Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

UTHM kuarantin, saring pelajar antarabangsa seminggu

BATU PAHAT 27 Jun - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil langkah berjaga-jaga terhadap virus influenza A (H1N1) dengan meletakkan pelajar antarabangsa di kolej kediaman mereka selama seminggu sebelum dibenarkan masuk ke kampus.
Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, dalam masa seminggu itu mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari pada pukul 9 pagi dan 9 malam oleh Pusat Kesihatan UTHM dan tidak dibenarkan keluar.
''Jika ada antara mereka yang menunjukkan tanda-tanda terkena jangkitan, mereka akan terus dihantar ke Hospital Batu Pahat (HBP) untuk rawatan lanjut," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek bernilai RM5,000 kepada Utusan Melayu (M) Berhad sebagai tajaan 2,250 naskhah akhbar Kosmo! dan 2,000 naskhah akhbar Mingguan Malaysia sempena pendaftaran pelajar baru UTHM sesi 2009/2010 esok.
Menurutnya, pelajar dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak yang baru pulang dari luar negara akan diletakkan di kediaman mereka selama seminggu.
Bagi pelajar yang dari kawasan berdekatan pula, katanya, seperti di daerah ini diminta menangguhkan dahulu pendaftaran selama seminggu dan diminta berehat di rumah sahaja.
Mohd. Noh berkata, tindakan itu merupakan langkah proaktif yang diambil agar H1N1 tidak menular ke dalam kampus.
Bagaimanapun, katanya, setiap pelajar yang menangguhkan pendaftaran diminta menghubungi pihak universiti untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, pendaftaran pelajar baru UTHM akan bermula esok dan setiap pelajar yang mendaftar akan menjalani ujian saringan bagi memastikan mereka benar-benar sihat sebelum memasuki kampus.
Tambah beliau, buat masa ini terdapat 2,500 pelajar yang tinggal di dalam kawasan kampus dan 5,000 lagi pelajar tinggal di luar kampus.


39 penuntut UTHM dikuarantin


BATU PAHAT 28 Jun - Seramai 39 penuntut baru dari enam buah negara dikuarantin seminggu sebelum dibenar mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini bermula hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam UTHM, Shafry Salim berkata, mereka dikuarantin di sebuah bangunan khas di luar kampus bagi mengelakkan penularan virus influenza A (H1N1) dan hanya dibenarkan mendaftar selepas tamat tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 30 pelajar dari Yemen, lima dari Somalia dan masing-masing seorang dari Chad, Mesir, Palestin dan Libya.

"Mereka ditempatkan di bangunan tersebut sebaik sahaja tiba untuk mendaftar pagi ini," katanya ketika ditemui sempena pendaftaran penuntut baru universiti itu di sini hari ini.

Menurut Shafry, empat penuntut tempatan diarah pulang ke kampung masing-masing dan kembali untuk mendaftar minggu depan kerana didapati demam.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan kesemua penuntut baru bebas daripada virus tersebut.

Mengenai jumlah penuntut baru UTHM sesi ini, beliau berkata, seramai 2,600 tempat ditawarkan dan hingga pukul 4 petang ini 2,000 orang telah mendaftar.

Sementara itu, Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri menghargai tindakan UTHM melakukan pengimbasan ke atas semua penuntut baru dalam usaha membendung penularan H1N1.

"Ini dapat membendung wabak tersebut daripada merebak di kalangan masyarakat Parit Raja," katanya.

Beliau menggesa penuntut yang baru kembali dari luar negara agar lebih bertanggungjawab dengan membuat pengakuan secara jujur kepada pihak UTHM sebelum mendaftar.

"Ini untuk kebaikan semua pihak terutamanya warga UTHM dan penduduk sekitarnya," katanya.

Sumber : Utusan Online

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.