Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

Ekonomi - SIRI 1 : Pengenalan Kepada Ekonomi"


Rencana ini adalah bagi pendahuluan bagi pemahaman untuk kupasan saya nanti yang sedang disiapkan iaiatu Ekonomi - Siri 2..... -Satu kupasan-. Rencana itu nanti adalah bersasarkan pandangan penulis untuk mengulas mengenai teori ekonomi, ekonomi Malaysia dan ulasan mengenai teori ekonomi Islam.

Beberapa Konsep Penting Ekonomi

Ekonomi itu sendiri mempunyai banyak takrifnya. Antara takrif yang telah dikemukakan ialah:

* Ekonomi sebagai sains kebajikan (Adam Smith). Iaitu, ekonomi sebagai satu ilmu untuk mengkaji tentang kebajikan manusia serta cara-cara bagaimana mnjaga dan meningkatkan kebajikan manusia ini.
* Ekonomi sebagai sains praktikal dalam pengeluaran dan pengagihan kekayaan
(J.S. Mill). Iaitu, ekonomi adalah cara yang bersistem atau cara yang baik untuk menghasilkan pengeluaran barang dan perkhidmatan untuk manusia dan cara yang baik untuk mengagihkan kekayaan yang datang dari usaha pengeluaran tadi.
* Ekonomi sebagai satu kajian mengenai tindak-tanduk manusia dalam kehidupan sehari-sehari - bagaimana dia mendapatkan pendapatan dan bagaimana dia menggunakan pendapatan itu (Alfred Marshall).



Mengikut teori ekonomi modern, manusia mempunyai kehendak yang tidak terbatas sedangkan sumber yang ada (termasuk kemampuan, teknologi) adalah terbatas. Oleh itu, jika kita hendak memuaskan manusia ini kita harus pilih, apakah barang-barang dan perkhidmatan yang penting yang boleh memenuhi sebanyak mungkin kehendak manusia ini; bagaimana mengeluarkan
barang-barang dan perkhidmatan tadi dengan cara yang paling baik (bermutu, murah, cepat, memenuhi kehendak manusia, sesuai, dll.); dan untuk siapa barang-barang dan perkhidmatan ini dikeluarkan. Sekiranya kita dapat menyelesaikan tiga persoalan di atas, iaitu

Pertama,

Apa yang patut dikeluarkan? Kedua, Bagaimana mengeluarkan? dan Ketiga, Untuk siapa dikeluarkan?

Berdasarkan kepada huraian di atas, ekonomi ditakrifkan sebagai ilmu yang menyelesaikan ketiga-ketiga persoalan manusia di atas. Cuba kita huraikan soalan ini satu persatu.

Apa yang patut dikeluarkan - makanan, pakaian, kenderaan, bangunan, dll. Makanan pula contohnya, beras, gandum, roti, mentega, daging, sayur, ikan, dll. Beras pula boleh jadi beras pulut, mahsuri, malinja, siam, basmati, wangi, panjang, pendek, hancur, dll.

Bagaimana mengeluarkan - dengan tangan, dengan jentera, dengan tangan dan jentera, atau sebelah pagi, sebelah petang, sebelah malam, di Kelantan, di Johor, di Jepun, di Ceruk Ketiak.

Untuk siapa dikeluarkan - untuk orang awam, untuk individu, untuk kerajaan, untuk barisan pertahanan, untuk orang kaya, miskin, raja, pembesar, dll.

2. Bidang-bidang ekonomi

Ilmu ekonomi ini dibahagikan kepada berbagai bidang pengkhususan. Bidang-bidang yang terkemuka ialah:

* Teori Ekonomi - merupakan beberapa hukum ekonomi yang digubal berdasarkan geraklaku manusia, firma, kerajaan, peniaga, dan sebagainya. Teori ekonomi ini mencakupi semua bidang ekonomi, tetapi biasanya ia dibahagikan kepada dua bahagian penting.

Pertama, ekonomimikro - yang berkaitan dengan satu-satu unit atau agen ekonomi, seperti individu, firma, kerajaan, pasar.

Kedua, ekonomimakro - yang berkaitan dengan kesemua agen ekonomi atau keseluruhan ekonomi dengan
melihat perhubungan antara agen-agen ekonomi tadi.

* Ekonomi Kebajikan - tentang kebajikan manusia, apa yang meningkatkan atau
mengurangkan kebajikan manusia, bagaimana melakukannya, kesan sesuatu projek
(pembalakan, lebuhraya, bangunan, padang golf) terhadap kebajikan masyarakat, dll.
* Ekonomi Pembangunan dan Perancangan - tentang kaedah-kaedah pembangunan dan perancangan. Apa yang patut dilakukan untuk meningkatkan kemakmuran manusia?
* Ekonomi Pertanian - segala ilmu ekonomi berkaitan dengan pertanian, tidak
termasuk bagaimana menyuburkan tanaman dll.
* Ekonomi Sumber alam - segala ilmu ekonomi yang berkaitan dengan sumber alam termasuk sumber hutan, sumber air, sumber galian, tanah, dll.
* Ekonomi Kewangan - tentang wang, bank, inflasi, faedah, pasaran wang, pasaran modal (saham & komoditi), sistem kewangan, dan sebagainya.
* Ekonomi Pembiayaan Awam - tentang hasil atau pendapatan dan perbelanjaan
kerajaan, berbagai jenis cukai (fiskal), belanjawan, dan sebagainya.
* Ekonomi Antarabangsa - mengenai perdagangan antarabangsa, pasaran
antarabangsa, kewangan antarabangsa, pertukaran wang asing, pinjaman luar,
pelaburan asing, dll.
Bidang-bidang lain seperti perniagaan (muamalat), statistik, ekonometrik, perakaunan, dll. telah
diasingkan dari ekonomi kerana bidang-bidang modern ini dianggap sebagai disiplin tersendiri.

3. Agen-Agen Ekonomi
Agen-agen ekonomi adalah unit-unit ekonomi yang memainkan peranan tertentu dalam ekonomi.
Misalnya, pengguna (terdiri daripada individu, firma, kerajaan), dan pengeluar (firma, kerajaan,
indvidu).

* Pengguna ialah agen yang menentukan apa yang mereka kehendaki, berapa banyak, bila, di mana. Pengguna menentukan permintaan bergantung pada harga, cita rasa, pendapatannya dan harga barang-barang lain. Pengguna ingin memaksimumkan kepuasan dari penggunaan barang-barang dan perkhidmatan tertakluk kepada pendapatan yang ada padanya.

* Pengeluar menghasilkan barang dan perkhidmatan sama ada untuk penggunaan
(iaiatu yang diminta untuk penggunaan akhir) atau sebagai input iaiatu bahan yang akan digunakan untuk pengluaran (penggunaan perantaraan).

4. Faktor-Faktor Pengeluaran
Faktor pengeluaran adalah perkara-perkara utam yang perlu untuk menghasilkan sesuatu barang
atau perkhidmatan. Dalam teori ekonomi moden, ada empat faktor pengeluaran. Modal, Buruh, Tanah dan Pengusaha.

* Modal termasuk wang tunai atau wang dalam bentuk cek, draft, jentera, kilang, alatalat
yang digunakan dalam pengeluaran seperti komputer, gergaji, dan sebagainya.
Modal ini terbahagi kepada dua jenis, modal cair (wang dalam segala bentuknya) dan
modal tetap (kilang, jentera dll.) Pulangan kepada modal ialah faedah.
* Buruh ialah segala jenis tenaga buruh selain dari pengusaha. Pulangan kepada
buruh ialah upah.
* Tanah termasuk tapak, ladang pertanian, dll. Pulangan kepada tanah ialah sewa.
* Pengusaha ialah orang yang menjelmakan ide bagi mengeluarkan sesuatu. Pulangan
kepada pengusaha ialah untung.

5. Sektor-Sektor Ekonomi
Ekonomi biasanya dibahagikan kepada beberapa sektor. Pada prinsipnya, ada tiga sektor penting,
iaitu Sektor Utama, Sektor Kedua dan Sektor Ketiga. Pembahagian ini dibuat mengikut
kesesuaian dan kemudahan menganalisis.
* Sektor Utama atau Pertama mengandungi sektor pertanian, perhutanan dan
perlombongan. Ketiga-tiga kegiatan ini menghasilkan apa yang dikatakan sebagai barang utama atau komoditi.

* Sektor Kedua biasanya mengandungi sektor-sektor pembuatan dan binaan. Kita perhatikan bahawa sektor-sektor ini melibatkan penghasilan barang atau bangunan yang bungkal.
* Sektor Ketiga mengandungi semua industri yang menghasilkan perkhidmatan.
Sektor-sektor yang terkandung di dalamnya ialah Sektor utiliti (air, letrik), Bank dan Insurans, Kerajaan, Pemborongan dan Peruncitan.
Ekonomi juga boleh dibahagikan kepada tiga mengikut siapa yang menjalankannya, iaitu, Kerajaan, Swasta dan Sukarela. Pembahagian ini adalah juga sesuai untuk menganalisis ekonomi Islam.

6. Sistem Ekonomi
Sistem ekonomi ialah cara sesuatu ekonomi disusun, dikawal dan dilaksanakan. Jenis sistem yang dilaksanakan bergantung kepada falsafah yang dipegang oleh masyarakat yang menggiatkan ekonominya. Falsafah ini akan menentukan hukum-hukum ekonomi, institusi yang ditubuhkan serta cara kegiatan ekonomi disusun dan dilaksanakan. Sistem yang rata diamalkan ialah sistem ekonomi campuran antara kapitalis dan sosialis.

Disediakan oleh
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.