Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid

6 comments

ISLAM (HUKUM) : SIRI 1 - " Bersalam antara lelaki & Perempuan "


Salam.... adapun ianya sekadar perkongsian yang saya rasa perlu diketengahkan untuk kegunaan yang mana hukum bersalam yang kebiasaannya di alami oleh ahli-ahli pimpinan mahasiswa/i dan bakal-bakal pimpinan akan datang. Ianya berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai pimpinan mahasiswa/i . Pernah satu ketika ketika saya baru memenangi pilihanraya kampus, seorang perempuan bukan Islam menghulurkan tangan kepada saya untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan saya. Memandangkan itulah pertama kali saya berdepan situasi ini maka dalam masa beberapa saat saya harus membuat keputusan sama ada untuk membalas ataupun tidak bagi menjaga air muka mahasiswi tersebut, mujurlah otak saya ketika itu berjaya mengingat semula sebuah buku berkaitan soal jawab agama yang mana membenarkan bersalam sekiranya perempuan ajnabi menghulurkan tangan terlebih dahulu dan salam saya tidak beserta syahwat.





Adapun saya ketika itu haruslah menjaga air muka mahasiswi tersebut di depan orang lain, dan untuk mengelakkan saya di gelar sombong setelah kemenangan tersebut dan pastilah mahasiswi tersebut salah seorang pengundi saya. Saya telah bersalam dengannya atas kapasiti hukum yang saya ingat secara seimbas lalu.Walaubagaimanapun setelah itu, bebarapa hari kemudian saya terserempak mahasiswi tersebut secara individu ketika di perhentian bas, saya mengambil kesempatan menerangkan kepadanya mengenai hukum bersalam dalam Islam dan mahasiswi tersebut meminta maaf atas kejadian tempoh hari. Tidak semua perempuan bukan Islam memahami hukum-hukum Islam, persediaan amat penting bagi pimpinan mahasiswa/i memahami budaya dalam kepimpinan, anda akan berjumpa VIP-VIP yang akan menghulurkan tangan kepada anda. Pasti anda akan serba salah dibuatnya. Dalam banyak kejadian , akan banyak perkara yang tidak terduga akan terjadi. Anda mestilah melengkapkan diri dalam menghadapi situasi-situasi ini. Saya berkongsi bebarapa rujukan saya :

Menurut JAKIM

Dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, berjabat tangan dengan wanita ajnabi adalah dibolehkan.

Demikian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan melalui pekeliling bertarikh 28 Oktober lalu tentang panduan hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi.

Wanita ajnabi ialah mereka yang halal dikahwini yang bukan mahram atau bukan isterinya. (al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami 7/598).

Selain dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, kenyataan tersebut menjelaskan, ianya dibolehkan tetapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dijadikan budaya dalam masyarakat Islam.

Menurut pekeliling tersebut , Fatwa itu adalah berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-79

Fatwa Yusof Qardawi :

Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi ada mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu’asarah). Berikut adalah fatwa dan penjelasannya secara ringkas:

1.Harus berjabat tangan ketika tidak disertai dengan syahwah, rasa kenikmatan atau rasa teransang. Ia juga mesti aman daripada fitnah. Jika disertai dengan syahwah dan teransang gelora seks, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain-lain) atau lelaki remaja yang belum tumbuh janggut).

2.Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja, contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, saudara mara yang datang yang kebanyakannya adalah saudaramara samaada melalui nasab atau perkahwinan.

3.Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana Rasulullah saw tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.

4.Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.

5.Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.

Kesimpulannya

Dibolehkan untuk berjabat tangan dengan bukan muhrim, tetapi mereka yang menghulurkan dahulu tanpa ada perasaan sahwat.

Tak nak salam pun betul, dua2 betul sebab nak jaga maruah kita dan itu pendapat n ikut kesesuaian masing2, tapi bukan salah, sebab dua2 ini ada pendapatnya dan nasnya tersendiri. sebabtu dalam al-quran suruh kita berfikir.

Tetapi lebih baik kita elakkan dan memberikan penjelasan yang baik kepada bukan muhrim supaya ia lebih mengetahui apa sebenarnya kita menolak berjabat tangan dengannya. Jika menjadi keberatan bagi kita untuk memberikan penjelasan kepadanya, maka lebih elok kita lapit tangan dengan tudung, sarung tangan, atau kain sapu tangan dan sebagainya. Dalam hal ini pastikan setiap pekerjaan atau perbuatan yang kita buat itu mesti ada sumber rujukan dalam Islam iaitu Al-Quran, Hadis Nabi, Ijmak Ulamak dan Qiyas.

Di Tinjau Dari Perspektif Fiqh


Apabila kita mengkaji penulisan para ulama dalam persoalan ini, maka dapatlah disimpulkan seperti berikut;

Pertama, dibolehkan orang lelaki berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tiada ghairah terhadap lelaki. Hukum ini diambil dari keringanan yang diberi kepada wanita-wanita tua dalam masalah hijab pakaian yang terdapat dalam firman Allah taala yang bermaksud

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur : 60)

Perkara ini disokong pula oleh riwayat Al-Bukhari dan Muslim bahawa nabi s.a.w tidur siang hari di rumah ibu saudara Anas yang bernama Ummu Haram binti Milhan. Beliau s.a.w tidur di sisi Ummu Haram dengan meletakkan kepala beliau di pangkuan Ummu Haram dan Ummu Haram membersihkan kepala beliau dari kutu.

Kedua, dibolehkan orang perempuan berjabat tangan dengan lelaki yang tidak memiliki ghairah terhadap wanita dan dengan anak-anak lelaki yang kecil yang belum muncul keinginan seksnya. Hukum ini berdasarkan keringanan hijab yang dinyatakan dalam firman Allah taala yang bermaksud
“... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau putra-putra suami
1
mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita ...” (An-Nur: 31).

Atas dasar yang sama, dibolehkan bagi lelaki untuk bersalam dengan kanak-kanak perempuan yang belum muncul keinginan seksnya, jika tidak disertai syahwat.
Ketiga, para ulama berbeza pendapat terhadap hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan biasa yang bukan mahram dan telah baligh.
Pendapat pertama mengharamkan perbuatan sedemikian berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
“Aku tidak berjabat tangan dengan wanita.” (Riwayat Abu Daud).
Dalam sebuah hadits pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Sesungguhnya ditusuk kepada salah seorang dari kamu dengan jarum besi itu lebih baik dari menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Kelompok ini juga berpendapat bahawa jika melihat wanita itu haram, maka menyentuhnya lebih utama diharamkan kerana ia lebih merangsang. Selain dari itu semua, pengharaman dibuat atas dasar sadduz zari`ah (menutup pintu kerosakan) dari rangsangan syahwat dan timbulnya fitnah.

Pendapat kedua pula mengharuskan perbuatan itu atas dasar bahawa Rasulullah s.a.w pernah berjabat tangan dengan wanita sewaktu berbai`ah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Athiyyah oleh Ibnu Hibban, Al-Bazzar, At-Tabari dan Ibnu Mardawaih. Selain itu diriwayatkan oleh Anas r.a
“Sesungguhnya seorang hamba perempuan di antara hamba-hamba di Madinah memegang tangan Rasulullah s.a.w, lalu dia membawanya pergi ke mana dia suka.” (Riwayat Al-Bukhari).

Mereka juga berpegang dengan hadits Ummu Haram yang dinyatakan di atas.
Kedua kelompok ini saling berhujah terhadap satu dengan yang lain di sekitar kekuatan dalil yang dipegang dan pentafsiran terhadap dalil masing-masing. Di sini tidak dapat disertakan perdebatan antara kedua pihak disebabkan keterbatasan ruang. Walau bagaimana pun, pandangan kedua belah pihak dapat dibaca dalam Al-Fatawa Al-Mu`asirah (Fatwa-fatwa Kontemporer) oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi (http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Kontemporer/Jabat1.html).

Walau pun para ulama kelompok kedua mengharuskan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang baligh dan bukan mahram tetapi mereka mengharamkan ke atas sesiapa yang melakukannya jika disertai dengan syahwat atau menimbulkan syahwat.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang baligh dan bukan mahram adalah perkara yang dikhilafkan oleh para ulama. Kedua kelompok yang berselisih dalam persoalan ini mempunyai dalil dan hujah. Dengan ini juga, persoalan ini akan kekal sebagai persoalan khilafiyah yang harus diterima oleh semua pihak.

Langkah Kita

Apakah tidak boleh setiap kelompok dalam masyarakat Islam yang berpengetahuan melakukan seperti berikut

1. Memberi penerangan kepada golongan bukan Islam bahawa hakikatnya terdapat perbezaan pandangan di sisi ulama dalam persoalan ini yang menatijahkan pula perbezaan amalan di dalam masyakarat Islam. Kita tidak perlu bersikap apologetik berkaitan perbezaan ini kerana ia bukan persoalan pokok dalam agama di samping itu perbezaan seperti ini juga wujud dalam agama-agama lain.

2. Memaklumkan golongan bukan Islam bahawa bukan budaya masyarakat Islam umumnya untuk berjabat tangan di antara lelaki perempuan yang baligh dan bukan mahram kerana pegangan mazhab Syafi`ii dalam amalan agamanya. Masyarakat Islam mempunyai cara tersendiri bagi mengucap salam dan menyambut orang. Kalau kita boleh menerima cara menunjuk rasa hormat kepada orang Jepun dengan menundukkan kepala dan cara menunjuk rasa hormat kepada orang India dan Thai dengan melekatkan tapaktangan, pastinya mereka boleh menerima bahawa masyarakat Islam mempunyai cara menyambut dan menghormati orang lain, asal sahaja satu usaha pemberitahuan dilakukan. Perbezaan cara seperti ini tidak sama sekali menjadikan seseorang itu tidak sopan, akomodatif atau eksklusif.

3. Memaklumkan golongan bukan Islam bahawa mereka akan sentiasa berhadapan dengan perbezaan di kalangan masyarakat Islam. Mereka harus menerima realiti ini dan berhenti mengharapkan agar semua masyarakat Islam menerima amalan berjabat tangan dengan semua bagi merapatkan ruang bersama (common space).

4. Bagi mengelakkan kesalahfahaman dan malu, masyarakat bukan Islam dimaklumkan bahawa, as a rule of thumb, tidak perlu menghulurkan tangan bagi berjabat untuk menghormati atau menyambut rakan Islam yang berlainan jenis kecuali jika beliau yang menawarkan tangannya untuk berjabat. Mengucap ‘hello’, ‘hi’, ‘welcome’ dan ‘how are you?’ adalah memadai.

5. Mereka yang tidak mahu berjabat tangan, hendaklah melakukannya dengan cara yang bijaksana, sopan dan memahami akan ketidakfahaman golongan bukan Islam dalam persoalan ini. Sikap melarikan diri atau berpaling tanpa penjelasan tidak akan menjelaskan keadaan. Sebaiknya membuat penjelasan secara pro-aktif – sebelum insiden berlaku.

6. Setiap pihak dari kalangan masyakarat Islam hendaklah berhenti dari mengkritik atau melontar hukum dan label terhadap satu dengan yang lain. Sebaliknya menumpukan kepada memberi penerangan yang komprehensif kepada golongan bukan Islam akan perbezaan yang ada, meminta masyarakat bukan Islam 5
memahami kedua belah pihak dan menasihati langkah yang baik bagi menghadapi persoalan ini.

Adalah diingatkan agar isu ini tidak dijadikan medan bagi mengukur siapa yang lebih wara’ dan siapa pula tidak atau siapa yang lebih ‘pro-integrasi’ dan siapa yang tidak kerana berpegang kepada mana satu dari dua pandangan para ulama tidak sedikit membuktikan sikap wara’ seseorang di hadapan Allah taala atau keterbukaan terhadap integrasi kaum di mata manusia.

Kesimpulan :

1. Apakah kita boleh yakin kita mampu mengawal nafsu kita sebelum,semasa dan selepas bersalam?
2. Fitnah kekadang tidak berlaku depan mata tetapi berlaku selepas dari itu

Menghulur salam dan berjabat salam satu amalan yang mulia di Malaysia yang berbilang kaum. Dunia yang luas tanpa sempadan, masyarakat berlainan negara mengamalkan cara yang berlainan memuliakan seseorang bila bertemu. Ada satu masyarakat dunia, apabila bertemu akan mengeselkan hidungnya. Ada yang berpelukan tatkala bertemu. Lain padang, lain belalang. Namun begitu, sebagai seorang yang beragama Islam, perlulah mengelakkan perkara-perkara yang menimbulkan fitnah Kekadang tu, kita tak menyangka pun secara tiba-tiba yang bukan muhrim menghulurkan tangan untuk berjabat tangan lantaran mereka melihat orang Melayu bila bertemu mesti bersalam. Ada pula, mereka yang bukan Islam ini terperanjat apabila melihat ada wanita Islam berjabat tangan dengan yang bukan muhrim. Ini bagi yang memahami tentang Islam bagi yang bukan Islam. Mereka faham Islam dan haram itu. Sebaik-baiknya, bagi wanita Islam, jika tidak mahu berjabat tangan dengan yang bukan muhrim, usah menghulurkan tangan. Letak tangan tu kat belakang. Jika kita tak hulur tangan , orang pun takkan sambut. Berdasarkan pengalaman, ada yg mengundur kaki setapak ke belakang dan membongkok menunduk sedikit dengan kedua-dua tangan di letakkan di paras dada sebagai tanda hormat membalas salam yang dihulurkan lelaki ajnabi. ( Situasi saya di Pra-Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan – Mahasiswi UIA apabila seorang VIP menghulurkan salam ketika sesi ramah mesra). Jika kita menunjukkan ketegasan kita dalam hal ini, InsyaAllah, orang yang tidak memahami hukum bersalam samaada bukan muslim ataupun muslim akan tetap menghormati kita biarpun kita tidak menyambut huluran salam mereka .

p/s : Sekiranya ada kesalahan pada mana-mana artikel,,, sila komen untuk berkongsi....

Rujukan :

http://asshafiee.blogspot.com
http://www.rantauan.com
http://halaqah.net
http://media.isnet.org
http://www.iluvislam.com



6 comments

  1. Anonymous
  2. Anonymous
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.