIRI 1 : "Sekolah Satu Aliran Demi Masa Hadapan"


Polemik sekolah satu aliran ini adalah sesuatu yang patut saya bincangkan dalam persekitaran hidup saya memandangkan saya adalah salah seorang bakal pendidik. Sebelum saya mengulas lanjut saya memetik kenyataan daripada web Dato` Seri Najib ;

“ Saya telah mendengar ramai daripada anda sekalian yang mahukan pertukaran kepada sistem satu aliran sebagai salah satu cara untuk meningkatkan lebih perpaduan dan integrasi di kalangan rakyat. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak memberikan pengertian kebanyakan orang. Saya juga ada mendengar ramai yang begitu bertegas akan hak untuk memilih berdasarkan sistem pendidikan sekarang. Saya telah mendengar kedua-dua pendapat yang berbeza ini dan menerimanya. Justeru itu, kita hendaklah secara bersama-sama bersetuju akan satu sistem yang memberikan kebaikan kepada semua rakyat, yang mendukung nilai-nilai yang kita junjung. Sudahkah kita bersedia untuk menjauhkan diri daripada hak untuk memilih dan berkompromi? Dalam menyampaikan sudut pandangan kita, sudahkah kita memikirkan tentang pandangan-pandangan lain yang berbeza itu? “



Saya melahirkan pendapat peribadi sudah tibanya DS Najib mengambil langkah penting untuk merealisasikan sekolah satu aliran untuk generasi akan datang.
Penting untuk masayarakat memahami betapa pentingnya untuk merapatkan hubungan sesama kaum di negara ini. Kalau ingin melentur buluh, biar dari rebungnya.



Kerana saya ingin berkongsi waktu kecil saya , di Melaka. Semasa sekolah rendah hampir-hampir tiada rakan berbangsa lain di kelas saya. Mujurlah di tempat tinggal saya, Taman Desa Baru, saya dapat bergaul dengan pelbagai kaum. Usaha murni Jawatankuasa Penduduk Taman Desa Baru harus di puji kerana aktif . Hari Keluarga, Hari Bumi, Gotong Royong, adalah sebahagian aktiviti di Taman Desa Baru ketika itu.

Saya mengenali Ramachandran, Wong, Abu dan beberapa rakan kaum berbangsa lain di padang permainan Taman Desa Baru. Ketika kecil tiada lansung prasangka sesama lain. Kami seronok dengan kehidupan kami, dari balik sekolah , seawal jam 3 petang kami semua sudah berkumpul di padang untuk pelbagai permainan budak-budak. Daripada layang-layang, gasing, Polis Sentri merupakan alat perpaduan kami.

Sehinggalah yang betul-betul merapatkan kami ialah bola sepak, saya menubuhkan junior team taman kami, malah kami berkongsi duit simpanan wang sekolah untuk membeli sebiji bola. Betullah kata orang sukan adalah alat yang dapat menyatukan kita semua. Saya dilantik kawan-kawan menjadi ketua kerana sifat dominan saya. Walaupun di ejek suka menunggu bola tetapi kerana skil-skil yang ada mereka terpaksa mengakui saya, malah saya menyalahgunakan kuasa meletakkan diri menjadi penyerang tengah. Pelbagai peristiwa lucu sepanjang persahabatan kami dalam bola. Suka saya sebut yang mana saya ingat mana tahu kalau-kalau ada sahabat yang melihat dapat mengimbas kembali kapten anda ini. (p/s : Sekarang dah boroi )

Faiz, Rayyan, Shafiq, Syamil, Ramachandaran, Abu, Saiful, Ali, Aizat, Syazwan, Ariffin, Abiddin, Along, Azmil, Zabidi, Najib, Azmi, dan beberapa sahabat yang saya terlupa (Maaf). Sudah 8 tahun sejak saya berpindah daripada Melaka ke Terengganu.

Mengimbas mengenai hubungan kaum, pernah saya berasa sedih kerana dalam satu perlawanan bola, pihak kami kalah dan Rama dan adikya Abu ( gelaran kami) dimarahi oleh beberapa rakan lain dan hampir-hampir mencetuskan petengkaran. Ketika itu kebetulan ayah Rama melalui padang tersebut, dan melihat anak di herdik dengan kata-kata berbau perkauman. Seminggu Rama dan Abu tidak datang ke padang bermain bola. Ayahnya betul-betul terkilan!! Sehingga saya datang ke rumah untuk memujuk mereka kembali kerana erti persahabatan yang ada dalam bola sepak menyebabkan saya tidak sanggup kehilangan mana-mana kawan.

Malah di sekolah menengah Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka ketika itu prasangka antara kaum sudah wujud. Mengimbas kembali ianya banyak berkaitan dengan kefahaman antara satu sama lain. Kalau di kelas pintar hubungan antara kaum memang agak erat dan berlainan pula di kelas yang terbelakang, gaduh antara kaum selalu berpunca daripada sana dan merebak sehingga ke kelas-kelas lain. Mujurlah cikgu dispilin sememangnya garang dan dapat mengawal pergaduhan. Tetapi hampir-hampir setiap minggu pasti ada. Kalau tidak di sekolah, selepas waktu sekolah, pertembungan geng pasti berlaku. Melayu dengan gengnya, Cina dengan gengnya, India dengan gengnya.

Kerana saya agak rapat dengan beberapa kaum lain, maka saya dapat menyelami perasaan mereka dengan mudah, saya yang duduk di barisan belakang sekali, di sebelah Jaiganesh, Wong. Sering kali kami di gelar oleh guru kelas barisan UMNO-MIC-MCA. Kami hanya ketawa ketika itu. Kerana keakraban kami, masing-masing boleh mendapat manfaat. Saya pandai Sejarah dan Geografi. Jaiganesh pandai English, Wong pandai Matematik. Kami saling membantu. Tiada prejudis, kalau bergaduh pun kerana EPL. Saya dengan Chelsea di zaman Gianfranco Zola ketika itu. Wong dengan Manchester United di zaman David Beckham, dan Jaiganesh dengan Liverpool di zaman Micheal Owen.

Malah satu cerita yang membuatkan saya begitu hormatkan seorang guru wanita berbangsa cina adalah cerita pada satu pagi ketika saya turun di perhentian bas yang jaraknya 200 meter daripada sekolah. Pagi tersebut hujan lebat dan saya berkira-kira untuk menunggu sahaja di perhentian tersebut sehinggalah tiba-tiba guru tersebut iaitu bernama Mrs. Patricia yang dikenali suka bermekap tebal dan sudah berusia terpacul di hadapan saya . Guru yang sebelum kejadian itu, amat saya benci kerana suka memalukan saya di hadapan kelas kerana saya merupakan pelajar paling kurang pandai dalam bahasa Inggeris dalam kelas. Selalu di denda berdiri di atas kerusi, di depan kelas. Apa yang di marahinya kepada saya setiap kali kelas saya, saya tidak faham langsung, yang saya tahu bila lepas marah, Mrs. Patricia akan bertanya “ Understand?” saya menggangguk jer seperti arahan rakan-rakan lain yang kesian kepada saya. Malu di depan gadis-gadis , tapi buat selamba sambil control macho. Mrs. Patricia turun daripda kereta mewah yang dipandu suaminya di depan ku sambil membuka payung. Entah mengapa dia tidak menyuruh suaminya hantar sahaja masuk ke sekolah. Dalam banyak-banyak pelajar, dia menarikku untuk berjalan bersama-sama sambil berkongsi payung. Saya yang terkejut mengikut sahaja sehingga sampai ke koridor di dalam sekolah, dia mengajar satu ayat dalam bahasa Inggeris iaitu “ Thank You “ dan selepas mengucap bahasa asing itu die menjawab “ Welcome” dengan sebelah bahagian tubuhnya basah terkena siraman hujan. Hampir-hampir menyebabkan saya berperasaan bersalah kerana sikap protes saya di dalam kelas, tidak pernah membuat kerja rumah sekolah, waktu kelas sedaya upaya ponteng melepak di perpustakaan. Kalau ada ujian bulanan sedaya upaya jugak hari ujian subjek English untuk jatuh sakit di rumah dan rela mendapat 0% sebab tidak hadir daripada hadir tetapi dapat 15% dan diketawakan orang. Saya benar-benar terharu atas budi baik cikgu pada hari itu dan berazam untuk berubah. Saya walaupun tidak pandai sekurang-kurangnya berjaya meningkatkan penguasaan English, lulus SPM, dan mendapat MUET band 3 di Politeknik. Kalau berjumpa Mrs. Patricia hari ini ingin sekali megucapkan “ Thank You” sekali lagi dalam hidup kepadanya. Benarlah seorang guru itu sangat penting untuk anak bangsanya.


Pendidikan bukanlah mengenai kaum, tidak usah dipolitikkan. Polemik tetap akan muncul. Kalau semua kaum bersetuju pun , bagi golongan melayu terdapat kekhuatiran mengenai sekolah rendah agama.

Bagaimana untuk memberi kefahaman kepada kaum-kaum lain nanti yang terpaksa menutup sekolah rendah jenis aliran tetapi golongan aliran Islam mahu mengekalkan identiti sekolah rendah agama ini. Saya percaya apa pun mesti berpegang pada Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Sek Ren Agama seperti yang dirisaukan sepatutnyaa dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekolah Agama mempunyai kedudukan istimewa di bawah Artikel 3, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan Malaysia bersesuaian sebagai Agama Persekutuan.

12(2) Every religious group has the right to establish and maintain institutions for the education of children in its own religion, and there shall be no discrimination on the ground only of religion in any law relating to such institutions or in the administration of any such law; but it shall be lawful for the Federation or a State to establish or maintain or assist in establishing or maintaining Islamic institutions or provide or assist in providing instruction in the religion of Islam and incur such expenditure as may be necessary for the purpose.

Bahagian "it shall be lawful for the Federation or a State " merujuk kepada keperluan untuk menyediakan apa-apa keperluan termasuklah pendidikkan agama yang meliputi Sekolah-Sekolah Agama Negeri.

Dan perlu diingat bahawa Sek Agama masih berada dalam 'skop' Sek Keb dengan menerima pakai Perkara 152 Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini berbeza dengan Sek Ren Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang gunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar UTAMA.

Jelas sekali, tidak ada isu memperjuangkan satu aliran sekolah kebangsaan akan menjejaskan sekolah aliran agama. Dari segi Perlembagaan, sekolah agama adalah lebih tinggi taraf dan terlindung dari sekolah vernakular.

Dan jika diteliti Perlembagaan Persekutuan, kita akan lihat tidak ada peruntukan untuk mengekalkan sistem vernakular.

Sekiranya kerajaan (PM) masih ragu-ragu tentang apakah sebenarnya "suara rakyat" mengenai cadangan sekolah satu aliran (dari sekolah rendah, bukannya sekolah menengah seperti yang diperkatakan oleh ahli politik), adakan saja "Pungutan Suara" (referendum).

Seperti kata Prof Khoo:-

“Apabila berbincang mengenai isu-isu nasional, kenapa mesti pemimpin-pemimpin membiarkan diri mereka dikuasai oleh perasaan perkauman yang tebal? Tanggungjawab utama mereka adalah untuk menyatu padukan rakyat, bukannya mengasingkan mereka.”

"“Sekiranya saya memilih untuk menjadi juara kaum etnik sesuatu kaum, adakah saya mampu untuk menyumbang ke arah pencapaian perpaduan nasional?”


Ohh… terlupa kalau pemimpin masa kini tidak mempunyai semangat bersatu padu pun. Janganlah korbankan kami generasi akan datang. Mana tahu 20 tahun akan datang daripada generasi sekolah satu aliran ini akan dapat membina negara bangsa yang kita idamkan. Dan tidak lupa juga untuk kiasan kepada dua tonggak kepimpinan utama orang melayu Islam yang tidak sanggup duduk semeja , pihak kami generasi muda akan mengubahnya suatu hari nanti!!!! Malangnya mungkin anda tidak dapat melihatnya……

Sekian….





Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.