Pin It

Widgets

Perutusan Khas YDP MPPUTHM Sesi 08/09


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

4 comments

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan

UTHM 8 April - Alhamdulillah marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat saya memberi sepatah dua kata semenjak saya dilantik menjadi Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09.


Sesungguhnya jawatan ini satu amanah Allah S.W.T yang seharusnya saya pikul dengan rasa penuh tanggung jawab dan jujur. Dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa, sudut yang harus dilihat ialah sejauh mana kefahaman mahasiswa terhadap peranan utama organisasi yang dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar. Fungsi utama MPP ialah sebagai medium pengantara di antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti. Dalam erti kata lain, MPP berperanan untuk menyampaikan segala permasalahan yang dialami oleh para mahasiswa ke pihak universiti dan jika perlu, ke pihak yang lebih tinggi dalam usaha memastikan permasalahan itu selesai atau terjawab.

Dalam keadaan sekarang adalah penting untuk mahasiswa untuk bersatupadu agar suara mahasiswa lebih didengari dalam memastikan agenda kebajikan mahasiswa didengari. Memandangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk, suasana harmoni yang telah wujud haruslah dikekalkan. Perbalahan akan sentiasa wujud di mana-mana kerana naluri semulajadi manusia yang mempunyai pelbagai pemikiran akan melahirkan ideologi yang berlainan. Tetapi bila kita bercakap soal Agama, Bangsa dan Negara seharusnya ianya mendapat keutamaan di mana individu atau kumpulan-kumpulan tertentu dapat menyingkirkan kepentingan peribadi dalam menjayakan agenda perpaduan bagi menjamin keharmonian kampus.

Mahasiswa kampus lesu dan kurang bermaya yang menjadi isu perdana kini amatlah dikesali. Permasalahan ini disebabkan mahasiswa sendiri iaitu mentaliti mahasiswa telah diprogramkan untuk menjadi seperti robot iaitu belajar secara totok bukannya belajar secara kritis melalui pengalaman hidup yang dapat ditimba dalam alam kampus. Mahasiswa yang pro-aktif dapat membantu dengan memberi sokongan terhadap Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan-Persatuan, Kelab-Kelab, mahupun Sekretariat yang wujud di UTHM. Mentaliti menjadikan universiti seperti alam sekolah iaitu berorentasikan peperiksaan iaitu bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam kursus pengajian semata-mata haruslah dipandang serius. Kemahiran Insaniah seperti pengurusan, komunikasi dan lain-lain elemen haruslah seiring dengan kecemerlangan akademik.

Apakah perbezaan antara perkataan pelajar dan mahasiswa sekiranya mentaliti itu meresap dalam jiwa sanubari warga kampus? Ayuh kita berganding bahu untuk mengambil peluang dalam setiap aktiviti organisasi mahasiswa di universiti tercinta kita ini bagi memartabatkan kembali perjuangan api mahasiswa. Universiti yang dianggap pusat kecemerlangan ilmu seolah-olah tidak mampu untuk menghasilkan produk yang cemerlang jati dirinya lagi sekiranya mentaliti mahasiswa ini tidak di ubah.

Sekiranya mahasiswa sekarang tetap dengan perspektif untuk mengharapkan “Ijazah Kelas Pertama” daripada universiti tetapi tidak ingin berganjak daripada takuk lama iaitu “Mentaliti Kelas Ketiga”, percayalah kita hanya melahirkan generasi anak bangsa yang cemerlang akademiknya tetapi jiwanya kosong tanpa penghayatan terhadap Agama, Bangsa dan Negara.

Akhir kata, dalam memastikan MPP dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan efektif, kerjasama dari semua pihak amat diharapkan. Rakan mahasiswa seharusnya menggunakan saluran aduan yang betul dalam menyuarakan permasalahan anda dan juga haruslah peka dengan dasar yang ingin disampaikan oleh MPP agar segala persoalan dapat dirungkaikan dengan berkesan dan harmoni.

Sebelum saya akhiri kata-kata ini, serangkap pantun saya rungkaikan kepada rakan-rakan seperjuangan........

Hang Tuah pahlawan terbilang,
Bunuh Jebat kerana raja,
MPP tidak akan hilang,
Selagi ahlinya tetap setia.

Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09

4 comments

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.