Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

No comments

PENDIRIAN PERIBADI MENGENAI ISU PPSMI

Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya melalui pendidikan demi sebuah bangsa Malaysia. Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di negara ini berdasarkan kepentingan bahasa Melayu iaitu melibatkan Perkara 152 yang berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagai medium perpaduan bagi menyatukan pelbagai kaum di Negara ini. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum.

Hubungan etnik juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja. Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini menjadi semakin kompleks dan berbeza. Itulah sebabnya Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia. Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang dipersetujui bersama.

Dalam kebimbangan pelbagai pihak mengenai prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 khususnya bagi subjek Sains dan Matematik, yang dilaksana di bawah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini bukan saja di luar jangkaan malah boleh disifatkan sebagai kejutan. Apa tidaknya, jika bersandarkan kepada hasil kajian beberapa tokoh akademik tersohor termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron bersama empat penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sudah pasti kita menjangka keputusan UPSR tahun ini akan terjejas dan ramai murid bakal memperoleh keputusan rendah khususnya bagi subjek Sains dan Matematik kerana sebahagian besar murid dilaporkan gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Dalam kajian ilmiah penyelidik dari UPSI itu tahun lalu mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati 83 peratus daripada murid Tahun Lima di semua penempatan seluruh negara menyatakan mereka sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun mempelajari kedua-dua subjek itu sejak mula diperkenalkan pada 2003. Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Diikuti pada Julai 2007 membabitkan 636 dari 13 sekolah rendah, seterusnya pada Januari membabitkan 1,703 murid di 28 sekolah rendah.

Menurut kajian itu lagi, 85 peratus murid melaporkan guru mereka juga terpaksa mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa campuran bahasa Melayu dan Inggeris bagi membantu murid memahami dengan lebih mudah apa yang disampaikan guru. Dapatan sama turut diperoleh dalam beberapa kajian lain termasuk yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan peratusan tinggi di kalangan pelajar Melayu sukar memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun apabila meneliti keputusan peperiksaan UPSR yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, terbukti dasar PPSMI tidak menjejaskan penguasaan murid bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan seperti dilaporkan kajian berkenaan. Malahan bilangan murid yang menjawab kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris amat memberangsangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Bagi subjek Sains meningkat kepada 159,234 pelajar berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya, manakala Matematik seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007. Hanya 7.7 peratus menggunakan bahasa campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Dapatan kajian yang turut dibentang pada Konvensyen Pendidikan Nasional di UPSI tidak lama dulu yang tidak menggambarkan pencapaian sebenar murid dalam peperiksaan UPSR 2008 yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu mengelirukan, bukan saja dalam kalangan ibu bapa malah seluruh rakyat yang prihatin dalam soal pendidikan anak-anak. Persoalannya sekarang apakah kerajaan akan membuat ketetapan untuk meneruskan dasar PPSMI berikutan pencapaian calon kumpulan pertama di bawah dasar itu yang menampakkan kesan positif dan tidak menunjukkan dasar itu gagal?

Apa juga keputusan diambil, kita harap Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan. Saya juga berharap ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi yang lantang bersuara di Parlimen mengenai isu bahasa Melayu yang kini baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dapat mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu dalam pendidikan sekaligus diiktiraf sebagai bahasa perpaduan masyarakat Malaysia. Dan saya tegaskan sekali lagi bahawa pendidikan merupakan wadah penting untuk melahirkan generasi berilmu yang memiliki ciri-ciri kepemimpinan berkualiti, berwibawa, berwawasan dan jati diri yang mampu memacu kemajuan negara dalam segenap bidang, seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.