Pin It

Widgets


posted by Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid on

1 comment

LAWATAN RASMI MPPUTHM DAN RAKAN EXCO KE PARLIMEN DAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI




UTHM
16 April – Delegasi MPPUTHM SESI 08/09 bersama-sama Rakan Exco telah membuat lawatan rasmi ke Parlimen Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi pada 15 April 2009. Delegasi telah bertolak seawal jam 6.00 pagi dari UTHM. Kira-kira jam 10.30 pagi, kami telah tiba di Parlimen. Kami di sambut oleh En.Rashid daripada Unit Perhubungan Korporat Parlimen.

Kami di bawa melawat lobi Parlimen terlebih dahulu. Pemandangan pertama yang dapat dilihat ialah lobi parlimen dengan sofa-sofa dan potret-potret Yang Di-Pertuan Agong dahulu dan sekarang menghiasi ruangan lobi Parlimen. Menurut En. Rashid, keadaan pada masa itu lengang kerana Parlimen hanya bersidang semula pada 15 Jun 2009. Menurutnya lagi Lobi ini apabila waktu sidang akan dipenuhi oleh media, ahli-ahli dewan rakyat dan juga wakil-wakil daripada pelbagai agensi.

Pada sesi taklimat di lobi, kami telah dimaklumkan bahawa Parlimen terbahagi kepada 2 bangunan, iaitu bangunan utama terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara, Bilik Istirehat Yang Di-Pertuan Agong. Manakala bangunan satu lagi di kenali sebagai Menara 17 Tingkat yang terdiri daripada Pejabat Pentadbiran Staf-Staf Parlimen, Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan juga Pejabat Ketua Pembangkang. Selain itu, kami dimaklumkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hanya akan hadir setahun sekali untuk merasmikan penggal Parlimen. Dewan rakyat kini terdiri daripada 222 ahli daripada Kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi dalam pilihanraya umum.

Seterusnya kami di bawa masuk ke dalam Dewan Rakyat. Hikmahnya, kami datang ketika tiada sidang kami dibenarkan ke kawasan dewan rakyat bersidang iaitu sekiranya pada waktu kebiasaan bersidang, pelawat hanya dapat duduk di hujung dewan. Secara lucunya delegasi UTHM berlakon seperti wakil-wakil rakyat duduk di kawasan Parlimen masing-masing dan berlakon berbahas seperti realiti. Saya sendiri telah duduk di kerusi Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi selaku Ketua Kerajaan dan juga kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang. Sememangnya perasaannya amat luar biasa sekali, sekiranya sebelum ini saya hanya dapat melihat di televisyen sahaja, tetapi pada hari tersebut saya telah dapat merasai suasana sendiri duduk di kerusi tersebut dan masih boleh berjenaka dengan rakan-rakan lain yang ada berlakon sebagai pihak kerajaan dan pihak pembangkang.

Melalui taklimat yang diberikan, kedudukan kerusi di dalam Dewan Rakyat ialah terdiri daripada kerusi paling atas di tengah-tengah ialah tempat yang Di-Pertua Dewan Rakyat, pada sebelah kanan terdiri daripada pihak kerajaan, sebelah kiri pula ialah pihak pembangkang.

Kemudian kami di bawa ke dalam Dewan Negara pula, di mana ahli-ahlinya terdiri daripada Senator-senator yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong. Antara kelebihan Senator ialah mereka boleh di lantik sebagai Menteri oleh kerajaan tanpa perlu dilantik sebagai wakil rakyat melalui pilihanraya.

Setelah tamat sesi lawatan ke Parlimen kami solat di Masjid Putrajaya dan dalam jam 3 petang kami tiba di Kementerian Pengajian Tinggi dan di sambut oleh Cik Azwarni Herni Binti Che Noh, Pegawai Perhubungan Awam KPT, Kami telah di bawa ke bilik mesyuarat KPT, di sana kami telah diketemukan dengan Prof. Dr. Mohd Fauzi Bin Hj Ramlan selaku Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar KPT dan beberapa pegawai-pegawai KPT yang lain.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau dimulai dengan menyampaikan Amanat Datuk Seri Datuk Seri Mohd Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi, dengan falsafah “ Menerajui Kegemilangan Ilmu” dan “ Modal Insan Negara”. Prof. Dr. Mohd Fauzi juga telah berpesan mahasiswa memerlukan 4M iaitu :- (a) Jangan Malu (b) Jangan Malas (iii) Jangan Monyok (iv) Jangan Manja. Seterusnya perbincangan menjurus kepada peranan UTHM dalam bidang kejuruteraaan dan pendidikan kepada masyarakat setempat. Pihak MPP UTHM telah menerangkan mengenai program-program universiti bersama komuniti setempat seperti Program “ Selangkah ke Menara Gading” yang telah diadakan dan juga program seperti “Muar Gemilang” yang akan diadakan secara berfasa.

Pada masa yang sama, Prof. Dr. Mohd Fauzi juga telah menerangkan perancangan KPT dalam usaha pembangunan pelajar di IPTA seperti akan melaksanakan 8 Teras bagi menggalakkan pelajar aktif dan tidak terlalu berorentasikan peperiksaan iaitu pelajar akan diberikan 1 Kredit = 40 jam di mana maksimum 6 jam kredit bagi tambahan kepada kredit sedia ada dalam kurikulum. Ianya akan dapat membantu pelajar yang aktif untuk menaikkan CPA mereka berdasarkan tambahan 6 jam kredit maksimum yang diperuntukkan dalam 8 teras yang di gariskan iaitu :-

(1) Kepimpinan
(2) Debat
(3) Keusahawanan
(4) Sukan
(5) Sukarelawan ( Cth : Suksis dan Palapes * akan diseragamkan di setiap IPTA untuk dapat maksimum 6 jam kredit)
(6) Daya cipta Inovasi ( Cth : ROBOCON)
(7) Kebudayaan
(8) * tidak sempat salin.... maaf

Seterusnya, kami telah diberikan kejutan di mana, rupa-rupanya Y.B Dato’ Saifuddin Abdullah yang baru di lantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah sudi hadir ke dalam mesyuarat kami kerana ingin berjumpa dengan pemimpin mahasiswa daripada UTHM walaupun dimaklumkan beliau baru sahaja 3 hari masuk pejabat. Beliau telah memeberikan amanat dan harapannya kepada kami dan menceritakan pengalaman-pengalaman beliau yang amat berharga kepada kami untuk dijadikan sebagai teladan. Beliau telah menerangkan, kerajaan menganggap kepimpinan mahasiswa amat penting dan kerajaan telah menyediakan platform kepada mahasiswa untuk bersuara di Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa setiap IPTA.

Selain itu, saya selaku Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar telah membawa isu kampus yang perlu di ambil perhatian oleh pihak kerajaan, salah satunya ialah mengenai masalah perumahan. Permasalahan ini akan wujud setiap kali kemasukan pelajar baru di mana Kolej-kolej kediaman akan menerima kemasukan pelajar-pelajar baru dan menyebabkan pelajar-pelajar kanan terpaksa keluar dan menyewa di sekitar Parit Raja. Pelajar Tanpa Asrama ini dibebani dengan kos sara hidup tinggi dan juga di nafikan kemudahan-kemudahan universiti tidak seperti pelajar-pelajar yang menghuni Kolej Kediaman.

Permasalahan ini juga berbangkit kerana bagi mengurangkan kos sara hidup, Pelajar Tanpa Asrama akan memilih sewaan termurah di mana kondusif pembelajaran adalah tidak sesuai di mana akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang pelajar. Permasalahan ini telah di ajukan kepada pihak pengurusan universiti di mana pihak pengurusan universiti telah merancang penyelesaian jangka pendek dengan menyewa premis-premis luar pada Julai ini sekiranya berjaya dalam perbincangan dengan pihak pemaju dan untuk jangka panjang, dalam RMK-10 pelan induk yang telah di buat iaitu perumahan-perumahan untuk pelajar akan di buat dan ini bergantung dengan peruntukkan daripada kerajaan. Berdasarkan itu, saya telah meminta jasa baik Dato` selaku pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar untuk melihat perkara ini bagi memastikan kenaikan pelajar haruslah seiring dengan pembangunan universiti.

Mesyuarat ditamatkan dengan penyampaian cenderahati daripada pihak UTHM kepada pihak kementerian dan begitu juga sebaliknya. Kemudian sesi bergambar antara delegasi UTHM dan Dato` bersama-sama pegawai-pegawai KPT dan sedikit jamuan telah diadakan. Sesi bersalam-salaman menamatkan sesi lawatan kami di Kementerian Pengajian Tinggi. Sesunggunhnya lawatan ini telah memberikan banyak manfaat kepada kami untuk melihat sendiri visi dan misi KPT dalam memajukan Pendidikan Tinggi Negara selain daripada objektif asal kami bagi menjalinkan hubungan erat antara pihak UTHM dengan pihak KPT. Terima kasih di ucapkan kepada semua pihak khasnya kepada ahli MPP yang hadir dan rakan-rakan exco MPP yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam lawatan rasmi ini. Selamat maju jaya UTHM!!!!!

1 comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by fadzilmahasiswa.blogspot.com Enhanced by fadzilmahasiswa.blogspot.com

Leave a Reply

Fadzil Hanid. Powered by Blogger.